Melakukan senaman itu penting. Tetapi benarkah jika tidak makan sebelum bersenam dapat membantu mengurangkan lebih berat badan?
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group
Melakukan senaman itu penting. Tetapi benarkah jika tidak makan sebelum bersenam dapat membantu mengurangkan lebih berat badan?
Nak tahu jawapannya? Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk penjelasan mengenai persoalan tersebut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Badan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Menjaga kesihatan adalah mustahak dan bersenam adalah antara cara untuk melakukannya.
Namun kita sering disogok dengan pelbagai petua dan nasihat berkaitan senaman, seperti bersenam dengan perut kosong akan mempercepatkan penurunan berat badan. Adakah ia berkesan?
Umumnya, melakukan aktiviti fizikal semasa perut kosong dikenali sebagai puasa kardio (fasted cardio).
Teorinya adalah badan akan menggunakan lemak serta karbohidrat yang disimpan sebagai tenaga dan bukannya melalui makanan baru dimakan – sekali gus membawa kehilangan lemak lebih tinggi.
Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2016, menunjukkan manfaat bersenam dalam keadaan berpuasa dari aspek pengurusan berat badan.
Hasil penyelidikan melibatkan 12 lelaki ini mendapati mereka yang tidak mengambil makanan sebelum bersenam akan membakar lebih banyak lemak dan mengurangkan pengambilan kalori dalam tempoh 24 jam.
Pun begitu, ada kajian yang menyangkal hasil dapatan tersebut.
Melalui penyelidikan pada 2014 ke atas 20 wanita mendapati tiada perbezaan ketara dalam perubahan komposisi badan antara kumpulan yang makan atau tidak makan sebelum melakukan senaman.
Sebagai sebahagian daripada kajian, penyelidik mengambil ukuran berat badan, peratus lemak badan dan lilitan pinggang selama 4 minggu. Pada akhir kajian, kedua-dua kumpulan telah menunjukkan kehilangan berat badan dan jisim lemak.
Ini bermakna lebih banyak kajian mendalam untuk jangka masa lebih lama perlu dilakukan untuk mengembang dan mengesahkan penemuan ini.
Tidak mengambil makanan sebelum bersenam juga mengakibatkan tubuh menggunakan protein sebagai bahan api. Ini boleh menyebabkan badan kurang protein yang diperlukan untuk membina dan membaiki otot selepas bersenam.
Di samping itu, menggunakan lemak sebagai tenaga tidak semestinya bermakna anda akan mengurangkan keseluruhan peratusan lemak badan atau membakar lebih banyak kalori.
Baca juga:
Walaupun terdapat penyelidikan yang menyokong untuk bersenam semasa perut kosong, ia tidak bermakna tindakan tersebut sesuai untuk dilakukan.
Apabila melakukan aktiviti fizikal dengan perut kosong, anda mungkin membakar sumber tenaga berharga dan akan mengakibatkan diri mempunyai stamina yang kurang.
Paras gula dalam darah yang rendah juga boleh mengakibatkan anda berasa pening, loya atau berasa hendak tumbang (shaky).
Kemungkinan lain yang boleh terjadi adalah tubuh akan menyesuaikan diri untuk terus menggunakan simpanan lemak sebagai tenaga dan mula menyimpan lebih banyak lemak daripada biasa.
Berikut antara pilihan makanan yang seimbang untuk meningkatkan prestasi kesukanan anda:
Jika anda memutuskan untuk makan sebelum melakukan senaman, pilih makanan yang mudah dihadam – mengandungi karbohidrat, protein dan lemak.
Sebaiknya makan antara 2-3 jam sebelum bersenam. Jika ingin cepat, ambillah makanan seperti bar tenaga, sandwic mentega kacang atau buah segar mahupun kering.
Pastikan anda kekal terhidrat sebelum, semasa dan selepas bersukan dengan minum air mencukupi.
Makanan tertentu boleh menambah baik dan mempercepatkan pemulihan diri selepas bersenam. Ambillah makanan yang mempunyai karbohidrat, protein dan serat dalam masa 30 minit – 2 jam selepas menamatkan senaman anda.
Protein yang sihat boleh meningkatkan sistem imun anda dan mempercepatkan penyembuhan luka. Makanan yang mengandungi vitamin C dan D, zink serta kalsium juga bermanfaat untuk tubuh.
Berikut antara pilihan makanan selepas bersenam yang sihat:
Jika anda ingin melakukan senaman semasa perut kosong, teruskan. Namun ia mungkin tidak sesuai untuk aktiviti lasak atau berpanjangan. Anda adalah ‘pengukur terbaik’ keadaan diri anda.
Sekiranya berasakan anda lebih produktif jika tidak makan sebelum bersenam, tiada sebab untuk menukar rutin kebiasaan ini.
Andai sebaliknya, ambillah snek ringan seperti potongan buah sebelum bersenam untuk meningkatkan tenaga bagi melakukan senaman. Ia juga membolehkan anda bersenam lebih lama dan membakar banyak atau dalam jumlah yang sama untuk kalori dan lemak.
Paling penting, pastikan diri kekal terhidrat, mengamalkan diet seimbang dan menjalani gaya hidup selaras dengan kesihatan anda.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen