Mengejutkan, Tanda Diabetes Jenis 2 Kini Boleh Dikesan Seawal Umur 8 Tahun

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Semasa kecil, penulis sering meminta kepada nenek untuk membelikan gula-gula atau coklat jika mengikutnya ke kedai runcit atau pasar. Kadangkala, penulis akan meminta sedikit wang pada waktu petang untuk membeli aiskrim setelah melaksanakan sesuatu tugasan yang dipinta. Kanak-kanak mana yang tidak sukakan nenek seperti ini, yang bersifat pemurah untuk membelikan apa sahaja mengikut kehendak cucunya. Walau bagaimanapun, jika anda sudah bergelar datuk atau nenek nanti, anda tidak perlu mengikuti semua kehendak cucu-cucu anda terutamanya jika mereka meminta untuk dibelikan gula-gula, coklat, atau makanan ringan yang nyata tidak berkhasiat, jika anda benar-benar menyayangi mereka. Ingin tahu mengapa? Ikuti penemuan terbaharu kajian seperti di bawah. 

Berdasarkan hasil kajian terbaharu, tanda-tanda awal bagi diabetes jenis 2 dewasa boleh dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak seawal umur 8 tahun. Mengejutkan bukan? Saintis yang terlibat telah melaksanakan analisis terhadap 4,000 individu yang mempunyai risiko genetik bagi diabetes jenis 2 tersebut, bermula daripada usia mereka 8 tahun sehinggalah 25 tahun. Data kajian telah diambil sekali ketika peserta kajian berumur 8 tahun, dua kali ketika berumur 16 dan 18 tahun, dan sekali lagi ketika mereka telah berusia 25 tahun.

Kajian tersebut telah berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 150 variasi DNA yang difikirkan memainkan peranan sama ada seseorang individu itu akan mempunyai diabetes jenis 2 atau tidak pada masa hadapan. Para penyelidik mendapati bahawa, tahap kolesterol HDL atau “kolesterol baik” telah berkurangan ketika peserta berumur 8 tahun. Manakala asid amino dan sejenis molekul protein iaitu glycoprotein acetyls telah meningkat ketika para peserta berada pada fasa pertengahan dan akhir zaman remaja. 

Kajian mengenai bagaimana diabetes berkembang

Menurut Dr. Joshua Bell yang merupakan salah seorang penyelidik yang terlibat, beliau menyatakan bahawa penemuan ini merupakan satu penemuan yang luar biasa. Ini kerana mereka dapat melihat tanda-tanda diabetes dewasa lebih awal melalui darah bermula seawal usia 8 tahun. Menurut beliau lagi, kajian ini bukanlah satu kajian klinikal kerana hampir kesemua peserta adalah bebas daripada penyakit diabetes. Kajian ini ingin melihat bagaimana genetik boleh memaklumkan kepada manusia berkenaan cara sesuatu penyakit tersebut berkembang. Beliau turut menambah, sekiranya kita ingin mencegah penyakit diabetes, kita perlu mengetahui bagaimana ia bermula dan kajian genetik boleh memberikan maklumat berkenaan hal tersebut. Beliau turut menekankan bahawa kajian yang dijalankan ini bukanlah bertujuan untuk melakukan ramalan berkenaan siapa yang akan mendapat diabetes atau tidak, tetapi untuk mempelajari bagaimana penyakit diabetes ini berkembang.

Faktor pemicu lain bagi diabetes jenis 2

Walau bagaimanapun, variasi DNA semata-mata bukanlah satu pengukur yang paling tepat untuk menjangkakan seseorang kanak-kanak itu akan memiliki risiko untuk mendapat diabetes pada masa hadapan. Risiko ini turut bergantung kepada faktor lain seperti pemilihan gaya hidup, obesiti dan kehidupan yang tidak aktif, yang turut menyumbang kepada peningkatan risiko bagi mendapat diabetes jenis 2 tersebut. Menurut Dr. Elizabeth Robertson, walaupun manusia tidak dapat melaksanakan sebarang perubahan terhadap risiko genetik, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes seperti mengekalkan berat badan yang ideal, makan secara sihat dan kekalkan gaya hidup yang aktif. 

Selepas ini, jika cucu anda merungut mahu dibelikan gula-gula semasa menemani anda ke kedai runcit, gantikannya dengan membeli sesuatu yang lebih berkhasiat seperti buah-buahan. Nyatakan pilihan kepada cucu anda, sama ada mahu dibelikan buah-buahan atau tidak mendapat sebarang ganjaran langsung daripada anda. Mereka pasti ingin dibelikan sesuatu berbanding daripada pulang ke rumah dengan tangan kosong. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut