backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Usah Biarkan! Ini 5 Sebab Kenapa Penderita Migrain Perlu Berjumpa Pakar Neurologi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/01/2023

    Usah Biarkan! Ini 5 Sebab Kenapa Penderita Migrain Perlu Berjumpa Pakar Neurologi

    Jika anda pernah rasa kepala berdenyut dan sakit kepala, anda mungkin mengalami masalah migrain.

    Ia tidak eksklusif kepada sakit kepala sahaja. Mereka yang mengalami migrain boleh menunjukkan simptom teruk.

    Ada juga individu yang tidak boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

    Masalah migrain, jika tidak dikawal, boleh mempengaruhi produktiviti harian dan prestasi kerja.

    Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk melegakan kesakitan tersebut.

    Namun, pada situasi tertentu, anda perlu mendapatkan bantuan daripada pakar neurologi.

    Artikel ini akan membincangkan 5 tanda sudah tiba masanya anda perlu berjumpa dengan pakar. 

    #1 Apabila masalah migrain mengganggu aktiviti harian

    Jika anda tidak boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa, ia merupakan tanda masalah migrain anda sudah di luar kawalan. 

    Antara simptom yang boleh dialami adalah:

    1. Kabur penglihatan.
    2. Kesukaran untuk bernafas.
    3. Rasa tidak seimbang ketika berjalan.
    4. Pertuturan tidak jelas.

    Apabila anda rujuk kepada pakar, mereka boleh melakukan pemeriksaan fizikal dengan lebih mendalam bagi mengakses tahap keterukan migrain anda.

    Sejarah perubatan terperinci akan direkodkan.

    Pemeriksaan fizikal dan makmal (sekiranya perlu) akan dibuat bagi memastikan sama ada anda mempunyai sebarang penyakit lain.

    Baca juga:

    Alatan canggih seperti mesin imbasan tomografi komputer (CT) dan mesin imbasan resonans magnetik (MRI) boleh digunakan oleh pakar neurologi untuk mengesan punca kepada migrain.

    Jika perlu, ujian punktur lumbar juga akan dijalankan.

    Ini juga bergantung kepada maklumat yang diperoleh semasa pengambilan sejarah perubatan.

    Selain itu, ujian dilakukan untuk membantu pakar mendiagnosis masalah tumor, jangkitan atau masalah pada salur darah.

    Ini adalah antara faktor yang boleh mempengaruhi tahap keterukan migrain yang dialami.

    #2 Apabila masalah migrain menyebabkan sawan

    masalah migrain

    Penting untuk anda tahu, masalah migrain tidak menyebabkan berlakunya sawan.

    Walau bagaimanapun, seperti migrain, mereka yang diserang sawan boleh mengalami tanda amaran (aura).

    Walaupun kedua-duanya tidak mempunyai kaitan yang signifikan, individu yang mengalami masalah migrain berisiko untuk mendapat sawan.

    Mereka yang mengalami sawan juga berisiko untuk mendapat masalah migrain.

    Rujukan kepada pakar boleh membantu sedikit sebanyak untuk anda mengenal pasti punca kepada masalah sawan tersebut.

    Ia mungkin berpunca daripada 1 keadaan kesihatan yang sangat jarang berlaku iaitu migralepsy.

    Migralepsy merupakan keadaan kesihatan di mana serangan migrain berlaku bersama dengan sawan.

    Oleh sebab kedua-duanya muncul pada masa yang sama, ia sering disalah diagnosis.

    #3 Apabila sakit kepala gagal dikawal dengan ubat 

    Bagi mereka yang mengalami masalah migrain, kepatuhan kepada ubat merupakan kunci kepada kawalan simptom.

    Bergantung kepada individu, anda mungkin akan disarankan untuk mengelak atau mengehadkan aktiviti tertentu.

    Ini terutamanya jika aktiviti itu boleh membuatkan simptom sensitif kepada cahaya dan bunyi bertambah teruk.

    Perkara ini mungkin sukar untuk diikut. Siapa yang mahu tinggal di dalam bilik gelap sepanjang hidup mereka, kan?

    Ini boleh menyebabkan penderita migrain mengalami sakit kepala lebih kerap daripada biasa.

    Anda mungkin berminat:

    Perkara ini juga boleh menyebabkan anda cenderung untuk kerap mengambil ubat.

    Mereka yang berbuat demikian berisiko untuk mendapat kesan sampingan serius yang melibatkan organ perut, buah pinggang dan hati.

    Jika anda berasa ubat yang dipreskripsikan tidak berkesan, anda perlu rujuk kepada pakar neurologi dengan kadar segera.

    Jangan lupa untuk beritahu kepada doktor anda jika ada mengambil suplemen tambahan untuk merawat masalah migrain.

    #4 Rujuk pakar jika anda merupakan pesakit HIV/AIDS

    Bergantung kepada tahap jangkitan HIV, anda boleh mengalami masalah berkaitan dengan sistem saraf.

    Antara masalah yang paling kerap berlaku dalam kalangan penderita AIDS adalah sakit pada saraf.

    Perkara ini berkait dengan masalah sistem imun. 

    Apabila anda mempunyai masalah kerosakan saraf periferal, ia boleh menghalang laluan isyarat dari otak dan saraf tunjang kepada serata bahagian badan.

    Mereka yang mendapat jangkitan HIV teruk berisiko untuk mengalami masalah saraf, sekali gus menyebabkan masalah migrain kronik.

    Mereka yang mempunyai masalah migrain kronik akan mengalami simptom migrain lebih daripada 15 hari.

    Walau bagaimanapun, anda tidak seharusnya membuat andaian. Rujukan kepada pakar boleh membantu untuk memahami keadaan fungsi saraf anda.

    Fungsi yang terlibat termasuklah:

    1. Kemahiran motor dan sensori 
    2. Fungsi saraf 
    3. Percakapan dan pendengaran
    4. Keseimbangan dan koordinasi badan
    5. Keadaan mental
    6. Perubahan mood atau tingkah laku

    Malangnya, tiada rawatan yang dikhususkan untuk merawat komplikasi berkaitan dengan AIDS.

    Doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat tahan sakit, antisawan dan ubat antimurung untuk membantu melegakan simptom.

    Apa yang penting, anda perlu mengambil ubat antiviral anda setiap hari.

    #5 Jika terjadi gejala jangkitan pada selaput otak

    sakit kepala

    Keradangan pada lapisan otak yang disebabkan oleh jangkitan kuman boleh mendatangkan masalah migrain dan beberapa simptom lain seperti demam dan rasa tegang pada leher.

    Walaupun kebanyakan kes jangkitan selaput otak (meningitis) adalah disebabkan oleh virus, namun jika ia disebabkan oleh bakteria, anda perlu dirawat dengan antibiotik secepat mungkin.

    Tanpa rawatan tersebut, ia boleh mengancam nyawa.

    Bagi mengenal pasti meningitis, doktor akan melihat kepada keputusan ujian punktur lumbar anda. 

    Kunci kepada kejayaan pengurusan simptom migrain adalah untuk berjumpa dengan pakar sekiranya anda mengalami simptom yang tidak pasti.

    Anda perlu memberitahu semua sejarah perubatan anda biarpun relevan atau tidak.

    Jika anda mempunyai soalan, jangan lupa untuk mengemukakannya kepada doktor yang merawat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan