Bangkit dan jatuh semula
Tatkala anda menadah tangan, berdoa, apa yang anda doakan? Cabaran menjadi lebih mudah? Saya tak dapat mengira berapa kali saya mendoakan perkara yang sama namun depresi membuatkan segalanya menjadi negatif. Setiap kali bangun tidur, dunia kelihatan malap, gelap dan tidak ceria, badan sentiasa sakit dan saya tidak larat untuk bergerak ke kelas. Bayangkan perkara tersebut terjadi sepanjang tempoh 4 tahun anda belajar di sekolah perubatan. Kesannya? Saya gagal dalam peperiksaan akhir tahun 4 dan dikehendaki untuk mengulang tahun.
Pada ketika ini, buat pertama kalinya, saya putus asa. Jubah graduasi kelihatan jauh tak tergapai dek tangan. Saya menangis mengenangkan realiti yang kini, saya, berseorangan. Namun digagahkan diri untuk hadir ke kelas. Biar lambat, asal sampai. Keluarga masih tidak faham, namun hidup perlu diteruskan. Seorang demi seorang pergi meninggalkan diri. Yang setia menunggu? Hanyalah Sang Pencipta.
Penat
Sampai satu ketika, kita akan penat. Penat dengan kesusahan yang tiada penghujungnya. Penat kerana didatangi oleh manusia yang tidak memahami diri. Saya merupakan seorang yang positif. Walau seteruk mana pun musibah yang melanda, saya cuba sedaya upaya untuk mencari kebaikan daripada situasi tersebut. Apakah rahsia untuk mudah melawan depresi? Tiada. Tiada rahsia untuk memudahkannya. Jangan berdoa untuk dipermudahkan cabaran, doa agar diperkuatkan diri untuk menghadapi cabaran. Jika tuhan percaya kita mampu, mengapa kita tidak?
Rakan-rakan boleh menjadi tunjang utama dalam melawan depresi. Malangnya, saya hanya sedar perkara itu ketika saya berada di tahun akhir pengajian. Luahkan perasaan anda kepada mereka yang anda percaya. Mereka tidak akan faham sepenuhnya tapi percayalah, bukan pemahaman yang anda akan harapkan, cuma telinga yang mendengar. Anda tidak berseorangan!
Segulung ijazah yang lebih bermakna
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen