Alamak, Ada Kemalangan! Nak Buat Apa Ni?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Pantang ada accident dekat tengah highway, mesti traffic jammed kan? Apa yang peliknya, kalau kemalangan tu berlaku di jalan yang menghala ke selatan, jalan yang menghala ke utara pun turut sama sesak sebab semua orang nak tengok lokasi kejadian. Begitu prihatin rakyat Malaysia, kan? Tapi, apa sebenarnya kita perlu buat kalau nampak kemalangan jalan raya

#1. Penunggang motosikal perlu berhenti terlebih dahulu

Sebagai penunggang motosikal, anda adalah orang pertama yang perlu berhenti untuk hulurkan bantuan. Ini kerana saiz kenderaan yang kecil memudahkan anda untuk berhenti segera. Cuma, letakkan motosikal anda secara menegak – lampu belakang dihalakan ke belakang, bukan melintang. Kemudian, nyalakan lampu hazard pada jarak lebih kurang 10 meter.

#2. Pemandu kereta boleh berhenti mengikut situasi

Sebagai pemandu kereta, anda tidak disarankan untuk berhenti di jalan raya yang sesak kerana ia akan menerukkan keadaan. Namun, jika kawasan tersebut lengang dan anda adalah saksi utama kejadian, anda patut berhenti untuk membantu. Tetapi, sila letakkan kenderaan di tempat yang selamat dan pasang reflektor segitiga serta nyalakan lampu hazard.

#3. Ingat dan catat informasi kejadian

Ini adalah perkara yang anda perlu utamakan kerana ia bakal menjadi bukti siasatan kelak. Ingat atau catat perkara berikut:

  • Nombor plat kenderaan yang terlibat
  • Karakteristik kenderaan yang terlibat
  • Lokasi kejadian berlaku
  • Punca kejadian berlaku
  • Butir peribadi mangsa dan suspek kejadian

#4. Periksa individu yang terlibat

Sesiapa sahaja yang terlibat dalam kemalangan, pasti akan panik, terkejut, menjerit, menangis atau meracau akibat kecederaan yang dialami. Jadi, periksa dan tenangkan mangsa atau suspek dengan mengatakan bantuan sedang dalam perjalanan.

kemalangan

#5. Hubungi talian kecemasan

Kadang-kadang kita mesti terkeliru nombor talian kecemasan terutamanya ketika sedang panik, bukan? Jadi, dail sahaja 999 – nombor talian kecemasan paling umum. Jelaskan lokasi kemalangan kepada operator dengan terperinci agar mereka mudah dan cepat sampai ke lokasi kejadian.  Selain itu, terangkan kepada operator keadaan individu yang terlibat.

#6. Hulurkan bantuan yang termampu

Melainkan anda seorang pakar, jangan cuba menghulurkan bantuan yang bakal memudaratkan mangsa. Sebaiknya, tanya dahulu anggota mana yang dirasakan sakit. Minta mereka menggerakkan tubuh badan mereka dan cuba bangkit dengan perlahan. Jika boleh bangun dan berjalan, beralih ke tempat yang lebih selamat dan tunggu bantuan tiba.

Jika kelihatan teruk dan mangsa tidak boleh bergerak atau tidak sedar, jangan sentuh apa-apa kerana ia mungkin akan mengeruhkan keadaan. Cuma, ada bantuan asas yang boleh dibuat:

  • Longgarkan helmet, baju atau seluar mangsa, jika boleh
  • Tanggalkan kasut dan sarung kaki atau sarung tangan mereka, jika boleh
  • Berikan air untuk memastikan mangsa tidak kehausan
  • Teduhkan mangsa dengan payung atau apa-apa sahaja objek yang boleh halang sinaran cahaya matahari
  • Kipaskan mangsa dengan surat khabar atau apa-apa sahaja objek yang boleh lancarkan oksigen kepada mangsa
  • Tutupkan mangsa dengan kain, kertas atau plastik sekiranya telah meninggal dunia

Namun, ini semua bukan perkara yang wajib dilakukan. Jika anda berasa ragu-ragu dengan keadaan mangsa, jangan sentuh mereka dan tunggu sehingga bantuan tiba.

#7. Laporkan kepada pihak berkuasa

Akhir sekali, laporkan kejadian kemalangan ini kepada pihak berkuasa. Selepas mangsa dan suspek dibawa ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan, anda boleh pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Maklumkan segala informasi kejadian yang anda tahu kepada mereka. Mungkin ia agak melecehkan, namun ketahuilah bahawa perbuatan anda ini akan banyak membantu kelak.

Konklusi

Kesimpulannya, banyak perkara yang perlu anda lakukan untuk membantu individu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, bukan sekadar melihat sahaja! Jika boleh, berhenti dan hulurkan bantuan tanpa menyusahkan pengguna jalan raya yang lain ya?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut