Erythromelalgia: Kaki Sakit, Merah dan Panas Gara-gara Aliran Darah Tersekat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 08/07/2020

    Erythromelalgia: Kaki Sakit, Merah dan Panas Gara-gara Aliran Darah Tersekat

    Erythromelalgia, juga dikenali sebagai penyakit Gerhardt, penyakit Mitchell dan penyakit Weir-Mitchell ialah keadaan yang menyebabkan rasa sakit terbakar, kemerahan dan kepanasan pada kaki, serta mungkin juga berlaku pada tangan, lengan, telinga dan muka. Penyakit ini adalah penyakit yang jarang ditemui.

    Erythromelalgia kebiasaannya berlaku pada kedua-dua belah kaki atau kadangkala hanya salah satu. Kebanyakan individu yang mengalaminya hanya mengalaminya pada waktu tertentu.

    Simptom erythromelalgia boleh bermula pada sebarang usia. Sesetengah orang mungkin telah mengalaminya sejak zaman awal kanak-kanak, sementara sesetengahnya hanya mengalaminya sewaktu dewasa.

    Simptom erythromelalgia

    Tiga simptom utama erythromelalgia adalah rasa panas, sakit dan kemerahan pada kulit.

    Kaki merupakan bahagian yang selalu terjejas, tetapi tangan, lengan, telinga dan muka juga boleh mengalaminya.

    Kesakitan boleh jadi ringan, seperti rasa diusik pin dan jarum, sehingga ke tahap kesakitan yang teruk hingga sukar berjalan, berdiri, bersosial, bersenam dan tidur. Ia boleh mempunyai kesan yang signifikan terhadap kehidupan harian seseorang.

    Pesakit erythromelalgia biasanya mengalami episod atau serangan kesakitan yang berlanjutan dari beberapa minit ke hari. Serangan kesakitan biasanya bermula sebagai rasa gatal-gatal, yang bertambah buruk menjadi rasa sakit, dan kulit sakit bila disentuh, menjadi kemerahan atau panas apabila disentuh.

    Simptom lain termasuklah:

    • bengkak pada bahagian badan yang terjejas
    • lebih berpeluh atau kurang berpeluh pada bahagian yang terjejas berbanding kebiasaan
    • perubahan kepada warna ungu apabila tiada episod serangan

    Punca erythromelalgia

    Erythromelalgia dipercayai berlaku disebabkan kelainan vasomotor atau masalah fungsi kawalan saluran darah menyebabkan gangguan dalam aliran darah kepada bahagian yang terjejas.

    Dalam kebanyakan kes, punca erythromelalgia tidak diketahui. Pun begitu, ia boleh berlaku disebabkan masalah atau penyakit lain atau gen yang rosak yang diwarisi daripada ibu bapa. Kerosakan pada gen tersebut menyebabkan perubahan dalam isyarat rasa sakit yang dihantar ke otak, menyebabkannya meningkat atau dikuatkan.

    Antara keadaan kesihatan lain yang boleh menyebabkan erythromelalgia ialah:

    • gangguan darah – seperti polycythaemia
    • kerosakan saraf – contohnya neuropati periferal
    • sklerosis multipel
    • masalah autoimun – seperti lupus atau rheumatoid arthritis, di mana sistem imun menyerang tisu badan sendiri

    Ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh ubat-ubatan tertentu. Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

    Pencetus erythromelalgia

    Simptom erythromelalgia biasanya dicetuskan oleh peningkatan suhu badan.

    Ini boleh berlaku dalam keadaan berikut:

    • selepas bersenam
    • apabila memakai stokin kaki panas, sarung tangan atau kasut yang ketat
    • selepas memasuki bilik yang hangat
    • apabila merasa tertekan
    • apabila meminum alkohol atau makan makanan pedas
    • apabila anda kekurangan air

    Rawatan untuk erythromelalgia

    Berikut merupakan rawatan untuk menangani keadaaan ini:

    1. Tinggikan kaki dan sejukkan kulit

    Menyejukkan kulit yang terjejas dan mengangkat bahagian badan tersebut boleh membantu melegakan simptom.

    Kulit boleh disejukkan menggunakan kipas, air sejuk, permukaan sejuk atau pek gel sejuk.

    Walau bagaimanapun, elakkan menggunakan ais atau sebarang benda yang terlalu sejuk, dan jangan membasuh tangan atau kaki dalam air sejuk pada waktu yang lama. Ini boleh mengakibatkan hipotermia atau kerosakan kulit. Bahkan terdapat risiko episod serangan apabila bahagian yang terjejas kembali hangat.

    2. Ubat untuk kulit

    Sesetengah ubat yang digunakan secara langsung pada kulit (ubat topikal) didapati dapat membantu melegakan simptom keadaan ini.

    Ubat topikal boleh didapati dalam bentuk krim, gel, semburan atau tampalan. Anda boleh menyapu krim atau tampalan capsaicin (cili) untuk menjadikan reseptor haba pada kulit anda kurang sensitif. Lidocaine (bius setempat) juga boleh didapati secara preskripsi dalam bentuk krim, gel atau semburan.

    Doktor anda akan memberi lebih banyak maklumat tentang ubat-ubatan tersebut dan memaklumkan jika ia sesuai untuk anda.

    Anda juga boleh bercakap dengan ahli farmasi anda tentang krim lidocaine.

    3. Ubat telan

    Sebilangan ubat yang diambil melalui mulut boleh membantu melegakan simptom erythromelalgia.

    Anda mungkin perlu mencuba beberapa ubat yang berbeza, di bawah pengawasan doktor anda, sebelum anda menemui satu atau gabungan yang paling sesuai untuk anda.

    Pilihan rawatan anda juga bergantung kepada jenis erythromelalgia yang anda miliki. Kebanyakan rawatan memerlukan rujukan ke pusat pakar supaya manfaat dan kesan sampingan ubat dapat dipantau dengan teliti.

    Jenis ubat yang mungkin disarankan oleh doktor anda termasuklah:

    • suplemen makanan – seperti magnesium, yang boleh membantu membuka saluran darah anda
    • aspirin – hanya digunakan untuk orang dewasa, bukan untuk kanak-kanak
    • ubat anti sawan – seperti gabapentin atau carbamazepine
    • ubat tekanan darah – ubat yang dapat membuka saluran darah anda dan meningkatkan aliran darah, atau beta-blockers untuk membantu mengurangkan aliran darah, bergantung kepada punca erythromelalgia anda
    • ubat antidepresan dos rendah – seperti duloxetine, venlafaxine, amitriptyline atau nortriptyline
    • ubat tahan sakit dengan preskripsi

    4. Ubat titis

    Dalam sesetengah keadaan, apabila ubat oral tidak dapat mengawal simptom, ubat boleh diberikan terus ke dalam aliran darah melalui titisan (infusi intravena). Lidocaine, bius setempat yang boleh membantu sakit saraf yang berkaitan, boleh diberikan dengan cara ini. Tetapi berapa lama ia berkesan bergantung kepada pesakit.

    Doktor anda akan menerangkan prosedur ini kepada anda dan bagaimana anda perlu bersedia untuknya.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 08/07/2020

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan