backup og meta

Kenapa Bila Ada Kemalangan, Ramai Pilih Untuk 'Lihat' Saja Dari Membantu? Ia Kerana Kesan Ini!

Kenapa Bila Ada Kemalangan, Ramai Pilih Untuk 'Lihat' Saja Dari Membantu? Ia Kerana Kesan Ini!

Pernahkah anda berdepan dengan situasi di mana kemalangan berlaku di depan mata dan hanya membiarkan sahaja. Ini kerana anda beranggapan bahawa orang lain akan datang untuk menolong mangsa?

Jika ya, anda mungkin pernah mengalami kesan pemerhati atau bystander effect.

Hakikatnya, fenomena ini sering sahaja terjadi dalam kalangan masyarakat kita.

Persoalannya, apakah maksud sebenar fenomena ini dan kenapa ia berlaku?

Untuk mengetahui jawapannya, ayuh kita sama-sama ikuti artikel ini!

Apa itu bystander effect?

apa itu bystander effect

Sebelum pergi lebih lanjut, wajarlah untuk kita ketahui serba sedikit mengenai perkara ini terlebih dahulu.

Bystander effect ini adalah suatu fenomena dalam psikologi sosial yang berlaku ketika seseorang memerlukan pertolongan namun tiada siapa di sekitarnya datang untuk membantu!

Alasannya, orang di sekeliling beranggapan akan ada orang lain yang datang membantu mangsa.

Namun, cuba anda bayangkan jika semua orang berfikiran sama seperti ini. Sudah pasti akhirnya nanti tiada siapa yang akan datang untuk membantu mangsa bukan?

Inilah fenomena yang dikenali sebagai kesan pemerhati.

Apa punca sebenar fenomena ini berlaku?

kesan pemerhati

Baiklah, sekarang kita sudah tahu apa itu bystander effect. Sekarang, mari kita beralih pula kepada punca ia terjadi.

Menurut pencipta istilah bystander effect ini sendiri iaitu Bibb Latane dan John Darley, terdapat 2 alasan utama yang menyebabkan fenomena ini terjadi iaitu:

#1. Tidak menganggap itu adalah tanggungjawab diri

Fenomena ini mungkin boleh terjadi akibat individu tidak menganggap perbuatan menolong orang lain yang ditimpa sesuatu kemalangan sebagai tanggungjawab mereka. Kenapa?

Ini kerana kebanyakan individu berpendapat membantu orang lain di tempat awam adalah tanggungjawab masyarakat secara bersama.

Disebabkan itu, tiada siapa yang akan datang untuk membantu mangsa melainkan ada orang lain yang memulakan langkah untuk menghulurkan pertolongan terlebih dahulu.

Secara hipotesisnya, semakin ramai orang di tempat awam, semakin sedikit keinginan individu untuk membantu mangsa kemalangan.

Ya, ia adalah sesuatu yang tidak bagus dan perlu diubah dengan kadar segera!

#2. Terlalu melihat kepada situasi orang lain

Seperti yang kebanyakan kita tahu, terdapat cara atau langkah spesifik untuk membantu mangsa kemalangan.

Sebagai contoh, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyentuh atau mengangkat mangsa kemalangan jalan raya kerana dikhuatiri perbuatan itu hanya akan membawa kepada komplikasi yang lebih teruk.

Inilah yang mendorong kepada berlakunya fenomena kesan pemerhati ini.

Kebanyakan individu akan mempunyai rasa takut atau malu untuk menolong kerana tidak tahu aturan yang betul bagi membantu mangsa.

Ini seterusnya akan membuat individu menjadi pemerhati untuk melihat sama ada orang lain menolong mangsa atau tidak terlebih dahulu.

Jika sudah ada yang menghulurkan bantuan, individu mungkin tidak akan turut serta kerana menganggap ia sudah selesai dan pertolongannya tidak lagi diperlukan.

Adakah terdapat faktor lain yang menyebabkan bystander effect terjadi?

kesan pemerhati

Selain yang diperkatakan oleh pencipta istilah ini sendiri, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan seseorang itu agak berat untuk menolong orang lain dan memilih untuk hanya menjadi pemerhati.

Sebagai contoh, kita boleh ambil situasi kes keganasan rumah tangga di kawasan kejiranan yang mengakibatkan mangsa mengalami trauma sehingga tidak mampu menuturkan perkataan.

Sebagai individu yang menyaksikan kejadian tersebut, anda mungkin tidak mahu untuk membantu mangsa kerana di fikiran anda terbayang tentang beberapa perkara seperti berikut:

  • Membantu mangsa hanya akan membuang masa, tenaga dan mungkin wang yang terlalu berharga itu
  • Membantu mangsa hanya akan membuat anda dituduh sebagai penyebab kejadian itu berlaku oleh jiran lain yang tidak tahu menahu mengenai kes keganasan rumah tangga itu
  • Membantu mangsa yang tidak begitu dikenali mungkin akan membuat anda kelihatan sebagai seorang penyibuk yang suka masuk campur urusan orang lain

Disebabkan perkara-perkara seperti ini, individu akan lebih cenderung untuk memilih menjadi pemerhati lalu menyebabkan fenomena bystander effect terjadi.

Apa yang perlu dilakukan untuk elak diri alami bystander effect?

apa itu bystander effect

Hakikatnya, kesan pemerhati ini adalah satu fenomena yang perlu dielakkan.

Bayangkan jika mangsa benar-benar memerlukan bantuan dan kita hanya berdiri jauh dengannya kerana tidak mahu membantu? Sudah pasti ia akan membuat mangsa lebih serabut bukan?

Jadi, sesuatu perlu dilakukan oleh diri kita sendiri untuk mengelakkan fenomena bystander effect ini berlaku tanpa dijangka kepada diri kita.

Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh cuba amalkan:

  • Tanam sifat simpati dan empati dalam diri
  • Cuba berkomunikasi dan bersoal jawab dengan orang di sekeliling tempat kejadian kemalangan
  • Tawar diri untuk menghubungi pihak berkuasa seperti polis, ambulans atau bomba
  • Pelawa orang di sekeliling untuk turut serta dalam membantu mangsa kemalangan

Ketahuilah bahawa fenomena kesan pemerhati atau bystander effect ini akan berlaku dan menjangkiti orang lain seakan wabak yang berbahaya.

Seperti konsep domino, tiada siapa yang memulakan sesuatu sekiranya anda sendiri tidak mengambil inisiatif.

Jadi, tidak salah untuk menjadi orang pertama yang memecahkan kitaran tidak sihat ini bukan?

Konklusi

Kesimpulannya, kita sudah tahu apa itu bystander effect berserta punca dan kesannya.

Sudah terang lagi bersuluh, ia adalah satu fenomena yang tidak wajar untuk dilakukan oleh kita.

Bayangkan jika anda terlihat satu kes ragut beg tangan ketika baru sahaja keluar dari bank, adakah anda mahu berlari mengejar peragut itu atau mengeluarkan telefon pintar untuk merakamnya?

Pilihan terletak di tangan anda.

Ketahuilah bahawa malang itu tidak berbau dan hidup ini ibarat roda. Jika ia berlaku kepada anda, apakah perasaan anda jika diperlakukan seperti orang asing?

Jadi, ayuhlah kita sama-sama berubah menjadi masyarakat yang lebih prihatin demi kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan kita semua!

Baca juga:

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.psychologytoday.com/intl/basics/bystander-effect
  2. https://www.verywellmind.com/the-bystander-effect-2795899
  3. https://hellosehat.com/hidup-sehat/psikologi/bystander-effect-adalah/

Versi Terbaru

03/06/2020

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Pesakit Kronik Perlu Ada Motivasi Hidup, Minda Positif- Pakar Kongsi Tip Cekal Uruskan Kanser

Jangan Biarkan Jika Rasa Penat Otak! Ini 5 Cara Efektif Bantu Atasi Keletihan Mental


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 03/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan