Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pembaca setia Hello Doktor,
Dunia dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tanpa wanita sesungguhnya dunia ini tidak akan lengkap. Bermula pada abad ke-20 sebagai memperjuang pergerakan wanita di Amerika dan Eropah, Hari Wanita Sedunia kini diangkat sebagai perayaan antarabangsa bagi memperingati dan menghargai perjuangan wanita. Bersempena dengan tarikh keramat 8 Mac yang sinonim dengan wanita, warkah ini saya coretkan untuk semua wanita di luar sana khas untuk kita menyelami peranan wanita dalam dunia kesihatan.
Menyingkap perubahan kuasa wanita di Malaysia sepanjang 100 tahun, ingin saya kongsikan cerita dua tokoh wanita dalam dunia perubatan di negara kita, mereka adalah Allahyarhamah Tan Sri Dr. Salmah Ismail dan Dr. Nur Amalina Che Bakri. Mereka mempelopori dunia bidang yang sama namun mereka meniti pengalaman hidup sebagai wanita dalam era yang berbeza. Tan Sri Dr. Salmah merupakan wanita pertama Malaysia yang menggenggam Ijazah Doktor Perubatan pada tahun 1949. Uniknya, beliau menghadapi rintangan yang mungkin kita tidak tahu akan rasanya seperti menjadi satu-satunya wanita di kalangan rakan sejawat dan mengharungi zaman perang sebagai seorang wanita berkerjaya. Pengorbanan inilah seharusnya diangkat kerana ia membuka segala pintu dan peluang untuk generasi wanita seterusnya, tidak terkecuali insan hebat, Dr. Amalina Che Bakri. Pada usia yang muda, Dr. Amalina telah tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih pembedahan terbaik di United Kingdom. Kisah beliau sentiasa menjadi ikutan media tempatan dan saya doakan semoga beliau akan terus menjadi sumber inspirasi kepada wanita terutamanya anak-anak muda kita.
Fenomena pandemik covid-19 kini mula beralih ke arah fasa endemik dan kita sebagai wanita tidak terkecuali dari menjadi mangsa terutamanya isu berkaitan kehamilan. Sehingga Januari 2022, dilaporkan sebanyak 18,277 kes covid-19 melibatkan golongan ibu hamil dan dari jumlah tersebut sebanyak 191 kematian dicatatkan. Namun begitu, jumlah kes kematian kini telah semakin menurun kesan daripada kesedaran betapa pentingnya pengambilan vaksin. Kesedaran vaksinasi ini sangat penting dan ia merupakan tanggungjawab kita bersama bagi melindungi diri kita dan orang tersayang. Saya sarankan kepada anda yang masih belum dapatkan dos penggalak, lakukan tanggungjawab anda sebagai seorang rakyat Malaysia yang berwibawa. Fenomena covid-19 ini juga memberi impak yang besar terhadap kesihatan mental wanita kerana banyak antara kita yang menggalas tanggungjawab bukan sekadar sebagai seorang isteri tetapi juga sebagai seorang ibu dan juga pekerja. Pengetahuan asas berkaitan pengurusan stress, tekanan dan masa adalah sangat penting bagi memelihara dan menguatkan kesihatan mental.
Selain daripada masalah berkaitan dengan covid-19, kita seharusnya tidak alpa melupakan kesedaran akan ancaman masalah-masalah lain yang telah wujud sebelum fenomena covid-19. Di sini ingin saya kongsikan statistik lima punca utama kematian di kalangan wanita di Malaysia sebagai pencetus kesedaran kepada kita untuk lebih fokus kepada langkah-langkah pencegahan. Bagi tahun 2020, penyakit jantung koronari telah menjadi punca kematian tertinggi di kalangan wanita iaitu sebanyak 13.4%, manakala radang paru-paru 11.7%, strok 9.3%, kanser payudara 4.5% dan penyakit kencing manis sebanyak 2.5%. Seperti yang disarankan oleh para pakar-pakar kesihatan, saya mengajak semua wanita untuk jadikan pemeriksaan kesihatan satu rutin tahunan kerana pemeriksaan kesihatan awal boleh membantu mengesan penyakit tertentu di peringkat awal.
Sebagai seorang wanita, ancaman itu bukan sahaja datang dalam bentuk penyakit dan wabak, tetapi kita juga terdedah kepada ancaman keganasan terhadap wanita. Meskipun nasib wanita kini lebih baik dari 5 dekad yang lalu, namun masih ramai wanita yang menjadi mangsa kepada pelbagai bentuk keganasan termasuk fizikal dan seksual. Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan sehingga Ogos 2021, sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan dalam tempoh empat tahun dan 90% pemangsa seksual adalah individu dikenali seperti keluarga dan kenalan. Bagi pendapat saya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah jenayah seksual ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa pendedahan tentang masalah ini masih lagi kurang dan belum menyeluruh.
Wanita adalah tulang belakang utama dalam masyarakat. Wanita memberi impak bukan sahaja di rumah, malah juga di tempat kerja. Meskipun wanita sering dikatakan “complicated”, tapi sebagai ibu, kamilah yang membawa kebahagiaan dan menyediakan pelbagai hidangan yang enak-enak untuk sekeluarga.
Sebelum saya mengakhiri warkah ini, ingin saya menyentuh tentang peranan pendidikan di kalangan wanita. Pada suatu ketika dahulu, wanita dilarang sama sekali untuk membawa kereta, dilarang mendapatkan Pendidikan, cari kerja dan tanggungjawab mereka hanya terhad kepada pengurusan keluarga dan rumah. Tetapi kini selaras dengan arus teknologi kita dapat menyaksikan ramai wanita telah berjaya di kedudukan tertinggi dalam pelbagai bidang termasuk menjadi pemimpin dunia. Walaupun begitu masih ramai lagi wanita yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pendidikan asas. Peratusan celik huruf di Malaysia di kalangan wanita sudah melepasi 94% tetapi kita masih lagi di belakang beberapa negara jiran lain seperti Singapura dan Indonesia. Harus diingatkan bahawa celik huruf hanyalah kebolehan membaca dan kesedaran atau ‘awareness’ dalam sesuatu perkara itu juga melibatkan kebolehan untuk mentafsir dan menganalisa. Justeru itu demi memperkasakan wanita-wanita di Malaysia, saya sarankan ayuh kita memupuk minat membaca bahan-bahan positif dan berguna agar kita dapat menaik taraf pengetahuan dan kedudukan kita sebagai wanita yang berpendidikan.
Akhir kata, khas untuk semua pelayar portal www.hellodoktor.com, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Wanita Sedunia’. Semoga coretan ini dapat mengingatkan kita semua untuk menghargai dan menyayangi setiap wanita di dalam hidup kita. Inspirasi saya bagi platform Hello Doktor adalah untuk menjangkau seberapa ramai rakyat Malaysia yang mungkin supaya kita semua peka akan kesedaran tentang kesihatan. Saya berharap agar mereka dapat membuat keputusan bernas yang berkaitan dengan kesihatan menerusi informasi yang dipaparkan dalam laman sesawang kami. Sekiranya kita mendidik wanita, institusi keluarga juga terdidik. Kesan media sosial pada abad ini telah memberikan kuasa kepada wanita dengan mudah untuk mengakses informasi secara atas talian dan seterusnya mendidik diri-sendiri tentang pelbagai subjek seperti kesihatan.
Jutaan Terima Kasih kepada anda kerana sentiasa setia dan menyokong Hello Doktor. Selamat Hari Wanita!
Sekian,
Dr. Nurul Aishah Jamaludin
Managing Editor
Hello Doktor Malaysia
[embed-health-tool-ovulation]