backup og meta

Nak Hilangkan Parut Jerawat? Pastikan Serum Anda Ada Bahan Ini, Barulah Licin Muka!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    Nak Hilangkan Parut Jerawat? Pastikan Serum Anda Ada Bahan Ini, Barulah Licin Muka!

    Menangani jerawat atau akne tidak sukar, tetapi untuk menghilangkan bekas jerawat mungkin menguji kesabaran anda. Namun ada serum yang dapat membantu. Jom ketahui apakah bahan yang perlu ada dalam serum untuk hilangkan parut jerawat.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimana parut jerawat terjadi?

    Sebelum mengetahui apakah serum untuk hilangkan parut jerawat, ayuh kita fahami terlebih dahulu mengenai punca permasalahan ini. 

    Apabila liang pori tersumbat dengan kotoran, sel kulit mati atau kotoran, jerawat akan terbentuk. Ia akan membengkak dan menyebabkan dinding folikel kulit pecah, sekali gus mewujudkan luka dalam dan cetek yang kekal pada kulit. 

    Parut ini biasanya merupakan hasil sampingan daripada lesi yang meradang, menembusi tisu kulit bawah dan meninggalkan kesan.

    Parut bekas jerawat ini biasanya akan meningkat dari masa ke masa, kerana kecenderungan kulit untuk kehilangan kolagen apabila semakin tua. Kolagen amat memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan kulit. 

    Kesan kekurangan kolagen akan menyebabkan pembentukan parut jerawat pada wajah.

    serum untuk hilangkan parut jerawat

    Bahan perlu ada dalam serum untuk hilangkan parut jerawat

    Berikut antara kandungan bahan-bahan yang perlu ada dalam serum bagi membantu memudarkan parut bekas jerawat pada kulit muka anda.

    Vitamin C

    Antioksidan yang kuat – vitamin C, dapat membantu meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan kemerahan, bengkak dan memperbaiki penampilan lesi jerawat yang ketara.

    Sifat penyembuhannya mempercepatkan pengeluaran kolagen dan membantu dalam membina semula struktur kulit. Ia juga berkesan dalam merawat dan mengurangkan hiperpigmentasi dan bintik hitam serta kerosakan kulit yang disebabkan cahaya matahari. 

    serum untuk hilangkan parut jerawat

    Serum untuk hilangkan parut jerawat #Asid salisilik

    Asid salisilik adalah BHA – asid hidroksi beta biasa dalam penjagaan kulit yang digunakan untuk merawat jerawat sejak bertahun-tahun, dalam bentuk berbeza seperti rawatan tompokan kulit, pengelupasan dan pencuci muka. 

    Bahan ini berfungsi dengan berkesan untuk semua jenis parut jerawat kerana ia membersihkan pori-pori dan mengurangkan bengkak serta kemerahan.

    Ia mengelupaskan kulit dengan lembut untuk membuang sel kulit mati, kotoran dan serpihan lain yang cenderung terkumpul dan menyumbat pori.

    Namun, sekiranya anda mempunyai kulit sensitif, sebaiknya lakukan ujian tampalan untuk mengelakkan daripada mengalami kekeringan atau kerengsaan. 

    AHA

    Alpha Hydroxy Acids adalah ramuan ajaib untuk merawat jerawat serta parut jerawat. 

    Ia berfungsi pada semua jenis parut untuk mengeluarkan kotoran, toksin dan sel kulit mati yang boleh menyumbat liang pori. Ia juga memberikan pengelupasan ringan pada lapisan luar untuk menghilangkan kekasaran, ketidaksamaan dan perubahan warna kulit.

    Asid laktik, bahan perlu ada dalam serum untuk hilangkan parut jerawat 

    Asid ringan dan lembut untuk kulit ini biasanya terdapat dalam pelembap dan losen. Ia akan menyingkirkan sel kulit mati secara perlahan-lahan dan memperbaiki tekstur serta kehalusan kulit

    Ia juga berkesan kepada semua parut jerawat dan boleh didapati dalam produk pengelupasan, serum dan salap.

    Retinoid

    Retinoid topikal membantu menghilangkan parut jerawat dengan menyekat keradangan, mengurangkan lesi akne dan mempercepatkan pertumbuhan semula sel.

    Ia juga efektif dalam mengurus dan mencerahkan parut hiperpigmentasi selepas keradangan bagi mereka yang mempunyai warna kulit lebih gelap.

    Pastikan anda menggunakan pelindung matahari semasa rawatan retinoid kerana sensitiviti terhadap sinar UV boleh meningkat.

    serum untuk hilangkan parut jerawat

    Rosehip

    Selain memainkan peranan penting dalam antipenuaan, ia mengurangkan kemerahan, keradangan dan bekas jerawat kerana kandungan asid linoleik yang tinggi dan bentuk bioaktif vitamin A – asid retinoik – membantu dalam meningkatkan pengeluaran kolagen dan elastin.

    Ini membantu mempercepatkan pertumbuhan semula sel, sekali gus meminimumkan penampilan parut termasuklah yang disebabkan oleh hiperpigmentasi. 

    Niacinamide 

    Satu bentuk vitamin B3, ia membantu dalam peneutralan radikal bebas dan menjaga kesihatan kulit.

    Ciri antiradangnya mengurangkan kerosakan kulit, membaiki lapisan luar pelindung kulit serta membantu menguruskan hiperpigmentasi jika digunakan secara topikal.

    Serum untuk hilangkan parut jerawat #Asid azelaic

    Ia mempunyai ciri antimikrob dan antiradang – menjadikan ia ubat yang berkesan untuk akne dan parut aktif.

    Ia menggalakkan pusingan ganti sel supaya kulit sembuh lebih cepat dan parut dapat dikurangkan. Ia juga mengurangkan kerengsaan serta keradangan dan merawat kemerahan untuk memudarkan parut.

    Ada kalanya keradangan juga boleh menyebabkan hiperpigmentasi, jadi asid ini dapat membantu menghentikan populasi sel kulit yang berubah warna.

    Baca juga:

    Selain guna serum untuk hilangkan parut jerawat, ini tip lain boleh anda cuba

    Antara perkara yang perlu dilakukan dan dielakkan:

    Memakai pelindung matahari

    Ia dapat mengurangkan risiko kerosakan kulit kesan sinaran UV dan menghalang bintik hitam gelap dan perubahan warna kulit.

    Jangan memicit jerawat

    Memicit jerawat meningkatkan risiko jangkitan dan parut. Selain itu, ia juga mencetuskan keradangan dan menyebabkan jerawat bertahan lebih lama dan jelas kelihatan di wajah.

    Gunakan produk lembut pada kulit

    Sentiasa gunakan produk lembut untuk kulit dan melakukan pergerakan perlahan semasa pengelupasan

    Hidratkan kulit luar dalam

    Pengambilan air mencukupi dapat melembapkan kulit secara dalaman untuk mengelakkan pengeluaran minyak berlebihan yang boleh menyumbat pori dan mengakibatkan jerawat.

    Bersabar 

    Untuk menghilangkan bekas jerawat ini biasanya memakan masa, jadi anda perlu bersabar dan membiarkan ia sembuh secara beransur-ansur.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan