Minyak Kelapa Sawit: Sihat atau Tidak?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penggunaan minyak kelapa sawit dipercayai telah wujud sejak 3000 tahun sebelum masihi malah ahli arkeologi menemui kesan minyak kelapa sawit di permakaman di Mesir. Perdagangan minyak kelapa sawit telah berlangsung selama beribu-ribu tahun dan orang Mesir dipercayai memperkenalkannya kepada pedagang Arab. Budaya mengekstrakan minyak dari kelapa sawit berasal daripada Afrika dan ia dianggap sebagai salah satu komoditi yang paling awal diperdagangkan.

Perdagangan minyak sawit terkesan dengan revolusi Perindustrian British, yang memperluas penggunaan minyak ini ke pasaran antarabangsa. Setelah itu, minyak sawit menjadi bahan mentah untuk pelbagai aktiviti pengeluaran dan pengilangan dan juga digunakan sebagai asas untuk pembuatan lilin dan pelincir di seluruh Eropah. Penggunaan minyak kelapa sawit ini menarik perhatian pelaburan dalam pengekstrakan minyak yang mempunyai permintaan tinggi dalam pelbagai industri. Sejak itu, penanaman kelapa sawit secara besar-besaran bermula di Afrika dan Asia.

Walaupun bebas daripada lemak trans, pengambilan satu sudu minyak kelapa sawit setiap hari sebagai makanan tambahan mungkin patut diperdebatkan manfaatnya. Disebalik retorik ahli politik untuk kempen sawit tersebut, adakah minyak ini sebenarnya memberi manfaat kesihatan atau tidak?

Minyak kelapa sawit tinggi lemak tepu?

Hujah utama yang tidak menggalakkan penggunaan minyak kelapa sawit sebagai minyak yang boleh dimakan adalah fakta bahawa ia mengandungi asid palmitik, yang merupakan asid lemak tepu, lantas berisiko meningkatkan jumlah  kolesterol dan kadar kolesterol LDL (kolesterol jahat). Walau bagaimanapun, terdapat banyak kajian saintifik, baik dalam haiwan dan manusia yang jelas menunjukkan bahawa penggunaan minyak sawit tidak meningkatkan tahap kolesterol dan tidak menyumbat saluran darah (aterogenik).

Selain daripada asid palmitik, minyak kelapa sawit terdiri daripada asid oleik dan linoleat yang merupakan minyak tidak tepu monounsaturated dan polyunsaturated. Minyak sawit juga mengandungi vitamin A dan E, yang merupakan antioksidan yang kuat. Minyak kelapa sawit telah dibuktikan secara saintifik melindungi jantung dan saluran darah dari plak dan kecederaan iskemia. Minyak sawit yang diambil dalam diet yang seimbang didapati tidak menyebabkan risiko tambahan terhadap penyakit kardiovaskular.

Walaupun lemak tepu meningkatkan kadar kolesterol dan dikaitkan dengan risiko penyakit kardiovaskular, tidak semua lemak tepu mempunyai kesan buruk. Asid palmitik, lemak tepu utama dalam minyak kelapa sawit mempunyai kesan yang sama terhadap seperti asid lemak oleik monounsaturated. Selain asid oleik dan linoleat, minyak kelapa sawit mengandungi vitamin E tocotrienols, antioksidan yang kuat dan menghalang pembentukan kolesterol.

Menariknya, dalam satu kajian pada tahun 2017 yang melibatkan penghasilan yogurt daripada kambing yang diberikan minyak kelapa sawit mendapati bahawa yogurt yang dihasilkan daripada kambing yang diberikan 4% dan 6% minyak kelapa sawit dalam diet mereka mempunyai kandungan lemak tepu yang rendah dan kandungan lemak tak tepu monounsaturated dan polyunsaturated yang lebih tinggi. Ini menjadikan komposisi yogurt yang terhasil lebih sihat.

Minyak kelapa sawit juga kaya antioksidan, omega 3, vitamin E dan vitamin K. Selagi mana pengambilan lemak tepu dipastikan kurang daripada 10% dalam diet seimbang, pengambilan minyak sawit tidak akan memudaratkan, bahkan memberikan manfaat kesihatan.

Jadi, minyak kelapa sawit pilihan makanan yang sihat?

Minyak kelapa sawit yang terdiri daripada 50% lemak tepu, mempunyai komposisi asid lemak lebih baik daripada minyak kelapa, yang lebih daripada 85% tepu. Secara umumnya, semakin tinggi kandungan lemak tepu, semakin padat lemak pada suhu bilik. Minyak sawit separa pejal pada suhu bilik tetapi boleh diproses menjadi minyak masak cair.

Lemak yang paling tidak sihat adalah lemak trans, yang kini diharamkan. Dihasilkan secara buatan melalui proses hidrogenasi, lemak trans bukan sahaja meningkatkan tahap LDL dan trigliserida, tetapi juga mengurangkan kolesterol HDL yang baik. Minyak separa dihidrogenasi yang banyak digunakan dalam makanan siap masak dan snek merupakan sumber utama minyak trans.

Oleh itu, minyak kelapa sawit menjadi alternatif yang paling selamat, ia kurang tepu berbanding mentega dan tidak mengandungi lemak trans. Jelasnya, minyak sawit merupakan pilihan lebih sihat berbanding mentega. Tetapi, minyak sayuran lain yang berbentuk cecair pada suhu bilik seperti minyak zaitun dan minyak canola tetap pilihan yang lebih sihat.

Smentara itu, kontroversi yang melanda Malaysia mengenai pengharaman minyak sawit di negara kesatuan Eropah merupakan hakikat yang perlu diakui kerana impaknya kepada alam sekitar. Permintaan tinggi dan penanaman kelapa sawit tanpa pengurusan persekitaran menjadikan kepupusan haiwan bernilai. Kajian mendapati dalam masa 16 tahun, 100 000 orang utan terkorban akibat perluasan penanaman sawit. Pengharaman tersebut merupakan tekanan kepada industri sawit untuk berusaha memastikan pengurusan tanaman sawit yang tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar. Kerana akhirnya, adakah perut kita lebih penting berbanding makhluk Tuhan lain yang terkorban dalam memenuhi permintaan komersial manusia?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut