Bercakap tentang faraj perempuan, biasanya merangkumi tentang keputihan, kekeringan dan sebagainya. Tetapi mungkinkah terdapat fakta mengenai kemaluan wanita yang tidak anda ketahui?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Fakta tentang faraj perempuan yang perlu anda tahu
Dr. Jen Gunter, seorang pakar OB/GYN di Kanada telah menjadi pakar rujukan di internet bagi perihal berkaitan wanita.
Dalam buku terbaru tulisan beliau, The Vagina Bible, doktor pakar yang berasal dari Winnipeg, San Francisco ini berkongsi beberapa perkara tentang faraj yang mungkin tidak diketahui selama ini.
Fakta #1 Faraj perempuan sebenarnya dipanggil vulva
Bahagian kemaluan wanita yang sering dipanggil “faraj” atau “vagina” ini sebenarnya dikenali sebagai vulva.
Manakala bahagian yang dinamakan sebagai vagina adalah bahagian dalamnya. Jadi selama ini ramai yang tersalah sangka, bukan?
Bahagian antara vulva dan vagina pula dipanggil sebagai vestibule. Kini anda sudah mengetahui istilah yang betul, bukan? Jadi pastikan anak anda juga mempelajari mengenainya.
Fakta tentang faraj perempuan #2 Saiz vagina
Saiz vagina tiada kaitan dengan saiz bentuk badan anda. Kedalaman vagina berbeza bagi setiap individu.
#3 Tiada istilah G-spot
Beberapa kajian mendapati tiada apa di antara uretra, kelentit (klitoris) atau dinding vagina yang disebut sebagai G-spot.
Jika anda tidak mengalami orgasma tanpa rangsangan pada klitoris, maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Dan jika anda boleh mengalaminya tanpa rangsangan pada klitoris juga ia tidak membawa sebarang pengertian yang istimewa.
#4 Pakaian dalam berenda bukan punca jangkitan yis
Ramai yang percaya jika pakai seluar dalam yang mempunyai renda, ia akan menyebabkan jangkitan yis. Namun, ia sebenarnya satu tanggapan yang salah!
Fakta tentang faraj perempuan #5 Mencuci sendiri
Mungkin ramai tidak tahu – vagina sebenarnya ada keupayaan untuk mencuci dirinya sendiri.
Tetapi hakikatnya, ramai individu wanita memilih untuk melakukan douching (meruang), memasukkan tisu, pengewapan, menggunakan deodoran suppositories dan semburan wangian untuk mencucinya!
Tindakan sebegini amat tidak diperlukan dan mendatangkan risiko bahaya, sekali gus menjadikan anda mudah terdedah kepada bakteria vaginosis.
6. Pelincir untuk seks
Ada wanita berasakan ia adalah salah jika mereka memerlukan sesuatu sebagai pelincir (lube) ketika melakukan seks.
Ia sebenarnya salah sama sekali. Hakikatnya terdapat sebab mengapa vagina anda kering, sama ada disebabkan oleh penyusuan, pemakaian alat kawalan kelahiran, foreplay yang tidak mencukupi atau mungkin menopaus.
Jadi anda tidak perlu berasa malu jika anda perlu menggunakan pelincir ketika melakukan seks. Anda juga tidak harus menghakimi mana-mana individu yang menggunakan pelincir.
Namun, jika anda sedang berusaha untuk hamil, pastikan pelincir yang anda gunakan tidak mengandungi spermicide.
7. Mempunyai fungsi
Adakah anda tahu fungsi bulu pada kemaluan atau bulu ari-ari?
Ia bertujuan untuk melindungi vulva dengan memberikan pelindungan fizikal, memerangkap kotoran dan serpihan mikroskopik serta membantu mengekalkan kelembapan. Untuk pengetahuan anda, kulit pada bahagian vulva mempunyai kadar kelembapan yang tinggi.
8. Pilihan rawatan
Masalah kesakitan pada faraj perempuan boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, sama ada disebabkan oleh hubungan seks yang dilakukan atau kekejangan otot pada lantai pelvik.
Walau bagaimanapun, jika anda berasa sakit pada bahagian tersebut, anda tidak perlu mendiamkan diri dan terus menahan kesakitan.
Penjagaan faraj perempuan
Apa yang disenaraikan di atas mungkin perkara-perkara yang pertama kali anda ketahui atau anda sebenarnya seorang pakar yang sudah lama mengetahuinya. Tetapi bagaimana pula dengan aspek penjagaan kemaluan wanita?
Ujian STD
Anda disarankan untuk berjumpa doktor anda secara teratur untuk menguji sel yang tidak normal dan STD (penyakit kelamin) walaupun anda menggunakan perlindungan ketika melakukan hubungan seks dan monogami.
Beberapa jenis STD dan beberapa penyakit menular adalah tanpa simptom, jadi dengan hanya mengandaikan bahawa anda sihat tanpa mendapatkan pemeriksaan kesihatan boleh membawa kepada penyakit keradangan pelvik.
Tukar tampon, pad
Anda perlu menukar tampon dan tuala wanita sebelum ia penuh dengan darah haid. Anda dicadangkan untuk menukarnya setiap 4 hingga 6 jam, tetapi ia berbeza mengikut individu.
Elak menggunakan tampon pada ketika tempoh haid anda sedikit untuk mengelakkan sindrom kejutan toksik.
Dari depan ke belakang
Basuh bahagian intim anda dari depan ke bahagian belakang selepas membuang air sama ada kencing atau air besar untuk mengelakkan jangkitan bakteria.
Lakukan dengan berhati-hati dan bersih untuk memastikan tiada baki kekotoran yang tertinggal. Lapkan vagina dan dubur anda menggunakan tisu tandas lembut, putih yang tidak mengandungi bahan pewarna atau bahan kimia berbahaya.
Akhir kata
Banyak fakta dan mitos mengenai faraj yang sering dicampur adukkan dalam kehidupan seharian kita.
Jadi sebelum anda melakukan sesuatu terhadap bahagian intim anda itu, pastikan anda mendapatkan pengesahan daripada doktor pakar bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.
[embed-health-tool-ovulation]