Cara Melebatkan Rambut Yang Perlu Anda Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Persepsi dan juga rasa rambut yang lebih lebat dan sihat ini boleh dicapai melalui beberapa kaedah. Antaranya adalah dengan menguatkan akar rambut untuk mengelakkan keguguran rambut, menjaga kesihatan kulit kepala untuk memastikan akar rambut dan kulit kepala yang lebih sihat, dan juga dengan menggunakan rawatan tertentu untuk menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih banyak dan lebih lebat. Cara melebatkan rambut ini terdiri daripada rawatan semula jadi di rumah (home remedy) dan juga rawatan yang berasaskan produk-produk farmaseutikal. Selain mengupas tentang cara melebatkan rambut yang sedia ada, artikel ini juga akan mengupas tentang keguguran rambut dan juga beberapa pengetahuan asas tentang rambut anda. 

Pertumbuhan rambut

Memahami asas pertumbuhan rambut membantu untuk memaksimakan keberkesanan kaedah atau cara melebatkan rambut yang anda gunakan. Folikel rambut adalah sejenis organ yang cukup dinamik yang terdapat dalam kulit mamalia seperti manusia. Ia terdapat di dalam lapisan dermis kulit dan terdiri daripada 20 jenis sel yang berbeza, dengan setiap sel mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri. Folikel rambut memainkan peranan mengawal pertumbuhan rambut dan ia dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti hormon, neuropeptida dan juga sel-sel imun badan. Interaksi kompleks folikel rambut dan juga bahan-bahan lain dalam badan ini, menyebabkan berlakunya pertumbuhan rambut yang berbeza pada bahagian badan yang berbeza. 

Folikel rambut ini dibekalkan dengan nutrisi penting melalui salur darah yang berada di bawah kulit. Pertumbuhan rambut berlaku dalam bentuk kitaran yang tidak selari (unsynchronised). Ini bermaksud dalam waktu yang sama, setiap helaian rambut itu memasuki fasa-fasa yang berbeza dalam kitaran pertumbuhan. Antara permulaan pertumbuhan rambut dan juga keguguran rambut selepas beberapa tahun, terdapat empat fasa dalam kitaran tersebut. Kitaran pertumbuhan ini terdiri daripada fasa anagen, katagen, telogen dan juga fasa eksogen.

Fasa anagen

Fasa anagen merujuk kepada fasa aktif pertumuhan rambut yang boleh berlangsung selama dua hingga tujuh tahun. Fasa ini menentukan panjang rambut yang boleh dicapai seseorang. 

Fasa katagen 

Fasa katagen pula adalah fasa peralihan yang berlangsung sekitar tempoh 10 hari. Dalam fasa ini, folikel rambut mengecil dan tertanggal daripada papila dermis. 

Fasa telogen

Fasa ini juga disebut sebagai fasa berehat. Ini kerana rambut lama akan kekal pada kulit kepala dalam tempoh tiga bulan. Sekitar 10 hingga 15% daripada kesemua rambut akan memasuki fasa ini dalam satu masa. Ketika rambut lama berada dalam keadaan rehat, rambut baru akan mula tumbuh. 

Fasa eksogen 

Ini merupakan fasa pengguguran rambut lama dan penggantian oleh pertumbuhan rambut baru. 

Keguguran rambut

Keguguran rambut atau terma perubatannya, alopecia, adalah sejenis keadaan yang cukup mempengaruhi keyakinan diri seseorang khususnya jika mereka mengalami keadaan ini pada usia muda. Rambut merupakan aksesori semula jadi yang seseorang itu bawa ke mana-mana sahaja mereka pergi. Untuk tujuan itu, kebanyakkan artis dan juga selebriti cukup peka dan mengambil berat tentang gaya rambut mereka. Disebabkan ini jugalah, mereka sanggup membayar wang yang mahal untuk mendapatkan rawatan rambut yang berkualiti dan juga untuk mendapatkan khidmat gunting rambut daripada penggunting rambut yang berkemahiran. 

Jenis keguguran rambut yang paling lazim berlaku untuk kedua-dua lelaki dan wanita adalah keguguran rambut bercorak (patterned hair loss). Lebih khusus lagi, terdapat corak keguguran rambut yang tertentu untuk lelaki (MPHL) dan untuk wanita (FPHL). Ia dicirikan oleh penipisan rambut secara beransur-ansur, pengecilan kawasan rambut dan juga kehilangan atau keguguran rambut pada bahagian yang tertentu. Keguguran ini tidak sama kadar dan keterukannya pada setiap individu yang terjejas. 

Nama lain bagi MPHL adalah androgenetic alopecia (AGA) dan ia dipengaruhi oleh beberapa perkara termasuklah usia dan juga kaum. Kajian mendapati keturunan kaukasia terjejas dengan MPHL pada kadar yang lebih tinggi berbanding etnik dan kaum homogenus di negara-negara seperti China dan Jepun. Terma AGA ini menggariskan peranan hormon androgen seperti testosteron dan juga teribatannya, dihidrotestosteron (DHT), dalam menyebabkan keguguran rambut. Selain keguguran rambut bercorak, terdapat juga bentuk keguguran rambut lain seperti alopecia areata (AA) dan telogen effluvium (TE). AA adalah sejenis keadaan autoimun yang menjejaskan kawasan kepala, muka dan badan. TE pula adalah gangguan dalam kitaran pertumbuhan rambut, di mana berlakunya keguguran yang berlebihan pada fasa telogen. Ia merupakan punca keguguran rambut yang paling lazim dalam kanak-kanak.

Berikut merupakan keadaan kesihatan ataupun perkara lain yang boleh menyebabkan keguguran rambut:

  1. Jangkitan kulat (seperti tinea capitis)
  2. Keradangan folikel
  3. Sifilis sekunder
  4. Jangkitan Demodex folliculorum
  5. Hipotiroid
  6. Systemic Lupus Erythematosus
  7. Trichotillomania
  8. Sindrom policystik ovari
  9. Kehamilan dan tempoh pasca-kehamilan

Terdapat juga beberapa ubat dan rawatan yang berupaya untuk menghasilkan kesan pengguguran rambut dalam sesetengah manusia. Antaranya adalah: 

  1. Pil perancang
  2. Rawatan penggantian hormon
  3. Steroid
  4. Ubat antijerawat
  5. Ubat antikulat
  6. Kemoterapi
  7. Radioterapi (kepada bahagian kepala)

Cara melebatkan rambut 

Sebelum ke bab cara melebatkan rambut, berikut merupakan langkah-langkah penjagaan rambut yang umum dan amat bermanfaat untuk diketahui:

  • Amalkan pemakanan sihat

Diet yang sihat membekalkan nutrisi yang penting dan juga dalam kadar yang mencukupi bagi proses metabolsima dan juga anabolisma badan. Proses anabolisma ini termasuklah proses pertumbuhan rambut. Tanpa bekalan nutrisi yang mencukupi, badan kita tidak mampu untuk menjana atau memelihara struktur badan dengan baik. Sebagai contoh, kekurangan vitamin E dan zink menyebabkan penipisan dan kehilangan rambut. Untuk itu, amalkan diet yang kaya dengan protein, vitamin A, B, C, dan E, zat besi, zink, magnesium dan juga selenium. Ada juga boleh cuba mengambil makanan tambahan kompleks vitamin B.

  • Bersihkan rambut anda

Jangkitan mikrobial pada kulit kepala sememangnya dapat mengganggu kesihatan folikel dan juga akar rambut, menyebabkan rambut anda jadi tidak sihat dan tidak bermaya. Ia juga boleh membawa kepada penyakit kulit kepala seperti dermatitis seborrheic, psoriasis, dan ekzema. Kesemua keadaan tersebut juga berupaya untuk mengganggu pertumbuhan rambut yang sihat. Membersihkan rambut dan kulit kepala anda daripada jangkitan tersebut menggunakan produk antimikrob, rawatan klinikal, dan ubat yang sesuai membantu untuk mengurangkan gangguan kepada usaha anda untuk mendapatkan rambut yang lebih lebat. 

  • Uruskan tekanan dengan baik

Tekanan memberikan pelbagai kesan negatif kepada badan. Salah satu daripada kesan tersebut adalah mengganggu pertumbuhan rambut anda. Bahkan, ia boleh menyumbang kepada keguguran rambut secara terus. Untuk menguruskan tekanan, anda boleh menggunakan meditasi, latihan pernafasan, bersenam atau teknik penenangan lain. Selain itu, pastikan juga anda mendapatkan tidur dengan secukupnya.

  1. Urut kulit kepala

Teknik urutan kulit kepala ini merupakan sejenis rangsangan mekanikal yang sedikit sebanyak, mendorong kepada kelancaran peredaran darah pada kulit kepala. Peningkatan perdearan darah kepada kulit kepala ini membantu untuk membekalkan nutrisi penting kepada akar rambut untuk kekal sihat. Anda boleh melakukan urutan ini dengan menggunakan minyak perangsang seperti minyak kelapa demi memaksimakan keputusan.   

  1. Berhati-hati ketika menyikat rambut

Menyikat rambut sebenarnya memberikan rangsangan mekanikal kepada rambut yang salurkan ke bahagian akar rambut. Namun yang demikian, menyikat terlalu kuat dan terlalu kasar berupaya untuk menyebabkan rambut gugur selain mengakibatkan kerosakan pada kulit kepala. Untuk itu, pastikan anda menyikat secara perlahan-lahan terutamanya ketika rambut anda basah.

Seperti yang disebut dalam perenggan pendahuluan, cara melebatkan rambut terbahagi kepada beberapa pendekatan dan juga kepada beberapa strategi. Tidak kiralah sama ada anda menggunakan pendekatan moden ataupun pendekatan yang alami, strategi untuk melebatkan rambut ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu untuk mengurangkan keguguran rambut dan juga untuk menggalakkan pertumbuhan rambut. Berikut merupakan cara melebatkan rambut menggunakan rawatan semula jadi di rumah:

  • Cuka epal cider

Cuka epal cider ini bertindak dengan perlahan-lahan membersihkan kulit kepala dan mengekalkan keseimbangan pH rambut. Tindakan ini membantu untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif untuk mempercepatkan dan menggalakkant pertumbuhan rambut. Cara penyediaanya adalah dengan mencampurkan 75ml cuka epal cider ke dalam satu liter air untuk kumpulan yang lebih besar atau 15 ml kepada secawan air panas yang ditapis untuk kumpulan yang lebih kecil. Untuk menggunakannya, gunakannya sebagai bilas akhir selepas mencuci rambut anda. Ini juga akan memberikan rambut anda bersinar dan meningkatkan pertumbuhan rambut.

  • Teh hijau

Teh hijau, seperti yang anda ketahui, sangat kaya dengan antioksidan dan membantu dalam meningkatkan pertumbuhan rambut dan menghalang keguguran rambut. Untung menggunakannya, sapukan teh hijau hangat (dari uncang teh yang digunakan) ke atas kulit kepala anda dan biarkan selama sejam. Setelah selesa, basuh dengan air sejuk.

  • Minyak zaitun

Minyak zaitun adalah minyak semula jadi yang mengandungi banyak manfaatnya. Walaupun kebanyakkan manfaat minyak zaitun yang diketahui melibatkan manfaat kesihatan dan pencegahan penyakit, terdapat juga penyelidikan yang menemui manfaatnya terhadap penjagaan rambut. Minyak zaitun boleh bertindak sebagai penghalang terhadap air, yang dapat membantu mencegah molekul air daripada meregangkan dan merosakkan kutikel.

Bagi cara melebatkan rambut berasaskan rawatan perubatan moden, seperti yang disebut sebelum ini, terdapat dua strategi yang diguna pakai. Bahagian ini akan dibahagikan mengikut dua strategi tersebut iaitu pendekatan untuk mengurangakn keguguran rambut dan juga pendekatan untuk menggalakkan pertumbuhan rambut. 

Rawatan untuk keguguran rambut

Minoxidil

Antara rawatan yang telah lama berada di pasaran bagi membantu untuk mengatasi masalah keguguran rambut adalah minoxidil 5%. Minoxidil ini merupakan ubat yang telah diluluskan kegunaannya untuk merawat MPHL oleh Badan Pentadbir Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA). Minoxidil asalnya adalah sejenis ubat antihipertensi yang mempunyai kesan sampingan hipertrikosis, iaitu peningkatan dalam pertumbuhan rambut dan bulu. Setelah disapu, bahan aktif minoxidil akan ditukarkan kepada minoxidil sulfat, sejenis pembuka saluran kalium (potassium channel opener) yang membantu untuk meregangkan otot lembut salur darah (vascular smooth muscle) dan akhirnya membawa kepada peningkatan dalam kadar aliran darah. Peningkatan dalam aliran darah kepada kulit kepala, khususnya kepada folikel rambut membantu untuk membawa nutrien penting yang menyokong pertumbuhan rambut. 

Untuk wanita pula, FPHL boleh dirawat menggunakan bahan aktif yang sama namun pada kepekatan yang berbeza iaitu 2%. Kesan sampingan yang lazim berlaku akibat daripada penggunakan topikal ubat ini adalah contact dermatitis

Finasteride

Finasteride adalah ubat oral yang bertindak dengan cara menghalang penukaran hormon testosteron kepada DHT. Namun yang demikian, akibat daripada tindakan antitestosteronnya yang sistemik, ia berupaya untuk menghasilkan gangguan kepada sistem badan lain yang bergantung atau dipengaruhi oleh hormon testosteron. Untuk itu, kesan sampingan yang boleh seseorang itu alami melalui penggunaan finasteride adalah disfungsi ereksi, gynecomastia (pembentukan payudara dalam lelaki) dan juga pengurangan nafsu syahwat. Seperti ubat minoxidil, finasteride juga merupakan ubat yang diambil secara berterusan. 

Pembedahan

Berbeza dengan rawatan seperti minoxidil ataupun finasteride, prosedur seperti transplantasi rambut ini tidak memerlukan komitmen yang berpanjangan dan bersifat lebih lestari kerana ia bertindak dengan cara menyemai folikel rambut yang baru, seolah-olah rawatan rejuvenasi kulit kepala. Selain itu, transplantasi rambut bersifat tertumpu dan tidak menghasilkan kesan sampingan yang sistemik. Dalam prosedur ini, doktor akan mengambil potongan kulit yang mengandungi folikel rambut yang sihat daripada bahagian kepala yang lain (bahagian belakang dan juga bahagian tepi) dan disemai pada bahagian keguguran atau bahagian rambut nipis. Pengambilan rambut di bahagian ini adalah kerana folikel rambut di kawasan-kawasan kepala yang ini tidak dipengaruhi oleh hormon androgen. 

Prosedur ini dilakukan di bawah penggunaan ubat bius setempat (local anaesthetics) dan bergantung kepada kawasan rambut yang ingin dirawat, ia boleh mengambil masa antara dua hingga lapan jam. Pada tempoh beberapa minggu yang pertama, beberapa rambut yang telah disemai ini akan gugur kemudian akan tumbuh semula secara kekal setelah enam hingga lapan bulan. Dalam kes tertentu, sesi tambahan mungkin diperlukan untuk melebatkan lagi rambut dan menghasilkan kesan yang lebih baik. Dalam senarai rawatan cara melebatkan rambut dan melawan keguguran rambut, kaedah pembedahan merupakan kaedah yang paling mahal dan paling berkesan di samping mempunyai kesan sampingan yang sedikit, tidak sistemik atau serius. 

Rawatan untuk melebatkan rambut

Viviscal

Varian viviscal maximum strength telah dikaji keberkesannya dalam menghasilkan kesan rambut yang lebih lebat. Dalam kajian tersebut, pemberian viviscal secara oral didapati berjaya untuk menghasilkan kesan pertumbuhan rambut yang signifikan berbanding rawatan plasebo. Penggunaan yang lebih lama dikatikan dengan keberkesanan yang lebih tinggi dalam melebatkan rambut. 

Untuk memaksimakan kelebatan rambut anda, cara melebatkan rambut yang anda gunakan perlulah menggabungkan elemen antikeguguran dan juga sifat perangsang petertumbuhan. Masalah keguguran rambut adalah masalah yang mampu untuk menghasilkan gangguan emosi, mental dan keyakinan diri seseorang. Kesemua aspek tersebut berupaya untuk mengganggu keupayaan seseorang itu bersosial dan melakukan tugasan harian. Jika anda mempunyai kerisauan mengenai masalah rambut gugur, ingin mengetahui lebih lanjut tentang kaedah penjagaan rambut yang betul, ingin memahami kesan sampingan ubat atau makanan tambahan yang anda ambil, atau untuk mengetahui cara melebatkan rambut yang selamat dan sesuai untuk anda, berjumpalah dengan doktor anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut