Urut Zakar: Apa Itu Teknik Jelqing?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Untuk kebanyakan lelaki, zakar mereka (khususnya saiz zakar tersebut) adalah satu aset yang paling bernilai pada mereka. Ini kerana untuk kebanyakan mereka, selain keupayaan zakar mereka untuk mengekalkan ereksi dengan lama, saiz zakar mereka juga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi keyakinan diri mereka. Dalam kalangan lelaki, ianya melambangkan nilai maskulin dan juga kegagahan. Selain itu, saiz zakar juga mempengaruhi persepsi diri seorang lelaki, rasa yakin ketika melakukan seks dan juga untuk keyakinan untuk mempamerkan diri mereka secara telanjang kepada pasangan mereka. Disebabkan itu, kebanyakan mereka akan mencuba hampir semua alternatif termasuklah cincin zakar dan juga kaedah urut zakar yang lain daripada yang lain demi mencapai kehendak mereka – saiz zakar yang memuaskan.

Apakah saiz zakar yang normal?

Menurut satu kajian yang telah diterbitkan di dalam British Journal of Urology International (BJUI), purata panjang zakar dalam keadaan tidak tegang adalah 3.61 inci, manakala purata panjang zakar ketika tegang atau dalam ereksi pula adalah 5.16 inci. Selain itu, kajian ini juga turut menilai dimensi lain pada struktur zakar seperti ukur lilit zakar. Menurutnya, purata ukur lilit zakar ketika tidak tegang adalah 3.66 inci manakala purata ukur lilit zakar ketika ianya tegang atau dalam ereksi adalah 4.59 inci. Sebagai penjelasan, ukuran lilit ini diambil pada bahagian zakar yang mempunyai diameter yang paling besar.

Kajian yang diterbitkan dalam BJUI ini menggunakan data yang diperoleh daripada 17 kajian, yang secara keseluruhannya, melibatkan lebih 15 000 lelaki. Tambahan kepada ukuran yang diperoleh, analisis saiz ini turut diletakkan dalam bentuk graf persentil. Dapatan daripada graf persentil tersebut menunjukkan bahawa panjang zakar tegang yang berada pada 6.3 inci dan ke atas adalah tergolong dalam persentil ke-95. Dalam bahasa mudahnya, dalam taburan rawak yang membabitkan 100 orang lelaki, hanya akan ada 5 orang sahaja daripada bilangan tersebut yang memiliki panjang zakar sekurang-kuranganya 6.3 inci setelah tegang atau dalam ereksi.

Di sisi lain graf tersebut, panjang zakar ketika tegang berukuran 3.94 inci didapati berada pada persentil ke-5. Ini bermakna, dalam 100 orang lelaki yang diambil secara rawak, hanya 5 orang sahaja yang akan mempunyai panjang zakar ketika tegang bawah daripada 3.94 inci.

Beberapa kajian lain tentang dimensi zakar turut membuahkan hasil yang seakan-akan sama. Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Journal of Urology turut menemui bahawa saiz zakar ketika tidak tegang bukanlah indikator yang baik atau tepat dalam meramal saiz zakar ketika tegang. Dapatan ini adalah suatu penemuan yang menarik kerana salah satu mitos dan faham yang dipegang kuat dalam kalangan lelaki adalah sekiranya saiz zakar ketika tidak tegang akan membesar dalam nilai gandaan tertentu apabila ianya mencapai ereksi. Ini bermaksud jika saiz zakar mereka ketika tidak tegang itu besar dan panjang, ini bermakna dalam keadaan tegang atau dalam ereksi, saiz zakar tersebut akan membesar dengan lebih banyak, dan begitu juga sebaliknya. Kajian ini membuktikan bahawa lelaki berupaya untuk mempunyai saiz zakar yang sama apabila mereka mencapai ereksi, walaupun saiz zakar mereka ketika tidak tegang adalah berbeza.

Adakah Saiz Zakar Itu Penting Untuk Kepuasan Seks?

Lelaki rata-ratanya percaya bahawa saiz zakar yang kecil tidak mampu untuk memberikan kepuasan dan rasa nikmat kepada pasangan mereka apabila mereka melakukan persetubuhan. Kegagalan untuk memuaskan pasangan mereka akan menjejaskan keyakinan diri dan nilai diri mereka. Oleh yang demikian, kebanyakan lelaki akan merasa cemas atau gelisah jika mereka dapati saiz zakar mereka adalah tidak cukup besar.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam journal PLOS OneTrusted Source, para pengkaji menemu bual 75 wanita yang aktif dalam aktiviti seks, tentang saiz zakar yang mereka gemari untuk seks kasual untuk satu malam sahaja dan juga dalam hubungan jangka masa panjang. Para pengkaji menunjukkan 33 jenis model zakar 3-D berbeza saiz kepada subjek.

Dapatan daripada kajian ini adalah saiz purata yang digemari oleh wanita ketika menjalinkan hubungan seks kasual untuk satu malam sahaja adalah 6.4 inci panjang, dengan ukur lilit 5 inci. Namun yang demikian, untuk hubungan jangka masa panjang, purata saiz yang digemari wanita adalah 6.3 inci panjang dan mempunyai ukur lilit sebanyak 4.8 inci. Kedua-dua situasi menunjukkan saiz zakar yang sedikit besar berbanding purata saiz zakar lelaki.

Dalam kajian lain yang turut menilai citarasa zakar dalam kalangan wanita, pengkaji mendapati bahawa berbanding ukur panjang zakar, wanita lebih mementingkan ukur lilit zakar tersebut untuk memberikan kepuasan ketika melakukan seks.

Persepsi lelaki terhadap zakar mereka juga mempengaruhi kesihatan mental mereka. Lelaki yang sentiasa rasa risau dan tidak selesa tentang saiz zakar mereka (sama ada dalam keadaan tegang ataupun tidak) akan cenderung untuk mengalami masalah emosi dan juga masalah ereksi disfungsi (mati pucuk) akibat kegelisahan tersebut.

Namun yang demikian, lelaki mungkin bukanlah yang terbaik dalam menilai panjang zakar mereka. Apatah lagi, mereka tidak mempunyai perbandingan lain yang mudah untuk mereka lihat dan bandingkan dari semasa ke semasa. Menurut satu kajian yang melibatkan 67 orang lelaki yang merasakan saiz zakar mereka terlalu kecil, mereka mendapati hakikatnya adalah saiz zakar mereka adalah normal dan tidak cukup syarat untuk disyorkan kaedah rawatan pemanjangan zakar.

Bolehkan Saya Besarkan Saiz Zakar Saya?

Keputusan untuk memanjangkan zakar perlulah dibuat selepas mendapatkan nasihat pakar Urologi. Menurut kajian dalam The Journal of Urology, mereka menyarankan agar hanya lelaki yang mempunyai ukuran zakar tidak tegang sepanjang 1.6 inci, dan ukuran zakar ketika tegang sepanjang 3 inci sahaja sebagai calon yang sesuai dan layak untuk rawatan pemanjangan zakar. Selain itu, konsultasi dan nasihat daripada ahli psikologi juga adalah disarankan agar masalah-masalah emosi dan persepsi tentang zakar, seperti penyakit Koro dan juga sindrom zakar kecil (small penis syndrome), dapat dikenalpasti dan rawatan yang tidak perlu dapat dielakkan.

Apa Itu Urut Zakar Teknik Jelqing?

Urut zakar teknik Jelqing ini adalah sejenis teknik urut zakar yang melibatkan urutan dan regangan zakar (mirip perbuatan melancap) bermula di bahagian tengah zakar (ketika tegang). Melalui penggunaan daya yang sederhana atau sedikit kuat, urut zakar teknik Jelqing ini akan mengakibatkan kekoyakkan tisu pada skala mikro pada tisu dalaman zakar (micro-tear). Matlamat teknik urutan ini adalah untuk menggalakan penghantaran darah yang kaya dengan nutrien kepada bahagian zakar, membantu proses pemulihan otot zakar (yang secara teorinya akan menjadikan saiz zakar lebih besar) selain menggalakkan darah mudah berkumpul untuk ereksi yang lebih besar dan panjang.

Teknik pegangan atau genggaman zakar adalah kunci kepada kejayaan atau kualiti kepada teknik urut zakar Jelqing ini. Sedikit berbeza dengan genggaman satu tangan yang digunakan ketika lelaki melancap, teknik urut zakar Jelqing ini menggunakan kedua-dua belah tangan. Cara anda menggengam zakar anda adalah dengan membuat bentuk ‘OK’ dan genggam zakar anda dalam lubang tersebut.

Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa teknik urut zakar Jelqing ini berasal daripada Timur Tengah, di mana golongan bapa akan menyediakan anak-anak lelaki mereka untuk memasuki fasa dewasa dan juga fasa reproduksi. Akibat pemahaman bahawa saiz yang besar melambangkan nilai maskulin, teknik urut zakar Jelqing ini diajarkan kepada anak-anak lelaki bagi memenuhi kriteria maskulin yang jumud ini.

Bahkan, ianya turut dikatakan bahawa perkataan slanga “jerk-off” yang bermaksud perbuatan onani atau melancap itu, berasal daripada perkataan “jelq”, singkatan kepada teknik urut zakar Jelqing.

Berikut adalah rutin urut zakar Jelqing:

Rutin persediaan urut zakar (warm-up routine):

  1. Mandi air panas atau sedikit suam.
  2. Dapatkan zakar anda dalam keadaan separa tegang (belum mencapai ereksi penuh)
  3. Balutkan zakar anda menggunakan tuala suam dalam tempoh sekitar 15 minit.

Selepas rutin persediaan selesai dilakukan, anda telah bersedia untuk memasuki fasa seterusnya – rutin urut zakar Jelqing. Oleh itu, berikut merupakan rutin teknik urut zakar Jelqing:

  1. Sapukan cecair pelincir berasaskan air pada zakar anda.
  2. Buat simbol “OK” menggunakan jari telunjuk dan ibu jari (bahagian tangan kanan)
  3. Genggam zakar anda di bahagian yang paling dekat dengan perut/tulang pelvis anda (bahagian tunjang zakar)
  4. Sambil mengekalkan kekuatan genggaman, gerakan genggaman ini perlahan-lahan ke bahagian depan/hujung zakar anda atau bahagian pembahagi (jika anda berkhatan). Pergerakan ini perlu berlaku dalam tempo yang perlahan, mengambil masa sekitar 3 saat dari dasar zakar ke bahagian hujung. Sekiranya anda rasa tidak selesa apabila sampai ke bahagian kepala zakar, elakkan atau jangan menggenggam terlalu kuat di bahagian tersebut.
  5. Tangan kiri anda seterunya akan melakukan kitaran yang sama (bermula daripada langkah 2 hingga langkah 4)
  6. Teruskan bertukar tangan sehingga anda telah mencapai sekitar 50 kitaran. Anda mungkin memerlukan bantuan pasangan anda dan bergilir-gilir melakukan teknik urut zakar ini jika anda tidak ingin terlalu penat.
  7. Jika anda ingin mencuba untuk kali pertama, mulakan dahulu dengan kitaran yang lebih rendah (20 kitaran) agar zakar anda mampu untuk bersedia dan menyuaikan tekanan daripada genggaman. Anda boleh perlahan-lahan tingkatkan bilangan kitaran Jelqing pada sesi-sesi berikutnya apabila dan sudah selesa dan mampu menahan teknik urut zakar ini.

Setelah anda selesai melakukan teknik urut zakar Jelqing tadi, anda boleh bergerak ke rutin atau fasa seterusnya – Rutin Penyudah.

Rutin penyudah (Cool-down routine):

  1. Dapatkan tuala atau secebis pakaian yang boleh menyerap haba air, rendamnya dalam air sedikit panas atau suam.
  2. Balutkan tuala atau kain tersebut tadi pada zakar anda.
  3. Berehat dan biarkan balutan pada zakar anda itu untuk tempoh sekitar 5 hingga 10 minit.

Terdapat juga satu lagi variasi dalam teknik urut zakar ini. Jika yang diatas menggunakan genggaman “O”, variasi yang disebut sebagai ‘pincher’ ini membabitkan genggaman seperti cubitan. Ibu jari di letak di bahagian bawah zakar manakala jari telunjuk diletakkan di bahagian atas. Seperti dalam teknik “O”, posisi genggaman ini digerakan daripada dasar zakar hinggalah ke bahagian hujung.

Adakah Jelqing berkesan?

Di sini di mana berlakunya perselisihan – Terdapat pakar seks dan juga segelintir daripada mereka yang pernah mencuba mengatakan ianya berkesan bukan sahaja untuk meningkatkan saiz dan ukuran zakar, bahkan prestasi tahan lama zakar mereka ketika melakukan seks. Secara teorinya, teknik urut zakar Jelqing ini adalah sejenis senaman dan senaman yang kerap kepada zakar membantu untuk melatih zakar untuk menampung darah dan juga mengekalkan ereksi.

Di sebalik beberapa testimoni dan pembuktian melalui anekdot, tiada bukti saintifik melalui kajian rapi yang menyokong dapatan ini. Bahkan, pembesaran zakar dan peningkatan prestasi seks melalui kaedah ini dikatakan tidak masuk akal secara biologinya dan disifatkan sebagai mitos kesihatan. Tambahan lagi, terdapat juga doktor yang menasihati agar anda elak melakukannya kerana risiko kerosakan struktur dalaman dan tisu-tisu zakar.

Kaedah Lain Untuk Meningkatkan Saiz Zakar Selain Jelqing

Kaedah-kaedah fizikal lain yang turut digunakan untuk memanjangkan zakar adalah dengan penggunaan alat pam (pumping method/penis pump). Teknik ini menggunakan sejenis alat yang dipanggil VED iaitu Vacuum Erection Device. VED berfungsi dengan menghasilkan tekanan negatif yang menyebabkan darah bergerak masuk, memenuhi dalaman zakar. Untuk mengelakan kebocoran tekanan, balutan kedap udara di buat pada dasar zakar namun pemakaian balutan yang melebihi 30 mini berisiko untuk merosakkan tisu-tisu dan saraf dalaman zakar anda secara kekal, menyebabkan seseorang itu boleh menghidap Disfungsi Ereksi.

Selain itu, terdapat juga kaedah berasaskan pembedahan dalam memanjangkan zakar namun prosedur ini membawa risiko komplikasi yang serius dan signifikan. Prosedur-prosedur pembedahan ini termasuklah suntikan lemak bawah kulit (subcutaneous fat injection), pembahagian ligamen suspensory (division of the suspensory ligament), suntikan fillers kulit dan juga suntikan gel silikon. Menurut Persatuan Urologi Amerika (AUA), suntikan lemak bawah kulit tidak terbukti sebagai selamat mahupun berkesan dalam memanjangkan zakar. AUA juga menyatakan bahawa pembahagian ligamen suspensory adalah tidak terbukti sebagai selamat. Akhir sekali, suntikan fillers ke dalam zakar adalah prosedur yang tidak diluluskan oleh di Amerika.

Hakikat prestasi dan kesihatan zakar sebenarnya bergantung kepada gaya hidup yang sihat, yakni gaya hidup yang berteraskan pemakanan yang seimbang dan juga senaman yang kerap. Tambahan kepada langkah yang disebut tadi, tidur yang mencukupi serta pengurusan stres yang baik juga membantu untuk meningkatkan prestasi seksual zakar anda. Selain itu, memastikan vitamin dan nutrien yang optimum membantu untuk mengekalkan fungsi badan yang baik, termasuklah fungsi dan tumbesaran zakar anda.

Nilai seorang lelaki itu tidak hanya bergantung pada zakar mereka. Seseorang lelaki itu dinilai berdasarkan perwatakan mereka, nilai-nilai murni mereka, kesetiaan dan juga bagaimana mereka menyantuni pasangan mereka. Pemahaman bahawa nilai maskulin seseorang lelaki itu terletak pada zakar mereka adalah satu pemahaman yang toksik dan mendorong kaum lelaki untuk melakukan pelbagai prosedur dan juga rawatan yang berbahaya. Sekiranya anda mempunyai masalah berkaitan dengan zakar, berjumpalah dengan doktor pakar agar anda mampu untuk mendapatkan maklumat yang tepat, nasihat yang berguna serta pilihan rawatan yang selamat dan berkesan. Kemungkinan besar, anda mungkin keliru dan hanya terpengaruh dengan slogan-slogan yang menyebabkan anda gelisah dan ragu akan saiz dan keupayaan zakar anda. Konsultasi dan nasihat pakar psikologi juga adalah sangat berguna bagi menyaring sebarang masalah emosi dan mental yang mungkin menjelaskan kegelisahan anda terhadap saiz dan prestasi zakar anda. Elakkan daripada menggunakan keadah yang tidak selamat atau mendapatkan khidmat daripada pengamal yang tidak bertauliah.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut