backup og meta

Benarkah Pendarahan Di Dalam Rahim Petanda Kanser Rahim?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/06/2021

    Benarkah Pendarahan Di Dalam Rahim Petanda Kanser Rahim?

    Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh menyebabkan berlakunya pendarahan di dalam rahim.

    Mungkin anda khuatir akan risiko kanser rahim memandangkan trend insiden keadaan kesihatan tersebut menunjukkan corak peningkatan tahun demi tahun.

    Namun begitu, diagnosis awal boleh meningkatkan peluang untuk anda mencapai kesembuhan dengan rawatan tertentu.

    Saya ada kanser ke jika mengalami pendarahan di dalam rahim?

    Diagnosis kanser tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya jika anda hanya mengalami pendarahan di dalam rahim.

    Tambahan pula sumber pendarahan kebiasaannya sukar untuk dikenal pasti oleh mereka yang mengalaminya.

    Keadaan ini boleh mencetuskan panik tanpa mengira diagnosis lain yang berkemungkinan menyebabkan simptom pendarahan tersebut.

    Oleh sebab itulah rujukan kepada golongan profesional amat penting bagi membantu mencapai diagnosis yang tepat.

    Walaupun kanser endometrial sering dikaitkan dengan pendarahan sebagai simptom awal, namun terdapat banyak jenis masalah kesihatan lain yang turut dimanifestasikan dengan gejala tersebut.

    Oleh sebab itulah doktor akan memeriksa dengan lebih teliti bagi mengelakkan kesalahan diagnosis sehingga boleh menyebabkan pesakit cemas.

    Umumnya, pendarahan merupakan gejala awal kanser rahim yang mudah dikesan oleh penghidap itu sendiri.

    Rawatan agresif pada peringkat awal kanser boleh memberikan peluang kesembuhan yang tinggi. 

    Menurut Institut Kanser Amerika Syarikat, kira-kira 3 daripada 100 wanita akan didiagnosis dengan masalah kesihatan ini seumur hidup mereka.

    Jika dilihat pada prognosis rawatan pula, kira-kira 80% pesakit kanser rahim hidup untuk sekurang-kurangnya 5 tahun atau lebih selepas menerima diagnosis kanser.

    Statistik tersebut menekankan kepentingan pengesanan dan rawatan bagi memastikan peluang kelangsungan hidup berada pada paras yang optimum.

    Pendarahan rahim, bukan satu-satunya simptom kanser endometrial

    pendarahan di dalam rahim

    Seperti masalah kesihatan lain, kanser endometrial tidak boleh didefinisikan dengan satu simptom semata-mata.

    Antara gejala yang sering dikaitkan dengan kanser adalah pendarahan di dalam rahim. Ia sememangnya simptom yang lazim dialami oleh wanita.

    Antara karakter pendarahan yang boleh dimanifestasikan oleh kanser rahim adalah:

    1. Perubahan pada durasi atau kadar pendarahan semasa tempoh pendarahan haid.
    2. Pendarahan faraj atau pendarahan kecil (hanya tompokan) di antara dua tempoh pendarahan haid.
    3. Pendarahan faraj selepas disahkan menopaus.

    Selain daripada simptom pendarahan, mereka yang didiagnosis dengan masalah kanser rahim juga boleh mengalami simptom:

    1. Cecair jernih atau bercampur darah yang keluar daripada faraj.
    2. Sakit pada bahagian abdomen belah bawah.
    3. Sakit ketika melakukan hubungan seks.

    Namun perlu diingat, bukan semua wanita yang mengalami simptom di atas didiagnosis dengan masalah kanser.

    Oleh sebab itulah penting bagi anda yang mengalami simptom di atas untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

    Simptom di atas juga boleh dialami oleh mereka yang didiagnosis oleh kanser ginekologi (kanser wanita) yang lain.

    Seperti jenis kanser yang lain, tahap keseriusan simptom bergantung kepada tahap kanser yang dialami.

    Bagi kanser rahim, ia terbahagi kepada 4 tahap:

    1. Tahap 1: Kanser hanya terhad pada rahim.
    2. Tahap 2: Kanser ada pada organ rahim dan serviks.
    3. Tahap 3: Kanser sudah merebak ke organ berdekatan dengan uterus seperti rektum atau pundi kencing. Ia juga boleh merebak ke tiub falopian, ovari, faraj dan kelenjar limfa terdekat.
    4. Tahap 4: Kanser sudah tersebar di luar kawasan pelvik.

    Rawatan yang berkaitan

    pendarahan di dalam rahim

    Terdapat pelbagai jenis rawatan bagi masalah kanser rahim bergantung kepada tahap kanser yang dialami.

    Antaranya adalah seperti berikut:

    1. Pembedahan: Pakar bedah akan membuang rahim. Dalam situasi tertentu, organ lain seperti ovari dan tiub falopian juga akan dibuang sekali. Jika terdapat bukti penyebaran kanser kepada kelenjar limfa berdekatan, beberapa pembedahan tambahan mungkin akan dijadualkan mengikut kesesuaian keadaan klinikal.
    2. Terapi radiasi: Kaedah rawatan ini menggunakan sinaran bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser. Ia boleh disarankan selepas pembedahan bagi membunuh sisa sel kanser yang tertinggal. Ada juga kes di mana doktor akan mempreskripsikan terapi radiasi sebelum pembedahan untuk mengecilkan tumor.
    3. Terapi kemo: Sama seperti terapi radio, tujuan pemberian terapi ini adalah untuk membunuh sel kanser. Namun ia melibatkan penggunaan ubat anti kanser. Protokol rawatan ini kebiasaannya akan disarankan kepada kanser yang telah merebak ke seluruh badan atau mereka yang didiagnosis dengan kanser semula selepas sembuh.
    4. Terapi hormon: Protokol rawatan ini melibatkan penggunaan ubat untuk menghalang tindakan hormon bagi merencatkan tumbesaran sel kanser rahim. Mereka yang mengalami kanser endometrial tahap 3 ke atas lazimnya akan disarankan untuk menjalani rawatan ini.

    Konklusi

    Pendarahan di dalam rahim bukanlah satu-satunya simptom yang lazim dialami oleh penghidap kanser endometrial.

    Jika anda mengalami gejala tersebut, terdapat pelbagai jenis diagnosis yang berkait dengannya.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, ajukannya kepada doktor perubatan yang bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan