backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 28/11/2019

Definisi

Apa itu Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

Diffuse idiopathic skeletal hyperostosis (DISH) adalah dianggap sebagai artritis degeneratif atau osteoartritis. Walau bagaimanapun, DISH dicirikan oleh pengkalsiuman unik, yang berlaku di sepanjang sisi tulang belakang vertebra yang bersentuhan. Tambahan pula, tidak seperti artritis degeneratif tipikal, ia juga biasanya dikaitkan dengan keradangan (tendinitis) dan pengkalsiuman tendon di kawasan cantumannya pada tulang. Ini boleh menyebabkan pembentukan taji tulang, seperti taji tumit. Sebenarnya, taji tumit adalah biasa di kalangan individu yang mempunyai DISH. DISH juga telah dipanggil sebagai penyakit Forestier.

Apakah kebarangkalian Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

DISH adalah lebih biasa berlaku pada lelaki dan orang yang berusia lebih dari 50 tahun. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

Tanda-tanda umum bagi diffuse idiopathic skeletal hyperostosis adalah:

  • Kekakuan yang mungkin paling ketara pada waktu pagi
  • Anda mungkin merasa sakit di bahagian belakang atau di kawasan lain yang terjejas, seperti bahu, siku, lutut atau tumit
  • Kehilangan pelbagai pergerakan. Anda mungkin menyedari ini apabila anda meregangkan badan ke sisi
  • Kesukaran menelan atau suara serak. Anda mungkin mengalami ini jika anda mempunyai DISH di leher anda
  • Anda mungkin tidak mempunyai tanda atau simptom untuk DISH. Bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda dan simptom, bahagian yang paling kerap terjejas adalah bahagian atas belakang badan (tulang belakang toraks)

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

Diffuse idiopathic skeletal hyperostosis (DISH) berlaku disebabkan oleh pembentukan garam kalsium dalam tendon dan ligamen (pengkalsiuman) dan pertumbuhan tulang baru yang tidak normal (osifikasi dan hiperostosis), namun sebab mengapa proses ini berlaku masih belum difahami walaupun banyak kajian telah dibuat. Penyelidik perubatan percaya bahawa pembentukan tulang yang unik kepada DISH adalah disebabkan oleh pertumbuhan tidak normal dan aktiviti sel pembentuk tulang (osteoblas) di kawasan sambungan tendon dan ligamen pada tulang (enthesis). Antara kemungkinan penyebab pertumbuhan tulang ini termasuklah:

  • Faktor mekanikal, seperti kegiatan mengangkat dan menggerakkan objek berat dengan berulang
  • Faktor pemakanan, seperti pendedahan dalam jangka masa yang panjang terhadap jumlah Vitamin A yang tinggi
  • Ubat-ubatan, seperti penggunaan produk vitamin A sintetik atau retinoid dalam jangka masa yang panjang, selalunya digunakan untuk merawat jerawat yang teruk
  • Faktor genetik, seperti kecenderungan genetik
  • Keadaan metabolik, seperti diabetes melitus, akromegali, dan obesiti
  • Keluarbiasaan pada hormon terbitan lemak (mungkin leptin) dan hormon pertumbuhan

Adapun begitu, walaupun peningkatan risiko disebabkan oleh faktor yang dilihat secara konsisten dalam kajian, tidak ada satu pun faktor yang dapat menyebabkan DISH dengan sendirinya. Oleh itu penyelidik perubatan percaya bahawa DISH adalah disebabkan oleh sinergi antara beberapa faktor ini untuk menyebabkan pertumbuhan tulang yang tidak normal.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

Terdapat banyak faktor risiko bagi diffuse idiopathic skeletal hyperostosis, seperti:

  • Lelaki lebih cenderung untuk mempunyai DISH
  • Umur yang lebih tua. DISH adalah yang paling biasa berlaku pada orang dewasa yang lebih tua, terutama pada orang yang berumur melebihi 50 tahun
  • Diabetes dan keadaan lain. Pesakit dengan diabetes jenis 2 mungkin lebih cenderung untuk menghidap DISH daripada mereka yang tidak mempunyai diabetes. Keadaan lain yang boleh meningkatkan tahap insulin dalam badan anda juga boleh meningkatkan risiko ini, termasuk hiperinsulinemia, pra-diabetes dan obesiti
  • Ubat tertentu. Penggunaan ubat-ubatan yang disebut retinoid dalam jangka masa yang panjang, seperti isotretinoin (Amnesteem, Claravis, dan lain-lain), yang mirip dengan vitamin A, dapat meningkatkan risiko diffuse idiopathic skeletal hyperostosis. Walau bagaimanapun, pengambilan vitamin A yang tinggi masih tidak jelas adakah ia mampu meningkatkan risiko anda atau tidak.

    Diagnosis dan Rawatan

    Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

    Bagaimana pesakit Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis didiagnosis?

    Diagnosis diffuse idiopathic skeletal hyperostosis (DISH) sering disyaki dengan tanda-tanda dan gejala yang ada pada seseorang. X-ray pula boleh mengesahkan diagnosis. Dalam beberapa kes, tomografi berkomputer (imbasan CT) dan / atau pengimejan resonans magnetik (MRI) juga boleh dilaksanakan untuk mengetepikan kebarangkalian penyakit lain yang menyebabkan gejala yang sama. Ketiga-tiga jenis ujian pengimbasan ini dapat digunakan untuk melihat bahagian-bahagian lain pada tulang yang dipengaruhi oleh DISH.

    Bagaimana pesakit Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis dirawat?

    Rawatan diffuse idiopathic skeletal hyperostosis (DISH) memberi tumpuan kepada tanda-tanda dan gejala yang ada pada setiap orang. Sebagai contoh, kesakitan yang disebabkan oleh DISH selalunya dirawat dengan ubat pelega kesakitan, seperti acetaminophen (Tylenol, dan lain-lain) atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), seperti ibuprofen (Advil, Motrin, dan lain-lain). Kesakitan yang teruk pula boleh dirawat dengan suntikan kortikosteroid. Pengendur otot juga boleh membantu.

    Terapi fizikal dan / atau senaman boleh mengurangkan kekejangan yang berkaitan dengan DISH dan boleh membantu meningkatkan pelbagai gerakan dalam sendi.

    Walaupun beberapa kajian telah memberi tumpuan kepada keperluan terhadap pembedahan, pembedahan secara amnya adalah diperlukan bagi orang yang mengalami gejala yang teruk (seperti halangan saluran udara dan / atau kesukaran menelan) di mana pendekatan ubat dan terapi tidak berjaya.

    Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

    Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Diffuse Idiopathic Skeletal Hyperostosis?

    Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani diffuse idiopathic skeletal hyperostosis:

    • Bersenam dengan kerap. Senaman aerobik yang kerap, seperti berjalan atau berenang, boleh meningkatkan daya ketahanan, mengekalkan kelincahan tubuh, dan membantu anda mengangani DISH. Sila berbincang dengan doktor anda sebelum memulakan program senaman
    • Mencapai dan mengekalkan berat badan yang diingini. Oleh kerana obesiti dikaitkan dengan DISH, kehilangan berat badan boleh membantu mencegah penyakit ini daripada berkembang dan menurunkan risiko komplikasi anda
    • Menggunakan haba. Gunakan pad pemanasan di kawasan badan anda yang dipengaruhi oleh DISH untuk mengurangkan kesakitan. Letakkan pad pemanasan pada tetapan yang rendah untuk mengurangkan risiko kulit terbakar

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan