Rawat Masalah Jeragat Dengan Bahan Alami Ini!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Siapa sahaja yang tidak mahu kulit muka bersih tanpa sebarang cela, bukan? Tidak kira lelaki atau perempuan, tiada individu yang mahu wajah mereka penuh dengan jeragat. Ia bukan sahaja akan merosakkan penampilan, malah juga mampu menjatuhkan keyakinan anda untuk berhadapan dengan orang ramai di luar sana.

Kini, sudah terdapat banyak produk penjagaan kulit muka di pasaran. Pun begitu, kesesuaiannya adalah bergantung kepada individu ekoran kandungan bahan kimia yang tinggi di dalamnya. Jadi, apa yang anda boleh lakukan adalah gunakan bahan semula jadi dalam prosedur penjagaan kulit muka anda.

Untuk memudahkan anda mengetahui mengenai bahan alami yang sesuai untuk merawat masalah jeragat, sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Apa itu jeragat?

Jeragat atau dalam bahasa perubatannya adalah dikenali sebagai open comedo. Ia kelihatan seperti tompok-tompok kecil yang memenuhi bahagian kulit muka anda terutamanya pada dahi, pipi, hidung dan kawasan sekitar mulut. Ia juga kebiasaannya kelihatan lebih gelap berbanding warna kulit yang asal dan ini akan mengakibatkan tona wajah anda menjadi tidak sekata. 

Bagi mereka yang berkulit cerah, kebiasaannya tompok jeragat akan berwarna seakan kecoklatan. Bagi mereka yang berkulit gelap pula, kebiasaannya tompok jeragat akan berwarna seakan kehitaman. Kadangkala, saiz jeragat yang kecil boleh menjadi besar dan bercantum dengan yang lain. Akibatnya, ia mungkin boleh memenuhi setiap ruang pada wajah anda. 

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ia adalah disebabkan oleh keadaan kulit yang kurang bersih. Ya, ini mungkin merupakan salah satu faktor penyebabnya. Namun apa yang lebih tepat adalah ia sebenarnya berpunca daripada lebihan minyak yang terkumpul dalam saluran kelenjar sebum.

Apa punca jeragat?

Dalam pada itu, wajar untuk kita ketahui apa punca jeragat yang sebenar, antaranya:

#1. Sinaran ultra ungu

Cahaya daripada sinaran matahari atau lebih dikenali sebagai sinaran ultra ungu adalah punca utama masalah penuaan kulit. Untuk pengetahuan anda, sinaran ini terdapat beberapa jenis yang berbeza, iaitu:

  • Ultra ungu A

Sinaran ini adalah yang paling banyak ditemui dalam cahaya matahari dan ia mampu menembusi lapisan kulit atas dengan sangat mudah. Sinaran ini boleh mendatangkan kerosakan pada tisu-tisu penyambung dan seterusnya mengakibatkan pelbagai masalah kulit seperti jeragat atau lebih teruk, kanser kulit.

  • Ultra ungu B

Sinaran ini adalah sedikit kurang ditemui dalam cahaya matahari berbanding jenis A kerana jenis B kebanyakannya telah ditapis dan diserap semasa melalui lapisan ozon. Sinaran ini boleh menyebabkan kulit terbakar (sunburn).

  • Ultra ungu C

Sinaran ini adalah yang paling berbahaya buat kulit kita. Akan tetapi, anda mungkin tidak perlu terlalu risau tentangnya kerana ketika ini lapisan ozon masih mampu melindungi kita daripadanya. 

Banyak kajian saintifik telah menunjukkan bahawa 80% hingga 90% menunjukkan kondisi kulit seseorang itu adalah sangat bergantung kepada seberapa banyak kulit mereka terdedah kepada cahaya matahari. Oleh itu, sentiasa guna pelindung cahaya matahari tidak kira sama ada dalam bentuk krim, losyen atau lain-lain terutamanya pada bahagian muka untuk mengelakkan berlakunya iritasi pada kulit anda. 

#2. Hormon

Perubahan hormon pada tubuh badan akan mendatangkan kesan kepada kulit terutamanya wanita. Ketika kehamilan, hormon akan berubah lalu boleh menyebabkan masalah kulit pada muka seperti jeragat. Keadaan ini dinamakan sebagai chloasma atau lebih dikenali sebagai topeng kehamilan. Sebanyak 90% wanita hamil akan mengalami masalah ini. 

Selain hormon, melanin yang dikeluarkan ketika kehamilan juga boleh mengakibatkan kulit menjadi gelap dan kusam. Begitu juga dengan pengambilan pil perancang kehamilan atau ubat penggantian hormon yang turut boleh mencetuskan masalah jeragat pada kulit muka.

#3. Ubat-ubatan

Ya, kita memang tidak boleh elak daripada pengambilan ubat-ubatan kerana ia dapat membantu merawat kita sewaktu sedang sakit. Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa ubat seperti ibuprofen adalah salah satu ubat yang akan memberi kesan kepada kulit kita. Selain itu, ubat seperti antimalarial, antiepilepsi dan antipsikotik juga boleh menjadi punca pigmentasi pada kulit.

Namun begitu, anda tidak perlu terlalu risau mengenainya kerana ia selalunya tidak berbahaya dan boleh hilang dengan sendirinya jika pengambilan ubat ini dihentikan. Jika anda perlu mengambil ubat-ubat seperti yang dinyatakan namun anda risau dengan kesan sampingannya, dapatkan pandangan doktor terlebih dahulu.

#4. Kosmetik

Tahukah anda bahawa penggunaan kosmetik yang tidak sesuai juga akan menyebabkan kulit muka berjeragat? Ia mungkin disebabkan oleh bahan-bahan terlarang yang digunakan di dalamnya!

Ini biasa akan berlaku apabila seseorang itu menggunakan produk tanpa kaji selidik terlebih dahulu. Mungkin ada di antara anda yang sudah tahu dan belum tahu bahawa produk kosmetik yang berbahaya kebanyakannya mengandungi merkuri, hidroquinon, tretonoin dan lain-lain. Bahan-bahan inilah yang akan menyebabkan kulit berjeragat atau lebih tepat lagi, breakout.

Produk ini biasa dijual oleh pembekal atau pengedar dengan mengatakan ia boleh menghilangkan jeragat dalam masa 1 ke 2 minggu sahaja. Ya, ia mungkin benar namun yang hilang itu hanya di permukaan kulit sahaja kerana produk ini hanya akan menghakis kulit sedangkan ia sudah berakar umbi di dalam kulit.

Paling bahaya, jika anda sudah biasa memakai produk ini dan tiba-tiba berhenti menggunakannya, ia mungkin akan mendatangkan kemudaratan yang lain pula seperti kulit akan menjadi nipis dan pedih. Ini sekali gus akan menyebabkan sel kulit rosak!

 

#5. Keturunan

Benarkah faktor keturunan atau genetik adalah penyumbang kepada masalah kulit berjeragat? Ya, ia mungkin juga ada benarnya. Jadi, jika ada ibu bapa atau ahli keluarga anda yang pernah atau sedang menghadapinya maka anda juga mungkin berisiko tinggi. Namun begitu, kajian lanjut mengenainya perlu dijalankan untuk memastikan kesahihannya.

how-to-treat-acne

Apa yang anda boleh lakukan?

Solekan mungkin merupakan penyelesaian jangka masa pendek yang anda boleh gunakan. Pun begitu, sudah pasti ia tidak akan membuat anda berpuas hati dengan hasilnya kerana ia sudah pasti bersifat sementara sahaja. Jadi, apa yang anda boleh lakukan?

Sebelum itu, pastikan anda telah berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan-bahan ini pada muka anda, ya? Berikut merupakan beberapa cara merawat masalah jeragat dengan menggunakan bahan alami:

#1. Lemon

Asid alpha hydroxy dan vitamin C yang tinggi dalam lemon sangat membantu untuk menghilangkan jeragat dengan pantas. Ini kerana lemon mampu membantu menggelupaskan kulit dan memudahkan pertumbuhan semua jadi sel kulit. Selain itu, ia juga sangat membantu menghilangkan minyak berlebihan kerana sifat astringen yang wujud di dalamnya.

Caranya, hanya potong lemon dan sapukan ia ke muka. Kemudian, biarkan selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum dibilas. Ulang setiap hari sebelum tidur untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan hati.

Pun begitu, anda harus tahu bahawa sifat lemon adalan berasid. Jadi, mungkin bahan ini tidak sesuai digunakan oleh anda yang mempunyai kulit yang sensitif. Jika berlaku iritasi yang lebih teruk, segera dapatkan rawatan doktor.

 #2. Cuka epal

Sama seperti lemon, cuka epal juga bersifat astrigen yang mampu mengeluarkan minyak berlebihan daripada kulit. Selain itu, sifat antiseptik dan antibakteria yang wujud di dalamnya juga sangat membantu dalam merawat masalah kulit berjeragat.

Cara penggunaannya juga adalah mudah sahaja. Hanya campurkan satu sudu kecil cuka epal dengan air, kemudian gunakannya untuk mencuci muka anda dan bilas. Pun begitu, ia juga sangat bahaya untuk diamalkan selalu.

Ini kerana sifatnya yang tinggi asid. Penggunaannya secara kerap sudah pasti akan mengakibatkan hakisan pada kulit muka. Tempoh yang paling disarankan untuk mencuba bahan ini adalah seminggu sekali sahaja. Jika berlaku sebarang kerosakan kulit muka, sila dapatkan rawatan doktor dengan kadar segera.

 

#3. Kulit kayu manis 

Tidak seperti kedua-dua bahan di atas, bahan ini tidak bersifat menghakis. Kulit kayu manis kebiasaannya digunakan sebagai topeng muka. Untuk lebih berkesan, campurkan setengah sudu kecil serbuk bahan ini dengan setengah sudu kecil madu dan kacaukannya ia sehingga sebati. Dengan penggunaannya yang kerap iaitu sekitar 2 kali seminggu, bahan ini mungkin akan memberikan kesan yang maksimum. Paling mengejutkan, ia juga sebenarnya mampu menghalang pertumbuhan jeragat yang baru pada kulit muka anda! 

#4. Serbuk oat

Setiap kali berbicara mengenai serbuk oat, anda pasti akan terbayang makanan sahaja. Pun begitu, tahukah anda bahawa ia juga mempunyai kebolehan untuk bekerja sebagai agen pengelupasan semula jadi untuk menghilangkan sel kulit mati serta kotoran yang terkumpul pada muka. Bukan itu sahaja, penggunaannya juga akan membantu menyerap minyak berlebihan dan membuka liang yang tersumbat.

Caranya, campurkan serbuk oat ini dengan cuka epal, lemon atau madu untuk dijadikan seperti pes. Selepas siap, sapukan ia pada muka dan biarkan sahaja selama sekurang-kurangnya 20 minit sebelum membilasnya. Lakukannya secara rutin sekali atau dua kali seminggu.

#5. Serbuk penaik

Terkejut, bukan? Namun inilah keupayaan tersembunyi bahan yang banyak digunakan dalam proses pembuatan kek ini. Serbuk penaik ini mampu membantu mengekalkan keseimbangan pH pada kulit.

Caranya, hanya campurkan ia ke dalam air untuk membuat ia sebagai pes. Kemudian, sapukan ia pada kulit muka dan bilas sehingga bersih selepas dibiarkan untuk beberapa minit. Pun begitu, jangan cuba guna bahan ini jika kulit anda adalah jenis sensitif, ya?

#6. Teh hijau

Teh hijau jika diminum memang sangat baik untuk kesihatan dalaman tubuh badan. Jika disapu pada kulit muka pula, ia boleh membantu menyelesaikan masalah kulit berjeragat. Menurut kajian, teh hijau ini mempunyai faedah yang mampu mengurangkan pengeluaran minyak dan menghalang penyerapan androgen dalam kulit. 

Caranya mudah sahaja iaitu hanya sapukan ia pada kulit muka. Ataupun, anda boleh jadikan ia sebagai bahan tuaman dengan memasukkan ia pada beg teh hijau ke dalam air panas kemudian tuamkan ia pada kawasan yang teruk terjejas secara perlahan-lahan dan lembut.

#7. Lidah buaya

Bahan ini adalah sangat popular dalam hal penjagaan kulit. Ini kerana ia sememangnya mempunyai pelbagai manfaat, antaranya:

  • Mencerahkan wajah
  • Mengatasi kulit kering dan berminyak
  • Mengecutkan jeragat
  • Menghilangkan jeragat
  • Melindungi dari sinar matahari
  • Memperbaiki sel-sel kulit yang mati

Cara penggunaannya juga adalah mudah sahaja. Ambil gel lidah buaya dan lumurkan sahaja ia pada kulit muka anda dan biarkannya selama 20 ke 30 minit. Selepas itu, bilas dengan air suam. Lakukan setiap hari sehingga anda mendapat hasil yang anda mahukan. 

#8. Bawang

Tahukah anda bahawa bawang juga merupakan salah satu daripada bahan alami yang sangat bagus untuk kulit anda? Ia berfungsi memulihkan warna kulit ekoran sebatian sulfur yang dipunyainya mampu memudarkan tompok gelap atau sebarang perubahan warna pada kulit. Selain itu, ia juga akan memberi pelbagai khasiat terhadap sel-sel kulit anda.

Caranya mudah sahaja iaitu ambil beberapa biji bawang dan cincang serta perah ia sehingga mengeluarkan jus. Kemudian, sapukan sahaja ia ke permukaan kulit yang terjejas teruk. Biarkan selama beberapa minit kemudian bilas. Ia juga boleh digunakan untuk merawat masalah jeragat yang teruk. Oleh itu, cuba ia dengan kerap, ya?

Demikianlah merupakan beberapa bahan alami yang anda boleh gunakan untuk memastikan kulit muka anda sentiasa kekal sihat. Pun begitu, terdapat beberapa lagi perkara lain yang anda perlu beri perhatian dalam proses penjagaan kulit, iaitu:

Cuci muka dengan bersih sebelum masuk tidur

Ini sangat perlu dilakukan selepas seharian anda melakukan aktiviti pada siang hari. Jangan sesekali anda tidur dengan muka yang tidak bersih terutamanya jika muka anda berminyak atau masih ada solekan. Ia hanya akan memburukkan lagi keadaan kulit anda.

Guna produk kosmetik yang bebas bahan kimia

Bahan kimia seperti merkuri adalah musuh utama bagi kecantikan kulit. Di negara kita, kebanyakan produk di pasaran mengandungi merkuri dan pelbagai lagi bahan kimia yang juga berbahaya. Jadi, berbaloikah untuk anda kelihatan “flawless” tetapi sebenarnya kulit wajah anda rosak?

Cuba elak cahaya matahari

Ini bukan bermakna anda perlu sentiasa lari daripada cahaya matahari umpama drakula. Anda cuma perlu mengelakkan diri anda daripada terlalu terdedah kepadanya. Caranya, guna pelindung matahari serta pakaian yang menutup kulit ketika setiap kali berada di luar rumah.

Makan secara sihat

Sebenarnya, kecantikan kulit adalah bermula dari dalaman individu itu sendiri. Jadi, apa yang anda perlu amalkan adalah diet pemakanan yang sihat. Seperti mana yang ramai sudah tahu, minyak adalah musuh utama kepada kulit dan akan menjadi punca kulit berjeragat. Jadi, cuba elakkan makanan berminyak selagi boleh. Selain itu, amalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran serta minum lebih banyak air untuk menyihatkan kulit serta tubuh badan anda secara keseluruhannya.

Jumpa pakar kulit dengan kerap

Akhir sekali, anda perlu sentiasa berhubung dengan doktor anda untuk berbincang mengenai masalah kulit anda. Jangan sesekali membuat keputusan sendiri untuk mencuba produk di pasaran semata-mata kerana anda terpedaya dengan iklan dan testimoninya. Sebaliknya, dapatkan pengesahan daripada pakar terlebih dahulu. Jika berlaku sebarang iritasi atau apa-apa sahaja masalah berkaitan kulit anda juga, pastikan pakar kulit anda adalah individu yang pertama mengetahuinya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut