backup og meta

Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Berhenti Guna Plaster Jenama Ini!

Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Berhenti Guna Plaster Jenama Ini!

Mungkin ada di antara kita yang pernah menggunakan produk plaster yang satu ini, Pak Li Medicated Plaster. Siapa sahaja yang mungkin tidak terpengaruh dengan produk mudah seperti ini yang didakwa mampu melegakan sakit-sakit otot dan sakit-sakit sendi dengan hanya satu tampalan. Apatah lagi ditulis pada produk pembungkusan tersebut bahawa ia adalah satu produk persediaan tradisional dan digunakan secara tradisional untuk melegakan sakit-sakit seperti yang disebutkan di atas. Walau bagaimanapun, kami mahu anda menghentikan penggunaan produk ini jika anda telah menggunakannya atau tidak membelinya jika anda mencari sesuatu produk dengan fungsi seperti berikut. Mengapa? Ikuti jawapannya di bawah ini.

Racun berjadual diphenhydramine

Baru-baru ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA, Kementerian Kesihatan Malaysia meminta kepada orang ramai agar menghentikan penggunaan produk Pak Li Medicated Plaster ini kerana kandungannya yang turut mengandungi racun berjadual, diphenhydramine. Memetik ulasan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pendaftaran produk tersebut telah dibatalkan pada 5 Disember yang lepas selepas ia diputuskan dalam mesyuarat ke-341 Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Pendaftarannya dibatalkan atas faktor kandungan diphenhydramine yang dikesan dalam produk tersebut, yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk-produk tradisional. 

Gesaan menghentikan jualan produk

Menurut Datuk Dr. Noor Hisham, racun berjadual tersebut adalah sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh didapati atau diperoleh melalui preskripsi doktor atau ahli farmasi sahaja. Beliau menggesa agar penjual dan pengedar bagi produk ini supaya menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Jika sebarang jualan dan edaran didapati berlaku, ia sebenarnya telah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

Menurut beliau lagi, jika sabit kesalahan, individu atau pihak yang terlibat boleh dijatuhkan hukuman denda dengan jumlah tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama. Jika berlaku kesalahan untuk kali kedua dan seterusnya, individu terbabit boleh dijatuhkan hukuman denda dengan jumlah tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Apakah sebenarnya diphenhydramine ini?

Ia adalah sejenis antihistamin yang berfungsi mengurangkan kesan kesan histamin kimia semula jadi dalam badan. Histamin dalam tubuh boleh mewujudkan simptom-simptom seperti bersin, gatal-gatal, mata berair dan hidung berair kepada seseorang individu tersebut. Oleh itu, penggunaan diphenhydramine adalah untuk merawat bersin, hidung berair, mata berair, gatal-gatal, ruam, dan simptom-simptom alergi atau selesema. Ia juga digunakan untuk merawat loya atau mabuk, untuk mendorong tidur dan juga merawat simptom-simptom tertentu bagi penyakit Parkinson.

Mengapa ia perlu diambil melalui preskripsi doktor?

Sesetengah keadaan kesihatan tidak membenarkan anda untuk menggunakan antihistamin ini. Rujuk dengan doktor atau ahli farmasi, adakah selamat untuk anda mengambil diphenhydramine sekiranya anda mempunyai keadaan-keadaan seperti berikut:

  • Penyumbatan saluran pencernaan atau penghadaman (perut atau usus)
  • Halangan pundi kencing atau masalah-masalah kencing yang lain
  • Kolostomi atau ileostomy
  • Mempunyai penyakit buah pinggang atau penyakit hati
  • Mempunyai penyakit asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), atau penyakit pernafasan yang lain
  • Batuk dengan lendir atau kahak, atau batuk yang disebabkan oleh merokok, emfisema atau bronkitis yang kronik
  • Mempunyai penyakit jantung dan juga tekanan darah yang rendah
  • Mempunyai glaukoma
  • Mempunyai penyakit tiroid
  • Anda ada mengambil kalium (Cytra, Epiklor, K-Lyte, K-Phos, Kaon, Klor-Con, Polycitra, Urocit-K)
  • Anda seorang wanita yang sedang hamil

Untuk pengetahuan anda, diphenhydramine boleh berpindah ke dalam susu ibu dan mungkin membahayakan bayi yang sedang menyusu susu ibu tersebut. Antihistamin ini juga mungkin akan memperlahankan pengeluaran susu ibu. Oleh itu, adalah amat penting juga untuk anda bertanya kepada doktor mengenai penggunaan antihistamin ini sekiranya anda sedang menyusukan anak anda. 

Bagaimana saya patut mengambil diphenhydramine?

Gunakan antihistamin ini mengikut seperti apa yang telah diarahkan pada label produk, atau mengikut seperti yang telah diarahkan oleh doktor. Jangan sesekali menggunakannya dalam jumlah yang terlalu banyak atau sedikit atau lebih lama daripada yang disarankan. Untuk tujuan merawat selesema dan alahan, ia biasanya diambil dalam tempoh yang pendek sehinggalah simptom-simptom yang dialami tersebut hilang. 

Bagi ibu bapa dan penjaga, jangan sesekali memberikan diphenhydramine kepada anak anda atau kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun. Rujuk doktor sebelum anda memberikan ubat batuk atau selesema kepada kanak-kanak. Ini kerana, terdapat risiko kematian yang boleh berlaku jika ubat-ubatan ini disalah guna untuk kanak-kanak yang lebih muda. 

Bertanyalah kepada doktor semula sekiranya simptom-simptom yang dialami itu tidak hilang atau sembuh setelah 7 hari penggunaannya, atau jika anda mengalami demam bersama-sama sakit kepala, batuk atau ruam kulit. 

Adakah ia mempunyai kesan sampingan?

Ya, diphenhydramine ini juga mempunyai beberapa kesan sampingan. Dapatkan bantuan kecemasan sekiranya anda mendapati diri anda mempunyai tanda-tanda reaksi alahan terhadap diphenhydramine ini, seperti gatal-gatal, kesukaran bernafas dan pembengkakan pada bahagian muka, bibir, lidah atau tekak.

Berhenti daripada menggunakan ubat ini dan berjumpa dengan doktor sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

  • Denyutang jantung yang laju atau rasa bergelora pada dada anda
  • Kencing yang menyakitkan atau mengalami kesukaran untuk kencing
  • Tiada kencing atau kencing yang sedikit
  • Rasa seperti hendak pengsan
  • Rasa ketat dalam tekak atau rahang anda

Antara kesan-kesan sampingan yang biasa akibat daripada pengambilan diphenhydramine ini termasuklah:

  • Pening kepala, rasa mengantuk dan hilang koordinasi
  • Mulut, hidung dan tekak yang kering
  • Sakit perut dan sembelit
  • Mata yang kering dan penglihatan yang kabur atau kurang jelas
  • Rasa mengantuk pada siang hari

Konklusi

Jelas sekali, penggunaan diphenhydramine atau antihistamin ini memerlukan preskripsi daripada doktor dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa nasihat doktor. Oleh kerana itu, produk seperti Pak Li Medication Plaster ini sangat berisiko untuk digunakan kerana ia boleh dibeli dan digunakan tanpa batasan dan kawalan. Selain itu, kandungan racun berjadual ini tidak selari dengan produk plaster tersebut kerana produk tersebut hanyalah satu produk formulasi tradisional yang tidak sepatutnya mengandungi racun berjadual seperti ini. Jika anda khuatir mengenai pembelian sebarang produk persediaan tradisional di pasaran, anda boleh merujuk status pendaftarannya melalui laman web NPRA di http://www.npra.gov.my. Anda juga boleh memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ pada telefon anda (Google Play Store) untuk memudahkan anda menyemaknya. 

 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/524901/plaster-pak-li-beracun

https://www.drugs.com/diphenhydramine.html

Versi Terbaru

23/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Petua Hilangkan Pening Kepala Berdenyut Dalam Masa 10 Minit Sahaja!

Moon Face, 7 Punca Ini Sebabkan Muka Jadi Bulat & Kelihatan Bengkak, Bahaya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan