Sedapnya Keladi! Menarik Tentang Keladi yang Anda Perlu Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Anda tentu suka jika dihidangkan dengan aiskrim berperisa keladi di petang hari terutama ketika cuaca yang panas membahang atau mungkin juga ubi keladi yang digoreng untuk dijadikan kudapan. Bukan sahaja bahagian akar pokok keladi yang diambil untuk dimakan, malah batangnya juga boleh diolah menjadi lauk makan tengah hari yang enak seperti asam rebus batang keladi. Tetapi adakah anda tahu, terdapat lebih kurang 600 spesies keladi dan 150 spesies daripadanya ditanam untuk dijadikan makanan oleh manusia? Ya, keladi yang kita kenali mungkin hanya satu jenis sahaja tetapi sebenarnya ia mempunyai pelbagai jenis. Kepelbagaian jenis keladi ini adalah berdasarkan lokasi pembiakannya mengikut wilayah tertentu dan tentunya bukan sahaja berfungsi sebagai sumber makanan memandangkan terdapat sejenis keladi yang digunakan sebagai pewarna di bahagian selatan negara China. Ingin tahu lebih lanjut berkenaan keladi? Teruskan pembacaan anda melalui artikel ini.

Manfaat keladi kepada tubuh

Berpotensi meningkatkan fungsi otak

Dalam satu kajian yang dijalankan selama 12 minggu, peserta kajian yang mengambil suplemen ekstrak keladi telah mendapat skor yang lebih tinggi dalam ujian kefungsian otak berbanding mereka yang mengambil plasebo. Bagaimana keladi boleh memberikan kesan sebegitu rupa? Untuk maklumat anda, keladi mengandungi sebatian unik yang dipanggil sebagai diosgenin. Sebatian ini telah didapati menggalakkan pertumbuhan neuron dan meningkatkan fungsi otak manusia.

Boleh melegakan simptom menopaus

Keladi juga berpotensi dalam memberikan kelegaan terhadap beberapa simptom menopaus. Hal ini berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 24 orang wanita menopaus selama 30 hari. Mereka menukar diet mereka daripada nasi kepada keladi dalam 2 daripada 3 hidangan utama iaitu sebanyak 390 gram keladi sehari. Hasilnya, tahap estrone dan estradiol dalam darah meningkat, masing-masing sebanyak 26% dan 27%. Pada kebiasaannya, kedua-dua jenis hormon estrogen ini menurun semasa menopaus dan peningkatan tahap estrogen boleh memberikan kelegaan kepada simptom menopaus. Walau bagaimanapun, kajian lanjutan masih lagi diperlukan untuk memberikan bukti yang lebih jelas terhadap hasil kajian ini.

Manfaat lain keladi

Satu kajian telah menunjukkan bahawa kanji tahan (resistant starch) yang terdapat di dalam keladi mungkin meningkatkan enzim pencernaan yang membantu menguraikan makanan dan meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus manusia. Selain itu juga, keladi turut membantu memperbaiki tahap kolesterol dalam tubuh. Dalam satu penyelidikan, wanita yang memakan sebanyak 390 gram keladi sehari selama 30 hari mengalami penurunan tahap kolesterol darah sebanyak 6%.

Adakah keladi sebenarnya beracun?

Bagi sesetengah jenis keladi terutama keladi liar, ia adalah beracun. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa jenis keladi liar yang masih boleh dimakan dengan syarat ia mestilah dikupas dan dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan. Beberapa sebatian protein tumbuhan yang terdapat di dalam keladi bersifat toksik dan boleh menyebabkan kesakitan jika dimakan secara mentah. Jangan anda berasa risau kerana kebanyakan keladi yang dibiakkan sebagai tanaman makanan tidak mempunyai kandungan toksik dan ia selamat dimakan. Walaupun begitu, anda tetap disarankan untuk memasaknya terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan keracunan makanan atau masalah pencernaan.

Bagaimana untuk mengolah keladi?

Jika anda mendapat buah tangan daripada saudara mara anda yang menghadiahkan keladi kepada anda, jangan runsing jika anda tidak tahu apakah jenis masakan lain yang boleh diolah daripada keladi selain daripada keladi goreng. Kami boleh menyarankan beberapa kaedah masakan yang boleh anda cuba seperti berikut:

  • Puri keladi: rebus keladi sehingga lembut, kisarkan dan berikan sedikit perasa kepada puri tersebut.
  • Kerepek keladi: potong nipis keladi dan goreng atau bakarnya untuk menjadikannya rangup.
  • Keladi lenyek: kupas, rebus dan lenyek keladi tersebut bersama-sama susu dan sedikit garam.
  • Gratin keladi berkeju: potong nipis keladi dan bakarnya bersama-sama keju dan perasa.
  • Roti keladi: gunakan puri keladi dan campurkannya ke dalam adunan roti sebelum dibakar.

Keladi adalah sumber makanan yang kaya dengan kandungan serat, kalium, dan antioksidan. Ia adalah sejenis sumber makanan yang versatil dan mudah untuk disediakan. Oleh itu, pelbagai masakan keladi boleh membantu anda agar tidak berasa bosan setiap kali memakan keladi. Selepas membaca artikel ini, anda berkemungkinan akan lebih bersemangat mencari dan membeli keladi sebagai santapan keluarga mahupun dijadikan buah tangan kepada rakan-rakan anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: September 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 4, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut