Aktiviti berjalan kaki bukan sahaja membantu membakar kalori tubuh anda, malah ia lebih daripada itu. Ingin tahu apakah kebaikan berjalan kaki yang ingin kami kongsikan di sini? Juga, kajian telah kata bahawa berjalan kaki kurangkan risiko kanser!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.
Kebaikan berjalan kaki kurangkan risiko 7 jenis kanser
Baru-baru ini, terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa individu yang melakukan senaman sederhana selama dua jam 30 minit dalam masa seminggu mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk mendapat tujuh jenis penyakit kanser.
Misalnya seperti kebaikan berjalan kaki kurangkan risiko kanser!
Biar betul ya?
Ya, dan ini boleh dilakukan melalui aktiviti berjalan kaki cepat selama sekurang-kurangnya 20 minit atau kayuhan basikal setiap hari.
Bukan susah pun sebenarnya untuk kekal sihat dan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser.
Jumlah senaman seperti yang dinyatakan di atas ini telah didapati dapat mengurangkan risiko untuk mengalami kanser hati sebanyak 18 peratus, iaitu hampir satu per lima bagi kedua-dua jantina.
Bagi kanser payudara pula, risiko tersebut berkurangan sebanyak 6 peratus bagi senaman selama 2 jam 30 minit, dan 10 peratus untuk senaman selama 5 jam.
Selain itu, risiko untuk mengalami kanser buah pinggang bagi kedua-dua jantina juga menurun sebanyak 11 peratus bagi senaman selama 2 jam 30 minit, dan 17 peratus bagi senaman selama 5 jam.
Golongan wanita yang melakukan senaman dalam tempoh seperti yang dicadangkan di atas akan mempunyai pengurangan risiko sebanyak 18 peratus untuk mendapat kanser rahim berbanding mereka yang tidak aktif.
Selain itu, berpandukan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Oncology, mereka juga akan kurang berisiko untuk mendapat limfoma bukan Hodgkin sebanyak 18 peratus.
Bagi golongan lelaki yang melakukan senaman seperti tempoh yang disarankan, mereka akan mengalami pengurangan risiko untuk mendapat kanser kolon sebanyak 14 peratus.
Kedua-dua golongan lelaki dan wanita juga kurang berisiko untuk mendapat myeloma kanser darah sebanyak 19 peratus.
Ini sebab mengapa kebaikan berjalan kaki boleh kurangkan risiko kanser
Hasil daripada kajian yang dijalankan mencadangkan bahawa senaman atau kebaikan berjalan kaki dapat mengurangkan risiko kanser. Ini kerana ia membantu menurunkan berat badan seseorang individu itu.
Walau bagaimanapun, bagi individu yang kekal aktif, walaupun mereka tidak menurunkan berat badan, namun mereka masih mendapat perlindungan bagi melawan serangan kanser.
Kaedah kajian yang dijalankan
Para penyelidik telah melakukan pemantauan terhadap seramai 755, 549 individu melalui kajian ini selama satu dekad.
Menurut Dr. Alpa Patel yang merupakan pengkaji bersama dari American Cancer Society, penyertaan peserta kajian dalam aktiviti berintensiti sederhana dengan jumlah yang sedikit tetapi konsisten dilihat boleh memberikan manfaat perlindungan dengan pengurangan risiko untuk mendapat kanser.
Menurut Dr. Alpa lagi, ini merupakan satu berita baik bagi kebanyakan daripada kita.
Apabila mengetahui mereka sepatutnya melakukan lebih banyak senaman untuk kesihatan atau pencegahan kanser, mereka mungkin akan melakukan perubahan drastik dalam hidup masing-masing seperti mula berlatih untuk penyertaan maraton.
Faedah lain berjalan kaki kurangkan risiko kanser
Selain daripada pengurangan risiko bagi beberapa jenis penyakit kanser, anda juga pasti ingin tahu apakah manfaat lain yang boleh anda perolehi daripada berjalan kaki.
Dengan 30 minit berjalan kaki setiap hari, ia boleh meningkatkan kecergasan kardiovaskular, menguatkan tulang, mengurangkan lemak badan yang berlebihan, meningkatkan kekuatan dan ketahanan otot.
Selain itu, kebaikan berjalan kaki juga dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit lain seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, dan kerapuhan tulang atau osteoporosis.
Yang paling penting, kebaikan berjalan kaki adalah percuma kerana anda tidak memerlukan sebarang peralatan khas untuk melakukannya.
Bagaimana untuk mula anda melangkah?
Berjalan kaki tidak memerlukan waktu atau lokasi khas untuk anda melakukannya.
Mungkin juga agak sukar untuk anda buat selama 30 minit secara berterusan.
Langkah terbaik adalah dengan cara melakukannya selama 10 minit dalam tiga kali sehari.
Tetapi jika matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu melakukannya lebih daripada 30 minit setiap hari.
Selain itu, aktiviti fizikal yang berkaitan dengan kehidupan seharian anda juga adalah sangat membantu.
Ia adalah satu kaedah yang paling berkesan untuk membantu anda menurunkan berat badan yang berlebihan dan mengekalkannya setelah anda menghilangkannya.
Antara saranan yang boleh anda ikuti adalah:
- Guna tangga berbanding penggunaan lif. Jika anda tinggal di rumah yang berada di tingkat 20, cuba gunakan tangga sekurang-kurangnya daripada tingkat 1 hinggalah tingkat 10
- Guna kemudahan pengangkutan awam jika anda mahu kemana-mana. Ia akan menggalakkan anda untuk banyak berjalan kaki berbanding hanya duduk di dalam kereta
- Jika anda mahu ke kedai atau pasar yang jaraknya tidak lebih daripada 1 atau 2 kilometer, cubalah berjalan kaki berbanding menaiki kereta atau motosikal
- Bersiar-siar di taman permainan atau tasik rekreasi. Pemandangan yang cantik dapat mengurangkan rasa letih ketika anda berjalan-jalan
Rekod perjalanan anda dengan menggunakan aplikasi pada telefon pintar.
Ia dapat membantu anda untuk melihat prestasi harian melalui jarak yang telah dilalui dan boleh tahu sama ada anda telah memenuhi sasaran harian atau tidak.
Senang sahaja bukan?
[embed-health-tool-bmr]