backup og meta

Selalu Haus, Berat Banyak Turun? Jaga-Jaga, Ini Semua Tanda Awal Diabetes Pada Wanita!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/07/2022

    Selalu Haus, Berat Banyak Turun? Jaga-Jaga, Ini Semua Tanda Awal Diabetes Pada Wanita!

    Tahukah anda, ada tanda tanda diabetes pada wanita yang sedikit berbeza daripada kaum Adam? Antaranya ialah kerap kencing, nafas berbau buah dan penurunan berat badan yang abnormal.

    Menurut Cleveland Clinic, kebanyakan individu yang baharu didiagnosis dengan kencing manis selalunya telah menghidap penyakit ini selama 5 tahun. Malah, ketika diperiksa, ada pesakit yang sudahpun mengalami masalah penglihatan dan buah pinggang.

    Sebab itulah, penting untuk kaum Hawa mengesan awal sebarang simptom diabetes.

    Peningkatan kadar gula dalam darah boleh menyebabkan kerosakan saraf, buah pinggang dan retina. Jika dibiarkan tanpa rawatan, kerosakan tersebut akan menjadi semakin serius dan sukar untuk dirawat!

    Jom ambil tahu tanda tanda diabetes pada wanita. Jika anda alami simptom ini, cepat-cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut ya!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    7 tanda tanda diabetes pada wanita

    tanda tanda diabetes pada wanita

    Menurut pakar, ada beberapa simptom yang boleh menjadi tanda kencing manis. Walaupun simptomnya tidak ketara, anda masih boleh berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. Antara tanda diabetes pada wanita ialah:

    1. Buang air lebih kerap daripada biasa

    Tahukah anda, kerap membuang air kecil merupakan antara tanda diabetes pada wanita? Ini juga merupakan salah satu simptom lazim bagi penghidap diabetes.

    Apabila anda menghidap kencing manis, glukosa atau gula yang berlebihan akan berkumpul di dalam darah. Jadi, buah pinggang terpaksa bekerja lebih masa untuk menapis dan membuang semua lebihan gula ini dalam bentuk air kencing.

    Jika anda sering membuang air terutamanya pada waktu malam, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

    2. Anda sering rasa haus tanpa sebab

    tanda tanda diabetes pada wanita

    Apabila buah pinggang anda terbeban, lama-kelamaan ia tidak lagi dapat melakukan tugasannya dengan sempurna. Selain glukosa, badan juga akan mula ‘menarik’ cecair lain dalam tisu untuk dibuang dari badan.

    Sebab itulah, penghidap kencing manis sering rasa haus tanpa sebab. Malah, semakin banyak anda minum air, anda akan rasa semakin haus!

    Antara tanda dehidrasi ialah air kencing yang berwarna keruh. Selain itu, tanda tanda diabetes pada wanita yang lain ialah kerap rasa haus dan penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.

    Baca juga:

    3. Mulut berbau busuk antara tanda tanda diabetes pada wanita

    “Dah banyak kali berus gigi, tapi mulut masih lagi berbau busuk! Apa masalahnya ini?”

    Ketahuilah bahawa salah satu tanda diabetes ialah bau mulut yang abnormal. Dehidrasi yang berlaku disebabkan diabetes akan menyebabkan mulut menjadi kering.

    Lama-kelamaan, keseimbangan pH dalam mulut akan terganggu dan nafas kita akan mula menjadi busuk!

    Lebih merisaukan jika bau mulut anda manis atau ‘fruity’. Ini merupakan tanda ketosis, satu proses yang berlaku apabila badan tidak mempunyai karbohidrat yang mencukupi untuk ditukarkan menjadi tenaga. Sebaliknya, ia akan membakar lemak dan menghasilkan keton.

    Ketonlah bahan yang akan menjadikan nafas berbau buah. Kadangkala, ia juga akan berbau seakan-akan aseton.

    4. Mata pun semakin kabur!

    tanda tanda diabetes pada wanita

    Ramai wanita yang mengabaikan simptom mata yang menjadi kabur. Malah, sebahagian besar daripadanya juga ingat simptom ini berlaku disebabkan usia dan bukannya diabetes!

    Tahukah anda, cecair boleh terbentuk pada lapisan kanta mata jika gula dalam darah dibiarkan tinggi tanpa sebarang rawatan? Cecair inilah yang akan membuatkan pandangan anda menjadi kabur.

    Sebenarnya, anda bukannya rabun! Malah, anda juga tidak perlu habiskan ratusan ringgit untuk kaca mata baharu. Dengan rawatan yang betul, penglihatan anda akan menjadi normal semula.

    5. Tangan dan kaki selalu kebas

    Selalu rasa ‘sesemut’ pada kawasan kaki dan tangan? Ini merupakan tanda tanda diabetes pada wanita yang perlu diperiksa oleh pakar secepat mungkin.

    Malah, sensasi seperti kebas ini berlaku kepada lebih separuh penghidap diabetes jenis 2. Kondisi ini turut dikenali sebagai neuropati diabetes.

    6. Luka ambil masa yang terlalu lama untuk sembuh

    Mereka yang menghidap diabetes selalunya sukar untuk merasai sebarang sensasi pada tangan atau kaki. Oleh sebab itu, mereka selalunya tidak sedar mengenai luka yang dialami.

    Pada masa yang sama, pesakit juga lebih berisiko untuk terkena jangkitan yang akan membuatkan luka tersebut menjadi semakin teruk.

    Ditambah lagi dengan tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol, luka pesakit kencing manis selalunya akan sukar sembuh.

    7. Tanda tanda diabetes pada wanita – Turun berat tanpa sebab!

    Pasti ramai wanita yang rasa gembira kerana berat badan turun tanpa sebab. Tetapi, jangan dibiarkan ya! Ini merupakan salah satu tanda diabetes yang sering diabaikan!

    Jumpa doktor secepat mungkin jika anda kehilangan berat sebanyak 2-4 kilogram tanpa sebab.

    Jika anda menghidap diabetes, kondisi ini perlu dikawal secepat mungkin sebelum ia menyebabkan komplikasi lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan