backup og meta

Kurang Tidur Menjejaskan Produktiviti

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    Kurang Tidur Menjejaskan Produktiviti

    Tidur bukan sekadar melelapkan mata ketika mengantuk. Ia sebenarnya lebih penting dari apa yang mungkin anda sangkakan. Kajian oleh RAND melibatkan 5 negara ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan bahawa kurang tidur boleh menyebabkan kerugian ekonomi sehingga USD 680 bilion.

    Dua dari 5 negara tersebut ialah Amerika Syarikat (AS) yang dianggarkan kehilangan sebanyak USD 280 bilion hingga USD 411 bilion dan Jepun sebanyak USD 88 bilion hingga USD 138 bilion, diikuti oleh United Kingdom (UK), Jerman, dan Kanada.

    Kajian ini jelas menunjukkan penurunan pada produktiviti ekonomi disebabkan oleh kurang tidur dalam kalangan pekerja, dalam masa yang sama risiko kesihatan secara am juga meningkat.

    Menurut Naib Presiden RAND Europe, Christian van Stolk banyak faktor dalam masyarakat moden kini menyumbang kepada keadaan ini, “Kerja ialah satu faktor. Teknologi moden (seperti media sosial dan emel) ternyata tidak membantu kita dalam banyak keadaan. Banyak ahli korporat kini mengambil langkah untuk menghentikan penghantaran emel pada hujung minggu, di luar waktu bekerja atau ketika pekerja sedang bercuti.”

    “Kita perlu memanfaatkan teknologi moden untuk membantu, bukannya menyusahkan kita,” beliau menambah.

    Selain itu, bekerja lebih masa (overtime) juga merupakan isu utama yang menyumbang kepada kekurangan tidur dalam kalangan pekerja. Setiap individu mempunyai komitmen masing-masing di luar waktu kerja seperti keluarga dan aktiviti sosial yang tidak seharusnya diganggu.

    Kata Van Stolk, “Tempoh perjalanan yang panjang ke tempat kerja memburukkan lagi masalah yang ada. Di Asia, saya percaya ramai pekerja menghadapi perjalanan yang panjang untuk pergi dan balik dari kerja. Kita tahu bahawa ini akan menjejaskan kualiti tidur serta kesihatan mental.”

    “Mungkin ramai yang menyangka bahawa tidur di hujung minggu boleh menggantikan jam tidur yang kurang sepanjang minggu tersebut. Ia sebenarnya tidak benar dan tidak sihat. Kekurangan tidur secara berkala akan membawa kepada pengurangan jirim kelabu (grey matter) pada otak menyebabkan fungsi kognitif berkurang. Melebihkan tidur di hujung minggu tidak akan membantu,” kata Dr Caryn Chan Mei Hsien, Pensyarah dan Psikologis Universiti Kebangsaan Malaysia .

    Majikan perlu memainkan peranan utama dalam memastikan kebajikan pekerja terjaga termasuk mendapatkan rehat dan tidur yang cukup. Ia bukan sahaja membantu pekerja, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan keuntungan syarikat serta ekonomi negara.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan