Kondom Jejaskan Kenikmatan Seks? Tenang, Cara Penggunaan Anda Mungkin Salah!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Jika ditanyakan kepada mana-mana pasangan suami isteri yang sedang merancang, pasti rata-rata mereka akan menganggap penggunaan kondom adalah teknik kontrasepsi yang terbaik. Namun, di sebalik manfaat ini terlindung satu perkara yang tidak menyeronokkan iaitu seks dengan kondom akan menjejaskan kenikmatan hubungan intim!

Benarkah begitu? Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui jawapannya!

Perkaitan antara seks dengan kondom

kondom

Kondom adalah salah satu daripada alat kontrasepsi berupa sarung getah yang dipakai pada zakar suami ketika berasmara dengan isteri, dalam usaha pasangan untuk mencegah kehamilan serta pelbagai penyakit jangkitan kelamin (STD).

Penggunaan kondom turut dikenali sebagai antara teknik kontrasepsi yang paling efektif kerana ia mampu mencegah kehamilan dengan peratusan sekitar 90%!

Namun, ada segelintir pasangan suami isteri yang tidak percaya atau tidak mahu menggunakannya kerana beranggapan ia akan menjejaskan kenikmatan ketika bersenggama.

Menurut kajian dari Emory University, kira-kira 1 pertiga dari pasangan yang dikaji akan hilang ereksi setelah memakai kondom.

Kenyataan ini turut diperkuatkan lagi dengan kajian terbitan jurnal Arch Sex Behav yang mengatakan majoriti pasangan dari 115 suami isteri yang dikaji lebih menggemari seks tanpa kondom. Ini didasari oleh faktor kondom akan menurunkan kepuasan seksual akibat kurangnya sentuhan kulit ke kulit secara langsung.

Dalam erti kata yang lain, seks dengan kondom memang boleh menjejaskan kenikmatan seks.

Namun, perkara ini mungkin terjadi akibat pasangan salah cara penggunaan kondom.

Persoalannya, bagaimanakah cara pakai kondom yang betul agar ia tidak akan menjejaskan kenikmatan seks?

Cara pakai kondom yang betul agar kenikmatan seks tidak terjejas

seks

Sebenarnya, penggunaan kondom tidak akan menjejaskan kenikmatan hubungan kelamin anda dan pasangan jika kena pada caranya.

Setiap kali bercadang untuk bersetubuh bersama pasangan dengan menggunakan kondom, pastikan anda perhatikan perkara berikut terlebih dahulu:

#1. Pilih saiz kondom yang sesuai

Perkara paling penting dalam penggunaan alat kontrasepsi ini adalah saiznya. Encik suami harus memilih saiz kondom yang sesuai dengan zakar yakni tidak terlalu ketat atau terlalu longgar.

Jika kondom terlalu ketat, ia mungkin akan menyebabkan rasa sakit, pedih dan tidak selesa akibat dari tekanan yang berlaku pada saluran darah zakar anda. Kondom yang terlalu longgar pula tidak akan berfungsi dengan sebaiknya dan boleh tertanggal dari zakar.

Lebih membimbangkan, saiz kondom yang tidak sesuai juga boleh mengakibatkan kondom bocor atau air mani terkeluar dari sarung getah ini lantas meningkatkan risiko kehamilan luar jangkaan berlaku.

Jadi, sila pilih saiz kondom yang tepat dengan zakar anda ketika sedang mengalami ereksi ya!

#2. Guna pelincir bersama dengan kondom

Antara kesilapan yang selalu dilakukan oleh pasangan adalah melakukan seks dengan kondom tanpa sebarang pelincir. Mungkin inilah punca kenikmatan seks kurang dirasai ketika berasmara dengan alat kontrasepsi ini!

Menurut Dr. Hilda Hutcherson yang merupakan seorang Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Columbia University, cara yang betul menggunakan kondom adalah dengan menyertakan pelincir sekali agar penetrasi tidak berasa terlalu kering dan sakit akibat kekurangan cecair.

Menurutnya lagi, suami isteri disarankan menggunakan 1 hingga 2 titis pelincir pada kondom yang diperbuat dari bahan berasaskan silikon.

Ini kerana ia lebih tahan lama berbanding pelincir yang diperbuat daripada bahan berasaskan air. Jika kurang pasti, dapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu.

#3. Cuba elak dari kondom yang boleh mendatangkan reaksi alahan

Cuba bayangkan di saat anda dan pasangan sedang asyik berasmaradana menggunakan kondom, tiba-tiba sahaja alat kemaluan anda diserang reaksi alahan? Sudah pasti ia akan menjejaskan kenikmatan seks kalian bukan?

Oleh itu, cuba elak dari menggunakan kondom yang boleh mendatangkan reaksi alahan seperti getah. Tanyakan pada doktor bahan apakah yang akan mendatangkan reaksi alahan ini kepada anda dan jangan sesekali menggunakannya lagi!

Namun, secara umumnya terdapat 3 bahan utama lain selain getah yang dipercayai boleh meminimumkan risiko alahan iaitu:

  • polyurethane: diperbuat daripada bahan plastik alternatif yang bukan berasaskan lateks serta lebih nipis daripada lateks
  • polyisoprene: memiliki tekstur yang hampir sama dengan lateks namun lebih lembut dan fleksibel berbanding polyurethane
  • lambskin: terhasil dari bahan organik iaitu usus haiwan seperti lembu, kambing atau biri-biri

#4. Bereksperimen dengan pelbagai jenis kondom

Salah satu dari sebab kenikmatan seks terjejas akibat penggunaan kondom adalah kerana pasangan asyik menggunakan kondom yang sama sahaja. Apa kata suami isteri bereksperimen?

Di pasaran kini, sudah terdapat banyak variasi kondom yang beraneka bentuk, tekstur serta perisa.

Oleh itu, cubalah bertukar kepada jenis kondom yang lain jika ada jenis yang tidak kena dengan citarasa kalian berdua.

Sebagai contoh, terdapat kondom berperisa nasi lemak atau bertekstur durian buat pasangan yang gemarkan seks ekstrem. Jadi, cubalah bereksperimen dengan pelbagai variasi kondom ini ya!

Konklusi

Kesimpulannya, memang benar seks dengan kondom boleh menjejaskan kenikmatan seks jika tidak kena pada caranya.

Jadi, gunakanlah kondom dengan cara yang betul, tepat dan sesuai dengan selera anda!

Namun, ini hanyalah cadangan semata-mata. Jika anda dan pasangan terdapat sebarang kebimbangan mengenai perkara ini, sila rujuk doktor berhampiran dengan anda ya?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 9, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 11, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut