Ujian biopsi endometrium adalah cara untuk doktor memeriksa sebarang keabnormalan pada rahim, organ berbentuk pir di perut bawah yang ‘memegang’ bayi ketika hamil.
Ujian biopsi ini secara ringkasnya membawa maksud penyingkiran tisu kecil daripada endometrium, yang merupakan lapisan rahim.
Sampel tisu ini dapat menunjukkan perubahan sel yang diakibatkan oleh tisu yang abnormal atau variasi dalam paras hormon.
Dengan mengambil sedikit sampel tisu endometrium, doktor akan dapat mendiagnosis kondisi perubatan tertentu.
Malah, biopsi dapat memeriksa dan mengesan jangkitan pada rahim seperti endometritis.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Mengapa ujian biopsi endometrium dilakukan?
Biopsi endometrium selalunya dilakukan untuk membantu mendiagnosis keabnormalan rahim.
Doktor anda mungkin juga bakal mengesyorkan prosedur ini untuk:
- Menilai kesuburan
- Mengesan simptom kanser endometrium
- Menguji tindak balas terhadap terapi hormon
- Mencari punca pendarahan pasca-menopaus atau pendarahan rahim yang abnormal
Namun, anda tidak boleh menjalani biopsi endometrium semasa kehamilan.
Kalian juga tidak boleh melakukannya sekiranya mempunyai salah satu daripada kondisi berikut:
- Kanser serviks
- Stenosis serviks, atau penyempitan serviks yang teruk
- Gangguan pembekuan darah
- Penyakit keradangan pelvis akut
- Jangkitan serviks atau faraj akut
Jika ingin menjalani ujian biopsi ini, apakah persediaan yang perlu kalian buat? Teruskan pembacaan!
Persediaan-persediaan yang perlu dilakukan
Tahukah anda, melakukan ujian biopsi endometrium semasa mengandung boleh akibatkan keguguran? Justeru, maklumkan doktor anda jika hamil ya!
Doktor juga mungkin bakal meminta anda untuk menjalani ujian kehamilan sebelum biopsi bagi memastikan risiko kehamilan yang sifar.
Selain itu, doktor anda mungkin turut meminta kalian untuk menyimpan rekod kitaran haid sebelum biopsi.
Ini biasanya diminta sekiranya ujian perlu dilakukan pada waktu tertentu semasa kitaran haid.
Maklumkan juga doktor mengenai sebarang preskripsi atau ubat-ubatan bebas yang anda ambil. Anda mungkin harus berhenti mengambil ubat cair darah sebelum melakukannya.
Tambahan itu, doktor mungkin ingin mengetahui sama ada anda mengalami penyakit berkaitan pendarahan atau jika kalian alah kepada lateks mahupun iodin.
Biopsi endometrium juga boleh memicu ketidakselesaan. Jadi, doktor biasanya mengesyorkan anda mengambil ibuprofen atau ubat penahan sakit lain, 30 hingga 60 minit sebelum prosedur.
Apa yang berlaku semasa & pasca ujian biopsi endometrium?
Sebelum biopsi, anda diberi jubah atau gaun perubatan untuk dipakai.
Di bilik pemeriksaan pula, doktor akan meminta anda berbaring di atas meja dengan kaki diletakkan di tempat yang disediakan.
Doktor kemudian bakal melakukan ujian pelvis dengan cepat, di samping membersihkan faraj dan serviks anda.
Doktor anda kemudiannya akan memasukkan tiub nipis dan fleksibel yang digelar sebagai pipelle melalui bukaan serviks.
Kemudian, doktor akan menggerakkan pipelle untuk mendapatkan sampel tisu dari lapisan rahim. Keseluruhan prosedur ini biasanya hanya memakan masa sekitar 10 minit.
Sampel tisu itu akan dimasukkan ke dalam cecair dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Doktor anda akan memperoleh keputusan kira-kira 7 hingga 10 hari pasca prosedur biopsi.
Anda berkemungkinan mengalami sedikit spotting atau pendarahan selepas ujian, justeru kalian bakal diberikan alas menstruasi untuk dipakai.
Selain itu, kekejangan ringan juga boleh terjadi dan jangan risau kerana ia adalah normal!
Anda mungkin boleh mengambil ubat tahan sakit untuk mengatasi kekejangan, tetapi pastikan untuk bertanya kepada doktor terlebih dahulu.
Peringatan! Jangan gunakan tampon atau melakukan hubungan seks selama beberapa hari selepas ujian biopsi endometrium.
Bergantung juga dengan sejarah perubatan anda yang lalu, doktor mungkin akan memberi arahan tambahan usai prosedur.
Risiko yang perlu diketahui
Walaupun biopsi ini secara umumnya adalah selamat, masih ada risiko berlaku pendarahan dan jangkitan.
Mengalami pendarahan dan ketidakselesaan adalah sesuatu yang cenderung berlaku. Namun, hubungi doktor anda jika mempunyai simptom berikut:
- Pendarahan berat
- Demam atau menggigil
- Sakit teruk di bahagian bawah abdomen
- Keputihan yang abnormal
- Pendarahan melebihi 2 hari selepas biopsi
Menilai hasil keputusan biopsi…
Anda seharusnya mendapatkan hasil makmal dalam tempoh masa seminggu. Antara pemicu kepada pendarahan tidak normal adalah:
- Kanser endometrium
- Masalah tiroid
- Ketidakseimbangan hormon
- Polip atau fibroid (pertumbuhan kecil atau besar di rahim anda)
- Jangkitan rahim, seperti endometritis
Usah risau, doktor selalunya akan membincangkan hasilnya secara terperinci dengan anda.
Berdasarkan apa yang dinyatakan, mereka juga akan menjelaskan sama ada kalian bakal memerlukan rawatan lanjutan.
Tetapi, ada juga kemungkinan hasil keputusan yang tidak begitu meyakinkan.
Ini bermakna, adalah tidak jelas sama ada anda mempunyai sel kanser di dalam rahim atau sebaliknya.
Jika timbul sebarang keraguan, anda mungkin perlu menjalani prosedur perubatan yang dikenali sebagai dilation and curettage (D&C).
Semasa prosedur D&C, doktor akan mengikis sampel tisu yang lebih besar dari lapisan rahim untuk diuji di makmal.
Perlu kalian faham, biopsi endometrium tidaklah sempurna…
Disebabkan doktor mengambil sampel tisu secara rawak, kadangkala pertumbuhan prakanser atau barah boleh terlepas pandang!
Sekiranya gejala anda masih tidak mereda, jangan berlengah untuk memaklumkan doktor atau pakar sakit puan.
Anda mungkin perlu menjalani prosedur-prosedur lain untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai gejala dialami.
[embed-health-tool-ovulation]