Tahukah anda ciri anak diabetes boleh dikesan seawal usia 8 tahun lagi? Mengapa keadaan ini boleh terjadi?
Berdasarkan pengalaman penulis semasa kecil, penulis sering meminta kepada nenek untuk membelikan gula-gula atau coklat jika mengikutnya ke kedai runcit atau pasar.
Kadangkala, penulis akan meminta sedikit wang pada waktu petang untuk membeli aiskrim setelah melaksanakan sesuatu tugasan yang dipinta.
Kanak-kanak mana yang tidak sukakan nenek seperti ini, yang bersifat pemurah untuk membelikan apa sahaja mengikut kehendak cucunya.
Walau bagaimanapun, jika anda sudah bergelar datuk atau nenek nanti, anda tidak perlu mengikuti semua kehendak cucu-cucu anda terutamanya jika mereka meminta untuk dibelikan gula-gula, coklat, atau makanan ringan yang nyata tidak berkhasiat, jika anda benar-benar menyayangi mereka.
Ingin tahu mengapa? Ikuti penemuan terbaharu kajian seperti di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.
Ciri anak diabetes seawal usia 8 tahun
Berdasarkan hasil kajian terbaharu, tanda-tanda awal bagi diabetes jenis 2 dewasa boleh dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak seawal umur 8 tahun. Mengejutkan bukan?
Saintis yang terlibat telah melaksanakan analisis terhadap 4,000 individu yang mempunyai risiko genetik bagi diabetes jenis 2 tersebut, bermula daripada usia mereka 8 tahun sehinggalah 25 tahun.
Data kajian telah diambil sekali ketika peserta kajian berumur 8 tahun, dua kali ketika berumur 16 dan 18 tahun, dan sekali lagi ketika mereka telah berusia 25 tahun.
Kajian tersebut telah berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya 150 variasi DNA yang difikirkan memainkan peranan sama ada seseorang individu itu akan mempunyai diabetes jenis 2 atau tidak pada masa hadapan.
Para penyelidik mendapati bahawa, tahap kolesterol HDL atau “kolesterol baik” telah berkurangan ketika peserta berumur 8 tahun.
Manakala asid amino dan sejenis molekul protein iaitu glycoprotein acetyls telah meningkat ketika para peserta berada pada fasa pertengahan dan akhir zaman remaja.
Ciri anak diabetes #Kajian mengenainya
Menurut Dr. Joshua Bell yang merupakan salah seorang penyelidik yang terlibat, beliau menyatakan bahawa penemuan ini merupakan satu penemuan yang luar biasa.
Ini kerana mereka dapat melihat tanda-tanda diabetes dewasa lebih awal melalui darah bermula seawal usia 8 tahun.
Menurut beliau lagi, kajian ini bukanlah satu kajian klinikal kerana hampir kesemua peserta adalah bebas daripada penyakit diabetes.
Kajian ini ingin melihat bagaimana genetik boleh memaklumkan kepada manusia berkenaan cara sesuatu penyakit tersebut berkembang.
Beliau turut menambah, sekiranya kita ingin mencegah penyakit diabetes, kita perlu mengetahui bagaimana ia bermula dan kajian genetik boleh memberikan maklumat berkenaan hal tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa kajian yang dijalankan ini bukanlah bertujuan untuk melakukan ramalan berkenaan siapa yang akan mendapat diabetes atau tidak, tetapi untuk mempelajari bagaimana penyakit diabetes ini berkembang.
Baca juga: