backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Anestesia bagi Warga Emas: Bahaya atau Selamat?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    Anestesia bagi Warga Emas: Bahaya atau Selamat?

    Setiap orang akan menjadi lebih tua dari hari ke hari. Apabila anda kian berusia, anda akan menjadi lemah dan lebih berkemungkinan menghadapi pelbagai masalah kesihatan, jadi anda mungkin perlu menjalani pembedahan. Apabila anda menjalani pembedahan, adalah penting bagi anda diberikan anestesia. Berikut adalah beberapa maklumat mengenai anestesia untuk warga emas.

    Apa yang patut dipertimbangkan untuk warga emas?

    Warga emas adalah berbeza dengan orang muda. Keadaan kesihatan mereka boleh menjadikan mereka lebih berisiko jika mengambil anestesia.

    Warga emas mempunyai risiko lebih tinggi menghadapi keadaan kesihatan tertentu seperti strok, tekanan darah tinggi atau masalah buah pinggang. Ini boleh menjejaskan anestesia, dos diperlukan dan waktu pemulihan selepas prosedur.

    Orang yang lebih tua memerlukan penyesuaian dalam pemilihan ubat bius dan dos. Oleh itu doktor harus memberi perhatian kepada jumlah ubat yang betul untuk mencegah tindak balas toksik.

    Mereka juga memerlukan kombinasi ubat lain untuk melegakan kesakitan dan unit penjagaan pergantungan yang tinggi.

    Apakah risiko yang mungkin mereka hadapi?

    Masalah kognitif selepas pembedahan boleh memberi kesan kepada orang pada semua peringkat umur, tetapi bagi orang tua, ia mungkin menjadi lebih teruk. Delirium selepas pembedahan dan disfungsi kognitif selepas pembedahan (POCD) adalah dua risiko yang berkaitan anestesia yang biasa berlaku bagi orang tua.

    Delirium selepas pembedahan (Postoperative delirium, POD)

    Keadaan ini kebiasaannya berlaku pada orang tua. Kira-kira 15% pesakit warga emas mengalami POD selepas pembedahan elektif. Selepas beberapa hari pembedahan, pesakit mungkin keliru, mempunyai masalah dengan ingatan, dan kadangkala mereka tidak dapat memberi perhatian kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Ia adalah keadaan sementara dan mungkin hilang selepas seminggu.

    Disfungsi kognitif selepas pembedahan (Postoperative cognitive dysfunction, POCD)

    Kira-kira 10% orang tua mungkin mengalami POCD selepas pembedahan. Keadaan ini boleh menjejaskan memori jangka masa panjang, proses pemprosesan maklumat, dan fungsi eksekutif mental. Kerana masalah ini biasa berlaku dalam kalangan orang tua dan boleh menyebabkan komplikasi yang serius, adalah penting untuk menentukan sama ada pesakit mengalami POCD.

    Tip untuk warga emas

    Disebabkan beberapa masalah serius boleh berlaku kepada orang tua, persiapan sebelum pembedahan perlu dilaksanakan dengan teliti. Berikut adalah tip berguna untuk anda:

    Bincang dengan pakar kesihatan anda

    • Anda harus berbincang dengan doktor dan pakar bius anda mengenai manfaat dan risiko prosedur yang akan anda hadapi.
    • Anda perlu berjumpa dengan pakar bius geriatrik (khusus untuk warga emas) kerana mereka mempunyai banyak pengalaman mengurus warga emas dan mereka akan memberi nasihat tentang pembedahan.

    Senaraikan ubat-ubatan anda dan bahan-bahan lain

    Doktor dan pakar bius anda akan bertanyakan tentang ubat-ubatan dan bahan-bahan atau makanan tambahan yang kerap anda ambil. Anda mesti jujur. Ini akan membantu pakar kesihatan anda menentukan dos ubat anestetik yang betul untuk anda.

    Ketahui tentang prosedur anestetik anda

    Anda harus meminta pakar bius anda menerangkan tentang jenis ubat bius yang akan digunakan semasa pembedahan, dan bagaimana mereka melakukannya.

    Dapatkan sokongan

    • Anda sepatutnya mempunyai ahli keluarga atau rakan atau seseorang yang anda percayai bersama anda di hospital.
    • Bawa cermin mata anda atau alat bantuan pendengaran untuk digunakan selepas pembedahan.
    • Anda perlu menetap pada bilik atau katil yang mempunyai tingkap, agar anda boleh membezakan siang dan malam.
    • Pastikan anda mempunyai kalendar, jam, foto, dokumen identiti diri dalam bilik anda. Dengan ini, anda boleh menyesuaikan diri dengan perkara-perkara di sekeliling anda lebih cepat.

    Anda perlu bersedia secara mental jika berlaku komplikasi

    Komplikasi mungkin berlaku selepas pembedahan terutamanya bagi anda yang lebih tua, keadaan mungkin menjadi lebih serius. Anda harus mengikuti arahan pakar kesihatan anda dan dapatkan bantuan segera jika anda mempunyai sebarang ketidakselesaan.

    Anestesia membantu anda melalui pembedahan perubatan tanpa rasa sakit atau rasa tidak selesa. Tetapi anda masih perlu berhati-hati kerana bagi warga emas, jika berlaku komplikasi, kesannya mungkin lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan