Kopi segera seperti kopi 3 in 1 biasa menjadi pilihan ramai pengguna di mana-mana sahaja, baik di rumah, warung, kedai makan mahupun di pantri pejabat.
Disebabkan oleh penyediaannya yang jauh lebih mudah dan murah berbanding membelinya di kafe, ia menjadi pilihan nombor 1 bagi semua individu yang inginkan secawan minuman ringkas dan cepat disediakan.
Namun, timbul satu persoalan, adakah kopi segera seperti kopi 3 in 1 ini boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh kita?
Ketahui jawapannya di bawah ini.
Apakah sebenarnya kopi 3 in 1 atau kopi segera ini?
Kopi segera adalah sejenis kopi yang dihasilkan daripada ekstrak kopi kering.
Ekstrak kopi ini dihasilkan dengan cara membancuh biji kopi halus seperti pembuatan kopi biasa.
Namun ia lebih bersifat seperti pati atau ekstrak pekat berbanding serbuk kopi biasa.
Selepas kopi ini dibancuh atau dimasak, air yang terdapat pada ekstrak kopi ini dibuang agar berubah menjadi serbuk yang boleh dilarutkan dalam air.
Kopi segera boleh dijumpai sama ada dalam bentuk butiran, atau serbuk seperti kopi 3 dalam 1.
Akrilamida, bahan dalam kopi 3 in 1 yang menjadi kebimbangan ramai
Terdapat 1 bahan kimia dalam kopi segera yang mungkin dianggap berbahaya iaitu akrilamida.
Akrilamida ini terhasil sewaktu biji kopi dipanggang. Tetapi ia bukan hanya berada dalam biji kopi sahaja kerana bahan kimia ini turut berada dalam asap, barang perkakas rumah, produk penjagaan diri dan juga jenis makanan lain.
Namun, isunya di sini ialah tahap kandungan akrilamida dalam kopi segera.
Kopi segera dikatakan mengandungi akrilamida dengan jumlah sebanyak 2 kali ganda berbanding kopi segar.
Ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2013.
Apakah kesan akrilamida kepada kesihatan?
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nutrional Neuroscience pada tahun 2014, akrilamida boleh berkumpul dalam tubuh manusia lalu menyebabkan penyakit neuropati.
Neuropati adalah sejenis penyakit kegagalan sistem saraf manusia, yang boleh menyebabkan badan menjadi lemah dan mengalami kebas.
Selain itu, berdasarkan kajian oleh American Cancer Society, pendedahan terhadap akrilamida dengan kadar yang terlalu tinggi boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat kanser.
Kajian oleh The European Food Safety Authority pada tahun 2015 pula menyatakan, kopi adalah jenis makanan yang paling tinggi dengan kandungan akrilamida, selain produk-produk kentang goreng.
Namun, kajian tersebut juga ada menyatakan, jumlah akrilamida yang diperoleh daripada sumber makanan seperti ini tidak mencukupi untuk menyebabkan seseorang itu mendapat masalah kesihatan yang serius.
Oleh itu, meminum kopi segera seperti kopi 3 in 1 mungkin tidak akan menyebabkan kesan kesihatan yang begitu serius yang berpunca daripada kandungan akrilamida.
Kopi 3 in 1 juga ada manfaatnya?
Walaupun minuman kopi seperti kopi segera sering dikaitkan dengan kandungan kafein, ia juga mempunyai beberapa manfaat kesihatan yang mungkin tidak pernah anda tahu.
#1. Ada kandungan antioksidan
Tidak hanya pada kopi biasa, kopi segera juga mempunyai manfaat kesihatan yang sama banyak dengan kopi biasa.
Hasil kajian tersebut mendapati, setiap hidangan kopi segera mempunyai antara 6 hingga 188 miligram asid caffeoylquinic atau ringkasnya CQAs.
CQAs mempunyai kandungan antioksidan, antibakteria, antikanser, antihistamin yang menjadikan minuman kopi ini memberikan kesan yang baik pada tubuh.
#2. Kesan baik pada saraf dan juga otak
Kajian yang dijalankan pada tahun 2017 ada menyatakan, aroma kopi boleh merangsang sistem saraf pusat dalam tubuh manusia.
Selain itu, kopi juga boleh membantu meningkatkan penumpuan, kewaspadaan dan juga mood peminumnya.
Kopi juga dikaitkan dengan pengurangan risiko untuk mendapat strok dan mengelakkan penurunan fungsi kognitif dalam otak manusia.
Selain itu juga, terdapat beberapa manfaat lain yang boleh diperolehi daripada kopi segera ini. Antaranya ialah:
- Meningkatkan metabolisme: Kafein yang terkandung di dalam kopi boleh membantu meningkatkan metabolisme dan membakar lebih banyak lemak
- Kurangkan risiko penyakit: Kopi juga mungkin membantu mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan juga Parkinson
- Kurangkan risiko diabetes: Kopi mungkin membantu mengurangkan risiko seseorang itu untuk mendapat diabetes jenis 2
- Memperbaiki kesihatan hati: Kafein yang terdapat dalam kopi mungkin membantu mengurangkan risiko individu untuk mendapat penyakit hati seperti cirrhosis dan kanser hati
- Memperbaiki kesihatan mental: Kopi juga mungkin membantu mengurangkan risiko untuk seseorang itu mengalami kemurungan
Namun, semua kajian berkenaan kesan terhadap kesihatan seperti ini adalah kajian pemerhatian semata-mata.
Kajian berasaskan pemerhatian tidak dapat membuktikan kopi ini mampu mengurangkan risiko penyakit seperti yang dinyatakan.
Kajian hanya mendapati, kebanyakan individu yang meminum kopi dengan kerap lebih cenderung untuk tidak mempunyai penyakit seperti yang dinyatakan di atas ini.
Hanya kopi segera sahaja, tiada tambahan lain
Jika anda mahu mendapatkan kesemua manfaat seperti yang dinyatakan di atas, anda hanya perlu mengambil kopi segera sahaja tanpa tambahan gula, susu atau bahan perasa lain.
Kopi 3 in 1 mengandungi kandungan tambahan seperti gula dan krimer yang hanya menjadikan minuman tersebut menjadi kurang sihat.
Gula tambahan dalam kopi ini hanya akan menambahkan jumlah kalori yang seterusnya menyebabkan kenaikan berat badan.
Namun, tidak semua kopi 3 in 1 mempunyai kandungan tambahan seperti ini.
Semak senarai kandungan pada label produk untuk lebih kepastian sebelum membelinya.
[embed-health-tool-bmr]