backup og meta

Kulit Jari Keras Dan Menebal? Kalau Anda Penghidap Diabetes, Ini Mungkin Puncanya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/12/2022

    Kulit Jari Keras Dan Menebal? Kalau Anda Penghidap Diabetes, Ini Mungkin Puncanya

    Masalah kulit merupakan antara komplikasi biasa yang boleh berlaku kepada penghidap diabetes. Ini termasuklah isu kulit jari kering dan kulit keras di jari tangan. Apakah punca bagi keadaan ini?

    Kami jelaskan simptomnya dan apakah maksud penyakit tersebut yang sebenarnya. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Penyakit sklerosis digital: Kulit jari kering dan keras

    Berdasarkan namanya, anda mungkin tidak dapat membayangkan lagi apakah sebenarnya penyakit ini.

    Untuk makluman anda, sklerosis bermaksud proses pengerasan dan pengeringan tisu badan yang disebabkan oleh keadaan keradangan.

    Digital atau digit pula merujuk kepada jari-jari tangan.

    Jadi, secara umumnya sklerosis digital bermaksud keadaan kulit jari menjadi ketat, keras atau menebal yang kemudiannya mengubah rupa dan mengehadkan pergerakan jari.

    Adakah sklerosis digital sama dengan dermopati diabetik?

    kulit jari kering

    Jawapannya adalah tidak sama sekali.

    Walaupun kedua-duanya merupakan penyakit kulit akibat daripada komplikasi diabetes, namun ia sangat berbeza.

    Anda boleh melihat maksud sklerosis digital seperti yang telah dijelaskan di atas.

    Manakala dermopati diabetik pula bermaksud keadaan kulit yang menyebabkan kelepuhan kulit hiperpigmen yang kecil dan berbentuk bulat. Ia juga hanya berlaku pada tulang kering.

    Meskipun kedua-duanya sangat berbeza, namun penyakit-penyakit ini muncul disebabkan oleh kesan keadaan diabetes yang berlaku pada tubuh. 

    Kulit jari kering, antara simptom utama sklerosis digital

    Bagi pesakit diabetes, mereka mempunyai simptom khusus yang menunjukkan berlakunya sklerosis digital.

    Simptom tersebut ialah kulit jari kering dan kulit keras di jari tangan.

    Ia tidak menyakitkan namun boleh mengurangkan sensasi atau deria rasa pada jari-jemari anda.

    Selain itu, kulit keras di jari tangan juga boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan memandangkan jari akan terasa lebih ketat atau tegang berbanding biasa.

    Untuk makluman anda, perubahan pada kulit jari ini boleh berlaku secara perlahan-lahan dalam bentuk yang tidak simetri atau sama.

    Jari anda mungkin tidak terasa sakit, namun lama-kelamaan ia semakin kurang sensitif dan mati deria rasa.

    Keadaan ini boleh berlaku pada kedua-dua belah tangan anda, khususnya pada bahagian belakang jari.

    Bukan itu sahaja, ia juga boleh merebak sehingga ke kawasan lengan dan juga badan.

    Punca kulit jari kering bagi penghidap diabetes

    kulit jari kering

    Sehingga kini, punca yang menyebabkan kulit keras di jari tangan tidak dapat diketahui dengan tepat.

    Namun, kebanyakan doktor dan pakar perubatan berpendapat bahawa ia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor.

    Antara faktor utamanya ialah tahap gula darah yang tinggi dalam badan.

    Untuk pengetahuan pembaca, paras gula darah yang terlalu tinggi sebenarnya boleh menyebabkan keradangan dalam badan pesakit diabetes.

    Lama-kelamaan, keradangan yang berlaku ini boleh merosakkan pembuluh-pembuluh darah kecil dan juga saraf terutama sekali pada anggota badan yang paling hujung.

    Kesannya, aliran darah akan terganggu dan tidak berjalan dengan lancar seperti yang sepatutnya.

    Apabila aliran darah tersekat, kulit akan mengalami kekurangan penerimaan oksigen dan juga nutrisi.

    Akibatnya, kulit yang sepatutnya kekal lembap perlahan-lahan menjadi kering, tebal dan keras.

    Selain daripada paras gula yang tinggi, kulit jari kering juga boleh terjadi disebabkan oleh glikasi.

    Glikasi merupakan satu proses di mana gula yang berada di luar aliran darah mengikat dengan protein.

    Ini termasuklah kolagen yang bertanggungjawab dalam penyusunan sel kulit dan juga sendi.

    Glikasi yang berlaku dalam tempoh yang agak panjang boleh menyebabkan sendi dan kulit yang mengeras. 

    Apa yang pesakit diabetes perlu buat?

    kulit jari kering

    Sklerosis digital merupakan satu keadaan yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit diabetes.

    Buat masa ini, sklerosis digital tidak mempunyai penawar atau ubat. Namun, ia boleh dicegah dan dikawal dengan melakukan aktiviti tertentu.

    Antaranya seperti menjaga atau mengawal paras gula darah setiap masa, kerap bersenam selain makan secara sihat.

    Kesemua ini boleh membantu mencegah dan mengawal sklerosis digital daripada menjadi lebih teruk. 

    Kesimpulan

    Sekiranya anda menghidap diabetes dan menyedari keadaan kulit jari anda semakin keras, berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

    Sklerosis digital bukanlah satu penyakit kronik atau serius.

    Namun, jika ia terus dibiarkan tanpa sebarang kawalan, anda mungkin akan mengalami ketidakselesaan yang berpanjangan sehingga sukar untuk menggerakkan sendi jari tangan.

    Oleh itu, cegahlah ia sebelum menjadi lebih parah. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan