backup og meta

Wanita 30-an & 40-an Cenderung Dapat Kanser Rahim, Tapi Jangan Risau, Ada Penawarnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    Wanita 30-an & 40-an Cenderung Dapat Kanser Rahim, Tapi Jangan Risau, Ada Penawarnya!

    Kanser rahim merupakan sejenis penyakit yang berlaku pada kawasan serviks atau rahim wanita. Kanser ini selalunya menyerang wanita yang berusia di antara 30 hingga 45 tahun. Pada waktu ini, ada banyak rawatan atau penawar kanser rahim.

    Namun, rawatan yang diterima bergantung pada sejauh mana kanser tersebut telah merebak.

    Rawatan yang paling lazim untuk kanser rahim ialah pembedahan, kombinasi kemoterapi dan radioterapi, atau kombinasi pembedahan dan kemoradioterapi. Semua kaedah rawatan ini berkesan sebagai penawar kanser rahim.

    Walau bagaimanapun, rawatan akan diberikan berdasarkan beberapa faktor seperti lokasi kanser, sejauh manakah ia telah merebak, umur, tahap kesihatan dan keputusan ujian anda.

    Selain itu, keinginan pesakit untuk mengandung pada masa hadapan turut memainkan peranan yang penting.

    Semua wanita berisiko untuk menghidap kanser serviks. Jangkitan jangka panjang dengan sejenis virus yang dikenali dengan nama human papillomavirus (HPV) merupakan punca utama kanser serviks.

    Untuk mengelakkan kanser serviks, ujian saringan dan pengambilan vaksin HPV amat penting sebagai langkah pencegahan.

    Malah, jika dikesan awal, pesakit mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk sembuh dan dapat menjalani hidup dengan normal, sama seperti orang lain.

    Rawatan dan penawar kanser rahimPenawar kanser rahim

    Kanser rahim boleh dirawat dengan beberapa cara. Sebagai contoh, doktor mungkin mencadangkan penawar kanser rahim seperti di bawah:

    1. Pembedahan. Doktor membuang tisu kanser melalui pembedahan.
    2. Kemoterapi. Doktor akan memberikan ubat-ubatan khas untuk mengecutkan atau membunuh sel kanser tersebut.
    3. Radiasi. Rawatan kanser menggunakan sinaran bertenaga tinggi (seperti X-ray) untuk membunuh kanser.

    Penawar kanser rahim secara pembedahan

    Kanser rahim yang berada pada tahap awal selalunya dirawat dengan cara pembedahan. Jenis pembedahan pula bergantung kepada saiz kanser, tahap dan juga keputusan pesakit untuk mengandung pada masa hadapan.

    Untuk pesakit yang baru berada di tahap awal, doktor mungkin akan melakukan pembedahan yang tidak invasif.

    Pembedahan jenis ini dapat sembuh dengan lebih cepat dan pesakit tidak perlu menghabiskan masa yang lama di hospital.

    Walau bagaimanapun, pembedahan ini mungkin tidak mempunyai keberkesanan yang setara dengan histerektomi yang tradisional.

    Oleh sebab itu, ada risiko untuk kanser rahim berlaku lagi pada masa hadapan.

    Terapi radiasi sebagai rawatan kanser rahim

    Terapi radiasi menggunakan sinaran cahaya bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser. Selalunya, rawatan ini dilakukan bersama kemoterapi sebagai penawar kanser rahim yang utama.

    Ia juga boleh dilakukan selepas pembedahan sekiranya kanser tersebut berisiko tinggi untuk kembali pada masa hadapan.

    Jika pesakit masih belum mencecah menopaus, terapi radiasi berkemungkinan boleh mencetuskannya.

    Kemoterapi untuk rawatan kanser rahim

    Kemoterapi merupakan satu bentuk rawatan lazim untuk pesakit kanser. Melalui kemoterapi, pesakit akan diberikan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser.

    Ubat ini boleh diberikan melalui vena ataupun dimakan dalam bentuk pil.

    Apa yang bakal berlaku selepas rawatan kanser serviks?

    Penawar kanser rahim

    Selepas rawatan, pesakit perlu berehat dalam satu tempoh masa tertentu.

    Jika pesakit melakukan pembedahan, mereka mungkin akan menerima titisan intravena (IV drip), ubat-ubatan dan mungkin memakai tiub plastik kecil yang dikenali dengan nama kateter untuk mengeluarkan urin.

    Bukan itu sahaja, pesakit yang menerima rawatan kanser rahim juga mungkin:

    1. Rasa sakit dan tidak selesa – Selepas pembedahan, normal untuk pesakit rasa sakit dan tidak selesa. Jika pesakit masih rasa sakit, pastikan doktor atau jururawat tahu supaya mereka boleh memberikan ubat-ubatan yang boleh memberikan kelegaan.
    2. Perlu gerakkan kaki – Pesakit kanser digalakkan untuk menggerakkan kaki atau berjalan secepat mungkin selepas rawatan kanser untuk mengelakkan pembentukan darah beku di kawasan kaki.
    3. Perlu rehat dengan secukupnya – Tempoh pemulihan mungkin berbeza mengikut jenis rawatan yang diterima pesakit. Namun, pesakit boleh pulang ke rumah masing-masing setelah doktor berpuas hati dengan tahap kesihatan pesakit.

    Selepas menerima rawatan, pesakit masih perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan.

    Disebabkan kanser serviks boleh berulang, doktor akan melakukan beberapa ujian untuk memastikan ia tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

    Kesimpulan

    Penawar kanser rahim

    Kanser merupakan penyakit yang serius dan amat menakutkan. Tidak dinafikan, wanita yang menerima diagnosis kanser rahim mungkin akan rasa marah, terkejut, kecewa dan putus asa.

    Sebab itulah, selain rawatan yang digariskan di atas, pesakit juga perlu tahu cara yang terbaik untuk menyesuaikan diri dengan penyakit kanser.

    Sokongan daripada suami, ahli keluarga dan kawan-kawan juga amat penting dan dapat memberikan semangat untuk pesakit kanser yang sedang menerima rawatan.

    Walaupun pesakit telah menerima rawatan, ia bukanlah penawar kanser rahim. Kanser merupakan sejenis penyakit yang sukar diduga. Ia mungkin berlaku lagi pada masa hadapan tanpa sebarang sebab yang jelas.

    Selain itu, semua bentuk rawatan mempunyai kesan sampingannya yang tertentu seperti rasa sakit, masalah kulit, cirit-birit dan sebagainya.

    Oleh sebab itu, pastikan anda berbincang dengan doktor mengenai rawatan kanser rahim. Jangan malu untuk bertanya kepada doktor mengenai masalah-masalah yang merunsingkan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan