Mengapa ibu jari kaki sakit? Untuk pengetahuan anda, sakit di kawasan ibu jari boleh berlaku disebabkan beberapa perkara. Sebagai contoh, penyakit seperti artritis, gout atau cagu boleh menyebabkan kawasan sakit ibu jari kaki kiri.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai punca ia berlaku dan bila anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
4 punca ibu jari kaki sakit
Eh, kenapa ibu jari kaki bengkak ya?
Jangan risau, selalunya ibu jari kaki berdenyut ini tidak kekal lama. Ia akan hilang dengan sendirinya atau pulih selepas mengambil ubat tahan sakit.
Tetapi, bagaimana jika sebaliknya yang berlaku?
Jika sakit tersebut tidak pulih-pulih, besar kemungkinan anda perlukan rawatan lanjut daripada pakar, terutamanya jika kesakitan tersebut berlaku selepas kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan sensasi pada kawasan ibu jari.
Di bawah, kami terangkan 4 punca paling lazim kecederaan di kawasan ibu jari kaki:
#1. Kuku cengkam punca sakit ibu jari kaki kiri
Kuku cengkam atau cagu merupakan antara punca utama ibu jari kaki sakit. Ia boleh berlaku jika anda potong kuku terlalu pendek sehingga ia ‘menikam’ atau tumbuh ke dalam daging sendiri.
Individu yang sering memakai kasut ketat juga lebih berisiko mengalami kuku cengkam.
Kuku cengkam boleh menyebabkan komplikasi yang serius, terutamanya jika anda menghidap diabetes. Ia boleh merosakkan saraf pada kawasan kaki dan menghalang pengaliran darah.
Malah, luka yang tidak sembuh sepenuhnya boleh terkena jangkitan sebelum melarat menjadi lebih teruk.
Selalunya, kuku cengkam boleh dirawat tanpa sebarang pembedahan. Doktor mungkin akan membekalkan ubat tahan sakit dan meminta anda untuk merendam kaki dalam air hangat 2-3 kali sehari bagi mengurangkan kesakitan.
#2. Gout punca ibu jari kaki sakit
Sering rasa kesakitan ibu jari terutamanya pada waktu tengah malam? Jaga-jaga, ini merupakan salah satu simptom gout!
Gout merupakan satu bentuk keradangan yang boleh mendatangkan kesakitan. Ia selalunya akan menyerang satu bahagian sendi pada satu-satu masa, selalunya sendi pada kawasan ibu jari.
Ada masanya, simptom gout akan menjadi teruk. Kadangkala, ia boleh hilang begitu sahaja tanpa sebarang pengambilan ubat-ubatan.
Jika anda sering diserang gout, elakkan pengambilan makanan yang kaya dengan purin seperti daging merah, kerang-kerangan dan minuman beralkohol. Purin akan diuraikan oleh badan kepada asid urik – sejenis bahan yang akan membuatkan serangan gout menjadi lebih teruk.
#3. Jari patah atau terseliuh
Jika ibu jari anda sakit selepas bersukan atau kemalangan tertentu, mungkin ia terseliuh atau tulang patah tanpa disedari.
Selalunya, jari yang patah atau terseliuh akan menyebabkan kesakitan pada jari kaki anda. Malah, ia juga akan mula membengkak, memerah dan rasa sakit apabila disentuh. Anda juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan ibu jari kaki.
Sebarang kecederaan yang berlaku disebabkan trauma mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh. Pastikan anda mendapatkan rehat yang mencukupi.
#4. Turf toe buat ibu jari kaki sakit
Apa itu turf toe? Turf dalam Bahasa Melayu bermaksud rumput. Turf toe atau ibu jari terkehel merupakan kecederaan lazim yang berlaku dalam sukan yang dimainkan di atas rumput seperti bola sepak dan sebagainya.
Namun, sukan lain seperti berlari, menari dan juga bola keranjang juga boleh mengakibatkan kecederaan yang sama.
Ibu jari boleh terkehel jika ligamen ‘tertarik’ melebihi julat pergerakannya yang normal.
Kecederaan semasa sukan adalah punca utama turf toe. Walau bagaimanapun, kondisi ini juga boleh berlaku secara beransur-ansur disebabkan latihan yang terlalu kerap.
Bila saya perlu berjumpa doktor
Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika kaki anda terseliuh atau tulang retak bagi mengelakkan jangkitan.
Selain rasa sakit pada jari kaki, perhatikan juga tanda di bawah:
- Bengkak pada kawasan ibu jari
- Ibu jari bernanah
- Badan rasa panas dan menggigil
- Ibu jari kebas atau sering alami sesemut
Bagi mereka yang mengalami simptom di atas, sebarang masalah ibu jari kaki sakit perlulah dirujuk doktor secepat mungkin.
Sebagai contoh, ibu jari kaki kebas bila ditekan merupakan masalah besar untuk mereka yang menghidap diabetes.
Kencing manis boleh menyebabkan sebarang kecederaan pada kawasan kaki menjadi semakin teruk dan melarat jika tidak dirawat.
Oleh sebab itu, penghidap diabetes yang mengalami kecederaan pada kawasan kaki perlulah dipantau dengan rapi.
[embed-health-tool-bmi]