backup og meta

Tahap Celik Kesihatan Rakyat Malaysia Membimbangkan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 05/12/2019

    Tahap Celik Kesihatan Rakyat Malaysia Membimbangkan

    Kesihatan adalah satu aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran sesuatu masyarakat atau negara. Tanpa kesihatan yang baik, semua bidang lain akan terbantut. Oleh sebab itu, kesihatan adalah antara kayu ukur utama dalam kemajuan negara.

    Tahap kesihatan masyarakat bermula dengan kesedaran dan celik kesihatan yang berasal daripada dalam diri. Kita boleh bercakap tentang sistem dan teknologi serta kemudahan yang ada. Namun, tanpa budaya dan kesedaran yang baik, ia tidak akan dapat membendung peningkatan masalah kesihatan dalam negara terbabit.

    Rakyat Malaysia masih kurang celik kesihatan

    Celik kesihatan atau health literacy (HL) adalah kemampuan menerima, memproses serta memahami maklumat dan khidmat asas kesihatan untuk digunakan bagi menggalakkan dan mengekalkan kehidupan yang sihat.

    Mereka yang celik lebih tahu bagaimana mereka seharusnya menjalani kehidupan yang sihat dan memahami maklumat tentang kesihatan serta mendapatkan penjagaan kesihatan yang sepatutnya. Menurut Institut Perubatan Akademi Nasional Amerika Syarikat, golongan yang tidak celik kesihatan mempunyai tahap kesihatan 1.5 hingga 3 kali lebih rendah dan kurang mengambil langkah pencegahan dalam menangani penyakit berbanding mereka yang celik.

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, hanya 6.6% (Amerika Syarikat 12%) sahaja rakyat Malaysia yang celik kesihatan pada tahap yang baik. Kajian tersebut mengambil kira pengetahuan tentang gaya pemakanan sihat termasuk pengambilan kalori, jumlah hidangan dan pengambilan lemak.

    Budaya hidup sihat mencegah penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan

    Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem dan kemudahan kesihatan semata-mata walaupun sistem kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Tahap kesihatan sebuah negara paling tinggi apabila masyarakatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    Masyarakat yang sihat kurang terdedah kepada penyakit terutamanya penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, diabetes dan strok yang merupakan beban utama negara dalam bidang kesihatan. Akhirnya, bilangan pesakit akan menurun dan banyak kos rawatan dapat dikurangkan. Kualiti hidup dan produktiviti juga akan meningkat.

    Semua itu memerlukan masyarakat yang celik kesihatan.

    Masyarakat perlu diberikan pendedahan yang betul

    Untuk mempromosikan gaya hidup sihat serta maklumat yang tepat berkaitan kesihatan, ia memerlukan satu pelan komprehensif dan efektif yang melibatkan pelbagai sektor. Punca peratusan celik kesihatan yang rendah dalam kalangan masyarakat harus dikaji. Kemudian, pastikan maklumat kesihatan mudah diakses oleh semua orang.

    Pola yang dapat dilihat adalah golongan perpendidikan tinggi dan di bandar lebih celik. Mereka lebih banyak terdedah kepada maklumat kesihatan berbanding kumpulan lain. Capaian harus diperluas ke kawasan pedalaman yang secara amnya kurang mendapat maklumat yang betul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 05/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan