Pembedahan ikat perut – Adakah ia berkesan?

Menurut kajian, kebanyakan individu yang melakukan pembedahan menurunkan berat badan akan mengalami pengurangan berat badan sebanyak 15 hingga 30% daripada berat asal.
Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada jenis pembedahan yang mereka alami.
Tetapi, perlu diingat bahawa tidak ada cara atau pembedahan yang 100% berkesan untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya dalam satu jangka masa panjang.
Ada juga individu yang telah melakukan pembedahan, namun tidak mengalami penurunan berat badan seperti yang diharapkan.
Malah, ada juga yang kembali kepada berat asal kerana tidak mampu untuk terus disiplin dalam melakukan senaman dan terus berdiet selepas pembedahan.
Pembedahan pintasan perut bukanlah solusi untuk masalah berat badan.
Namun, ia boleh membantu pesakit untuk mempunyai berat badan yang lebih sihat dengan mengurangkan kalori dalam pemakanan dan menjadi lebih aktif.
Risiko pembedahan pintasan perut

Seperti semua pembedahan, pembedahan bariatrik juga mempunyai risikonya yang tersendiri.
Pesakit bukan sahaja perlu komited dalam melakukan senaman dan diet sepanjang hayat, mereka juga mungkin akan mempunyai lebihan kulit yang memerlukan pembedahan lanjut untuk dibuang.
Mereka yang mengalami pembedahan pintasan perut berisiko untuk mengalami pendarahan dalaman, trombosis urat dalam, jangkitan, dan salur darah paru-paru tersumbat (pulmonary embolism).
Malah, pesakit juga mungkin tidak mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi daripada diet setiap hari. Oleh sebab itu, pesakit mungkin perlu mengambil suplemen sepanjang hayat.
Pada hari ini, pembedahan bariatrik dilakukan secara laparoskopi. Dengan cara ini, pesakit boleh sembuh daripada pembedahan dalam masa yang lebih singkat.
Pembedahan pintasan perut merupakan satu prosedur yang boleh mengubah hidup seseorang. Malah, dari segi psikologi, ia juga dapat mengembalikan keyakinan diri seseorang dan membantu mereka hidup dengan lebih sihat.
Walau bagaimanapun, jika anda nampak iklan ubat kurus di laman sosial, jangan cepat percaya!
Mungkin sebenarnya individu yang memberikan testimoni tersebut telah melakukan pembedahan bariatrik untuk kurus.