Scrub Muka dan Badan: Kepentingan Keduanya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernahkah anda melakukan rawatan scrub muka dan scrub badan? Atau anda hanya merasakan scrub atau skrub adalah hanya perlu dilakukan untuk muka sahaja? Perlukah scrub untuk badan? Apakah kebaikan untuk melakukan scrub muka dan badan? 

Setiap hari, kulit kita akan bekerja keras untuk melindungi badan daripada pelbagai bahan asing yang berisiko untuk masuk ke dalam badan melalui kulit. Kulit secara asasnya akan bertindak sebagai ‘penapis’ yang akan menghalang sebarang benda dan bahan asing daripada memasuki liang pori pada kulit. Jadi apakah yang akan berlaku kepada bahan asing yang terperangkap pada ‘penapis’ kulit itu? 

Kebiasaannya, segala bahan asing atau lebih mudah ditafsirkan sebagai kekotoran akan berakhir pada permukaan kulit. Jadi untuk menjaga kulit dan tahap kesihatannya, proses scrubbing, atau pengelupasan (exfoliate) adalah perlu untuk dilakukan secara rutin, tidak kira sama ada scrub muka atau badan. 

Kepentingan Melakukan Scrub

Kulit sama ada kulit muka atau badan adalah merupakan lapisan pelindung bahagian luar yang utama. Semakin kerap anda berada di luar, ia akan mengakibatkan sebarang kekotoran, bahan asing yang dibawa oleh udara akan melekat pada kulit. Sinaran UV juga berisiko untuk menyebabkan kulit anda rosak dan menjadikannya tampak kusam, kering, bersisik dan tidak berseri.

Selain berpunca daripada faktor persekitaran, kotoran pada kulit juga boleh wujud disebabkan sel kulit mati. Ini kerana, secara normalnya, kulit akan menghasilkan sel kulit baru setiap kitaran 30 hari atau lebih. Dalam proses ini, sel kulit lama akan mengelupas dan digantikan dengan sel kulit baru. 

Tetapi, tanpa kita sedari, adakalanya sel kulit mati ini tidak mengelupas atau tersingkir secara menyeluruh pada kulit dan berkumpul pada permukaan kulit. Kesannya ia akan menjadi kotoran yang terlekat pada kulit untuk tempoh waktu yang agak lama. 

Jadi salah satu cara untuk menyingkirkan sel kulit mati dengan kotoran dan bahan asing ini adalah dengan melakukan proses pengelupasan. Ia merupakan satu proses yang membantu menghilangkan sel-sel kulit mati dengan bahan seperti scrub. Melakukan pengelupasan dengan scrub dapat membantu menghilangkan kotoran dan sel kulit mati sehingga dapat menjadikan kulit lebih berseri dan sihat. Bahkan, proses pengelupasan, jika dilakukan dengan betul dan tepat, dapat membersihkan kulit anda sehingga ke liang pori. 

Manfaat Scrub Muka dan Badan

Scrub Muka dan Badan Kepentingan Keduanya - scrub badan

Secara umumnya, seorang individu dewasa akan menyingkirkan 50,000 sel kulit mati setiap minit sebagai sebahagian proses penghasilan semula sel kulit baru (cell regeneration process). Namun, tanpa anda sedari, sel kulit mati ini selalunya akan menyumbat liang pori yang akhirnya akan menyebabkan masalah kulit seperti cela dan jerawat. 

Proses rawatan scrub muka mahupun badan ini, dapat membantu kulit untuk menyingkirkan sel kulit mati dari luar dan sekali gus memastikan kotoran lain yang cenderung tersumbat pada liang pori juga akan turut disingkirkan. Keadaan ini akan menjadikan kulit untuk kelihatan lebih berseri dan sihat. 

Selain berperanan untuk menjadi kulit lebih sihat, proses rawatan scrub muka dan badan juga berperanan untuk mencegah dan melawan penuaan. Seiring dengan pertambahan usia, proses penjagaan semula sel tisu baru pastinya akan menjadi semakin perlahan dan akibatnya kulit akan menjadi kusam. Proses scrubbing yang menggunakan kaedah menggosok dan urutan ini dipercayai dapat merangsang aliran darah serta dapat mempercepatkan proses penjanaan sel baru. 

Jadi, jika anda inginkan kulit yang tetap kelihatan berseri, bercahaya dan sihat, anda amatlah disarankan untuk melakukan rawatan scrub muka dan badan secara rutin.

Rawatan Scrub Muka dan Badan

Rawatan scrub muka dan badan yang baik, seharusnya dapat menjadikan kulit anda terasa lebih sihat dan segar, bukan menjadikan kulit anda merah atau mengalami kerengsaan. 

Scrubbing yang dilakukan secara berlebihan sebenarnya berisiko mendatangkan bahaya dan boleh menyebabkan kebaikan daripada proses rawatan untuk muka dan badan ini berkurangan. Menggunakan produk pengelupasan yang salah seperti produk yang mengandungi bahan kimia yang kuat atau banyak dengan produk yang bertekstur terlalu besar dan kasar, juga cenderung menyebabkan kulit anda berisiko mengalami kerengsaan dan terluka. 

Sebaiknya, sebelum menggunakan sebarang produk pengelupasan, pastikan anda membaca label dan arahan penggunaannya terlebih dahulu. Elakkan daripada mengenai mata, ini kerana kulit sekitar mata adalah lebih sensitif dan tidak memerlukan rawatan scrubbing.

Berapa kerap perlu dilakukan scrub muka?

Kebiasaannya, rawatan scrub muka digalakkan untuk dilakukan setiap dua kali seminggu. Namun terdapat beberapa faktor yang boleh menentukan berapa kerap untuk anda melakukan rawatan scrub muka. Antara faktor-faktornya adalah seperti:

  • Sekiranya anda memiliki jenis kulit yang sensitif, anda dinasihatkan untuk tidak melakukan scrub muka dengan terlalu kerap. Ini kerana ia cenderung untuk menyebabkan tindak balas kemerahan akibat kerengsaan daripada produk scrubbing.
  • Bagi individu yang mempunyai kulit berminyak pula, anda disarankan untuk melakukan rawatan scrub muka ini dengan lebih kerap. Ini kerana ia dipercayai, semakin kerap anda melakukan rawatan scrub muka ini, ia akan membantu dan memudahkan kulit anda menguruskan sel-sel kulit mati. 

Scrubbing merupakan proses urutan dan gerakan sederhana yang membantu anda membuang sel-sel kulit mati daripada wajah. Anda boleh melakukan scrub dengan bahan yang ada di dalam rumah anda, yang mempunyai tekstur butiran sehalus pasir. Proses ini dapat menyingkirkan sel-sel kulit mati dan kusam daripada muka dan proses penghasilan sel kulit baru yang lebih sihat dapat berlaku.

Berapa kerap perlu dilakukan scrub badan?

Berbanding dengan kulit muka, ketahanan kulit badan adalah lebih tinggi dan kuat. Ini bermakna anda boleh melakukan rawatan scrub dengan lebih kerap di seluruh badan anda. Bahkan anda digalakkan untuk melakukan proses scrubbing pada badan anda sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali dalam tempoh seminggu. 

Tetapi sama seperti kulit muka, jika kulit badan anda agak sensitif, anda dicadangkan untuk tidak melakukan rawatan scrub terlalu kerap. Anda tidak perlu menggosok badan sehingga terlalu kuat hanya untuk memastikan sel kulit mati anda disingkirkan dari badan. Sebaiknya, lakukan dengan lembut tetapi dapat memberikan hasil yang bersih secara menyeluruh. 

Menggosok scrub terlalu kuat boleh menyebabkan anda secara tidak sengaja turut menyingkirkan sel kulit yang masih sihat dan berkemungkinan akan merosakkan keadaan kulit anda. Jika kulit anda berubah menjadi kemerahan atau anda berasa pedih setelah melakukan proses scrubbing, ia adalah petanda bahawa anda menggosok terlalu kuat dan anda perlu untuk mengurangkannya. 

Scrub Muka Berlebihan Boleh Rosakkan Kulit?

Menggunakan scrub merupakan rutin penjagaan muka yang berkesan untuk memastikan liang pori bersih daripada sel-sel kulit mati dan membantu sel sihat pada kulit anda. Bergantung kepada jenis kulit, anda mungkin boleh menggunakan scrub muka setiap selang sehari atau hanya sekali seminggu.

Pun begitu, penggunaan scrub muka berlebihan boleh menyebabkan micro tear kepada kulit anda dan mendedahkannya kepada pencemaran persekitaran dan radiasi berbahaya daripada matahari. Tanpa mengira berapa kerap anda menggunakan scrub muka, terdapat tanda-tanda penggunaan scrub muka berlebihan yang perlu anda ketahui.

1. Kemerahan dan kerengsaan

Scrub Muka dan Badan Kepentingan Keduanya - kemerahan

Kulit muka anda mungkin sedikit merah sejurus selepas penggunaan scrub muka, tetapi jika wajah anda kekal merah berjam-jam bahkan sehingga keesokan harinya, ini mungkin bermakna anda perlu mengurangkan kekerapan penggunaan.

Jika kulit anda berasa gatal-gatal atau anda mengalami sensasi terbakar apabila menggunakan pengelupas kimia, ini menandakan bahawa lapisan penghadang kulit anda telah rosak disebabkan pengelupasan. 

Jika anda berasa sensasi kesemutan atau terbakar dengan produk penjagaan kulit yang lain, anda juga patut mengurangkan pengelupasan. Berasa sedikit pedih dengan asid adalah normal, tetapi jika anda berasa sakit, kurangkan penggunaan pengelupas.

2. Kulit kian kering dan mengelupas

Dengan jenis kulit kering, kombinasi dan kulit biasa, terlebih pengelupasan boleh menyebabkan kulit anda semakin kering dan bahkan mula mengelupas. Sekiranya anda mendapati bahawa anda mengalami tompok kering, sering menggunakan lebih banyak pelembap, atau mula mengalami kulit mengelupas di mana-mana bahagian muka anda, ini bererti anda perlu berehat daripada menggunakan produk pengelupasan. Dan, jangan sesekali menggunakan scrub untuk menyingkirkan kulit mengelupas kerana anda akan memburukkan keadaan.

3. Peningkatan pengeluaran minyak

Bagi kulit berminyak dan kombinasi serta sesetengah kulit normal, perkara yang sebaliknya boleh berlaku. Kulit anda mungkin menghasilkan lebih banyak minyak daripada biasa. Ini adalah kerana pengelupasan boleh mengeringkan dan melemahkan kulit anda, dan dengan itu kulit anda cuba mengimbanginya dengan menghasilkan minyak berlebihan untuk melindungi dan menghidratkannya semula.

4. Jerawat

Percaya atau tidak, terlebih pengelupasan sebenarnya merupakan antara sebab utama berlaku jerawat, atau mengapa jerawat sukar hilang. Walaupun pengelupasan secara sederhana adalah cara yang baik untuk mencegah jerawat melalui penyingkiran kotoran daripada liang roma, tetapi pengelupasan juga berlebihan boleh melemahkan lapisan penghadang kulit sehingga tidak lagi dapat melindunginya daripada bakteria dan jangkitan.

5. Kulit berkilat

Anda mungkin menganggap kulit berkilat sebagai tanda positif selepas pengelupasan. Sebaliknya, kulit yang kelihatan sihat berseri dan terhidrat tidak sama dengan kulit berkilat. Kulit berkilat selepas pengelupasan boleh bererti bahawa kulit anda dilucutkan tekstur semula jadinya. Tekstur kulit yang anjal dan kelihatan berseri sepatutnya hasil daripada penggunaan pelembap, produk penjagaan kulit dan bukannya kesan pengelupasan.

Sekiranya anda mula mendapati tanda-tanda tersebut, hentikan pengelupasan selama seminggu atau lebih untuk membiarkan kulit anda sembuh dan kekerapan penggunaan setelah kulit anda sembuh. Anda juga boleh menggunakan produk yang memberikan kelembapan kulit atau produk yang membantu menguatkan lapisan penghadang kulit. Selain itu, jangan lupa menggunakan penghadang matahari untuk mengelakkan radiasi berbahaya.

Bolehkah Scrub Muka ketika Berjerawat?

Penggunaan pencuci muka yang mengandungi scrub adalah bertujuan untuk membantu proses penyingkiran sel kulit mati, minyak, dan kekotoran yang menyumbat liang pori di permukaan kulit. Sel kulit mati, minyak dan kotoran yang secara berlebihan adalah punca yang menyebabkan jerawat. Maka cara ini dipercayai dapat membantu mencegah jerawat daripada muncul. 

Tetapi selalunya, penggunaan sabun pencuci muka yang mengandungi scrub secara kerap atau melakukan proses rawatan pengelupasan cenderung menjadikan keadaan kulit muka yang sudah berjerawat akan lebih teruk dan kronik. Akhirnya, semakin anda menggosok kulit muka anda dengan kuat, semakin kulit anda akan mengalami kerengsaan dan kemerahan.  

Kaedah terbaik scrub muka berjerawat

Mencuci muka dengan scrub untuk muka berjerawat adalah tidak digalakkan. Namun, ia tidak bermakna anda tidak boleh melakukan proses pengelupasan pada ketika muka anda mempunyai jerawat.

Anda boleh memilih produk pembersih muka atau pengelupasan yang tidak mengandungi tekstur berbiji, sebaliknya pilih yang mengandungi asid salisilik. Berdasarkan penulisan di Self oleh ahli dermatologi, Dr Michele Green, mengatakan bahawa produk penjagaan kulit yang mengandungi asid salisik ini dapat membantu mengatasi jerawat degil.

Bahan asid salisilik, BHA, dalam produk penjagaan kulit berperanan untuk mengeluarkan sel-sel kulit mati semasa melawan jerawat. Ia berbentuk seperti serbuk kristal yang larut dalam minyak. Bahan ini boleh diserap ke dalam kulit dengan baik sehingga ia menembusi liang pori. Oleh sebab ini, asid salisilik amat disyorkan sebagai rawatan kulit kepada kulit berjerawat atau berminyak. 

Tetapi, penggunaan produk penjagaan kulit yang mengandungi BHA menjadikan kulit anda amat sensitif kepada sinaran UV. Oleh itu, pastikan anda menggunakan pelindungi matahari sekiranya anda menggunakan produk BHA. Elakkan penggunaan produk asid salisilik bersama retinol yang boleh membuatkan kulit anda menjadi sangat kering dan mudah mengalami kerengsaan. 

Scrub Kopi

Kopi merupakan antara pilihan rutin minuman waktu pagi bagi kebanyakan individu. Tetapi tahukah anda kopi juga boleh dijadikan pilihan untuk rawatan kecantikan? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

Scrub Muka dan Badan Kepentingan Keduanya - scrub kopi

Cara membuat scrub kopi

Umumnya, scrub kopi ini mempunyai 3 komposisi utama yang efektif yang menghasilkan tekstur bahan pengelupasan semula jadi, iaitu kopi, gula dan garam.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • I cawan serbuk kopi yang dikisar
  • ½ cawan gula melaka atau garam laut
  • 1 cawan minyak pilihan, sama ada minyak zaitun, minyak kelapa, minyak biji anggur, atau minyak badam

Sebaiknya hindari dari menggunakan serbuk kopi segera dalam pek. Selain itu pilih kopi jenis Robusta yang memiliki kandungan kafein 2 kali ganda lebih banyak daripada kopi Arabica.

Cara penyediaannya:

  1. Campurkan semua bahan kering ke dalam sebuah mangkuk, kemudian masukkan minyak. Jika anda menggunakan minyak kelapa, anda boleh mencairkan minyak kelapa dalam microwave untuk tempoh selama 20 hingga 30 saat. Gaul sebati adunan. Hasil adunan adalah sedikit kasar. 
  2. Sapukan bahan adunan ke seluruh badan, muka dan bahagian yang mempunyai selulit, dengan urutan gerakan bulatan. Biarkan sapuan selama beberapa minit sebelum dibilas dengan air suam. Ulangi rawatan scrub kopi ini untuk 2 kali seminggu atau setiap kali anda mandi. 

Pentingnya menambahkan minyak pada scrub kopi

Kepentingan minyak dalam scrub kopi bukanlah sekadar untuk menjadikan tekstur scrub kopi anda lebih lembut dan tidak terlalu kasar. Ini kerana tekstur scrub yang terlalu kasar cenderung melukakan kulit. Peranan minyak yang digunakan adalah bergantung kepada jenis minyak yang anda guna. 

Minyak zaitun

Minyak zaitun mengandungi lemak sihat, seperti avokado. Ia dapat berfungsi untuk menganjalkan dan melembapkan kulit dengan kombinasi vitamin A dan E. Minyak ini juga mengandungi bahan antikeradangan yang dapat mengatasi kulit kering, gatal dan kemerahan akibat kerengsaan, seperti ekzema dan psoriasis.

Minyak biji anggur (grapeseed)

Ia adalah minyak yang diekstrak dari biji anggur. Ia mengandungi antioksidan dan antiradang yang tinggi dipercayai dapat mengubati jerawat. Ia juga mengandungi linoleic acid yang berperanan untuk menguatkan kesihatan kulit dari dalam. 

Minyak badam

Ia terhasil daripada proses memerah kacang badam tanpa melalui proses memasak. Salah satu rahsia besar di sebalik penggunaan minyak ini adalah kandungan asid lemak yang tinggi. Asid ini dipercayai dapat membantu mengunci kelembapan kulit dengan mewujudkan ‘dinding’ pelindung. Kandungan pelembap dalam minyak ini sangat efektif untuk keadaan kulit berjerawat, ekzema atau psoriasis. Minyak badan adalah bahan pengelupasan semula jadi yang dapat menyingkirkan sel kulit mati dan merangsang pertumbuhan kulit yang lebih sihat.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.