Jika anda menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), mencari langkah untuk menurunkan berat badan merupakan sesuatu yang sukar. Menurunkan berat badan bukanlah satu cara rawat PCOS, namun ia dapat membantu mengurangkan simptom yang dialami. Selain itu, mungkin ada juga menu diet PCOS turun berat badan yang berkesan untuk pesakit.
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NIH), hampir 20% wanita di negara tersebut menghidap PCOS, satu kondisi yang menyebabkan wanita mengalami ketidakseimbangan hormon dan masalah dengan sistem reproduktif.
Ketidakseimbangan hormon inilah yang menyebabkan wanita yang menghidap PCOS mengalami penambahan berat badan yang ketara, lebih-lebih lagi di sekitar bahagian perut dan pinggang.
Lemak di kawasan perut pula akan menyebabkan rintangan insulin yang akan membawa kepada lebih banyak peningkatan berat badan. Ini akan membuatkan penghidap PCOS lebih tertekan, terutamanya dengan imej dan keyakinan diri.
PCOS lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai ibu atau kakak dengan penyakit yang sama.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Tip menurunkan berat badan untuk pesakit PCOS
Menurunkan berat badan merupakan satu cara yang efektif untuk mengurangkan simptom dan sebagai satu cara rawat PCOS dalam kalangan wanita.
Malah, penurunan berat badan sebanyak 5% boleh meningkatkan kesihatan wanita secara menyeluruh.
Sindrom ini perlu ditangani secara berhati-hati kerana individu dengan PCOS mempunyai risiko sebanyak 3 kali ganda untuk menghidap depresi dan kegelisahan berbanding individu yang tidak menghidap PCOS.
Sedang mencari menu diet PCOS turun berat badan sebagai satu cara rawat PCOS? Sebelum itu, ketahui dahulu cara untuk turunkan berat badan secara sihat.
1. Cuba amalkan diet rendah karbohidrat
Wanita yang menghidap PCOS memerlukan kurang 400 kalori sehari berbanding wanita yang tidak menghidap PCOS. Jika mereka makan lebih banyak, lebihan kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak.
Diet rendah lemak amat sesuai untuk penghidap PCOS kerana mereka selalunya rintang terhadap insulin. Oleh sebab itu, dalam masa yang sama, pesakit PCOS perlu meningkatkan pengambilan protein untuk membekalkan tenaga kepada badan.
Penghidap PCOS boleh mengambil sebanyak mana sayur-sayuran yang diingini serta buah-buahan segar. Namun, elakkan jus buah yang manis.
2. Bersenam dahulu sebelum makan
Pesakit yang menghidap PCOS amat digalakkan untuk bersenam sebelum makan. Senaman dapat meningkatkan metabolisme badan. Jadi, pesakit lebih cenderung untuk menyimpan lebihan karbohidrat tersebut sebagai tenaga dan bukannya lemak.
Selain itu, senaman yang kerap juga boleh membakar lemak dan mengurangkan rintangan insulin badan.
Untuk penghidap PCOS, anda digalakkan untuk melakukan senaman berintensiti tinggi.
Namun, penghidap PCOS boleh melakukan apa-apa senaman yang digemari, asalkan ia dapat meningkatkan kadar degupan jantung.
[embed-health-tool-heart-rate]
3. Fokus pada serat sebagai cara rawat PCOS
Ingin turunkan berat badan? Cuba tambah lebih banyak serat dalam diet seharian. Menurut pakar, diet yang kaya dengan serat dapat mengurangkan rintangan insulin, berat badan dan lemak berlebihan.
Malah, pengambilan serat yang lebih banyak juga boleh membuatkan anda rasa lebih kenyang walaupun mengambil kalori yang lebih sedikit daripada biasa.
Bukan itu sahaja, karbohidrat kompleks dan kaya dengan serat tidak akan meningkatkan kadar gula dalam darah seperti gula.
Untuk meningkatkan pengambilan serat, tambah bijirin penuh, sayur-sayuran hijau, kentang, dan ubi kayu ke dalam diet anda sebagai cara rawat PCOS.
Baca juga:
- Mahukan Sistem Penghadaman Yang Bagus? Ambil Serat! Ini 5 Manfaatnya
- Siapa Kata Makanan Tinggi Serat Tak Sedap & Tak Perlu? Ini 4 Manfaat Ambil Ia!
4. Tambah lemak sihat ke dalam diet
Selain serat, pengambilan lemak sihat juga boleh membuatkan anda rasa kenyang, lebih-lebih lagi jika anda ingin mengurangkan pengambilan karbohidrat.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Nutrition, wanita yang menghidap PCOS dan mengambil diet yang kaya dengan lemak sihat mengalami penurunan berat badan yang lebih banyak berbanding wanita yang mengamalkan diet kurang lemak.
Sebagai panduan, cuba tambah 200 kalori lemak sihat ke dalam makanan setiap hari. Sebagai contoh, anda boleh ambil 2 sudu minyak zaitun atau separuh avokado. Selain itu, cuba cari lebih banyak menu diet PCOS turun berat badan di atas talian.
5. Kurangkan pengambilan kafein
Berita buruk untuk penggemar kopi, kafein sebenarnya boleh memberikan impak negatif terhadap tahap hormon badan.
Malah, kajian menunjukkan bahawa pengambilan kafein boleh mengganggu proses ovulasi dan meningkatkan hormon stres.
Walaupun meninggalkan kafein secara total bukanlah satu solusi yang realistik, namun penghidap PCOS boleh mengurangkannya kepada sekurang-kurangnya secawan sehari.
6. Kurangkan gula dalam makanan
Salah satu cara rawat PCOS adalah dengan mengurangkan gula dalam makanan. Gula bukan sahaja akan menyebabkan peningkatan berat badan, malahan juga akan menyebabkan anda cepat lapar.
Jika anda inginkan sesuatu yang manis, cuba makan buah-buahan yang tinggi serat.
7. Pesakit PCOS, jangan terlalu stres
Bukan mudah untuk jauhkan diri daripada stres. Namun, stress boleh meningkatkan tahap hormon kortisol yang berkait rapat dengan peningkatan berat badan.
Malah, stres yang kronik juga boleh menyebabkan badan menyimpan lebih banyak lemak pada kawasan perut.
Oleh sebab itu, sebarang senaman atau aktiviti yang dapat mengurangkan stres sangat bermanfaat, lebih-lebih lagi jika anda ingin menurunkan berat badan.
Cuba lakukan meditasi, yoga, tidur atau amalan lain yang dapat mengurangkan stres dan menenangkan fikiran sebagai cara rawat PCOS.