backup og meta

Wanita Yang Gemar 'Skipping', Ambil Tahu Ya! Ini Fakta Tentang Melompat Buat Peranakan Jatuh

Wanita Yang Gemar 'Skipping', Ambil Tahu Ya! Ini Fakta Tentang Melompat Buat Peranakan Jatuh

Untuk pengetahuan, organ peranakan wanita terdiri daripada rahim, pundi kencing dan usus besar yang disokong oleh ligamen serta otot dikenali sebagai otot pelvis. Masalah rahim atau peranakan jatuh sering berlaku apabila otot pelvis menjadi lemah disebabkan oleh kesan regangan yang berlebihan.

Terdapat pelbagai jenis kejatuhan rahim dan umumnya ia bergantung kepada organ yang terlibat.

Namun, sesetengah wanita mengaitkan kondisi ini dengan aktiviti fizikal seperti senaman lompat tali atau skipping yang dikatakan boleh menyebabkan peranakan jatuh.

Sejauh manakah kebenaran pernyataan ini? Adakah ia hanyalah mitos tidak berasas yang digunakan untuk menakut-nakutkan kaum Hawa?

Jika anda berminat untuk ketahui dengan lebih lanjut, jom baca artikel ini!

Peranakan jatuh

Organ peranakan jatuh atau lebih dikenali sebagai rahim jatuh biasa berlaku dalam kalangan wanita.

Masalah peranakan jatuh adalah satu kondisi di mana rahim turun ke arah atau ke dalam faraj.

Hal ini berlaku apabila otot dan ligamen lantai pelvis menjadi lemah dan tidak mampu lagi menyokong rahim.

Dalam sesetengah kes, rahim boleh jatuh sehingga ke bahagian bukaan faraj sehingga kelihatan di luaran faraj.

Dianggarkan, hampir separuh daripada wanita yang pernah melahirkan anak mengalaminya atas pelbagai faktor.

Pun begitu, ia bukan sahaja terjadi kepada ibu yang sudah bersalin.

Bahkan wanita yang belum berkahwin juga tidak terkecuali mengalami masalah ini terutama mereka yang sering melakukan aktiviti lasak dan kerja berat.

Tanda-tanda peranakan jatuh yang boleh dikenal pasti

peranakan jatuh

Bagi mereka yang mempunyai masalah rahim jatuh yang ringan, anda mungkin tidak akan mengalami sebarang simptom atau tanda.

Manakala, bagi mereka yang sudah berada pada tahap sederhana atau teruk, ia mungkin menyebabkan beberapa petanda peranakan telah jatuh.

Antara tanda peringkat awal yang boleh dikenal pasti, merangkumi:

  • Tidak selesa apabila dalam posisi duduk, terasa seakan duduk di atas sesuatu objek
  • Keputihan berlaku dengan lebih kerap
  • Mempunyai masalah dyspareunia (seks menyakitkan) ketika melakukan hubungan seksual
  • Terasa berat pada bahagian pelvis
  • Mengalami sembelit atau kesukaran untuk membuang najis
  • Jangkitan pundi kencing atau kesukaran membuang air kecil
  • Sakit pada bahagian bawah belakang badan
  • Uterus atau serviks yang menonjol keluar daripada faraj
  • Kencing tidak lawas

Justeru, apakah langkah yang perlu diambil jika mengalami tanda-tanda peranakan jatuh peringkat awal seperti ini?

Langkah terbaik semestinya adalah untuk berjumpa dengan doktor dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan di peringkat awal, ia berisiko menjejaskan usus, pundi kencing bahkan kehidupan seksual anda!

Dalam kata mudah, mencegah itu lebih baik daripada merawat bukan?

Faktor-faktor berpotensi sebabkan rahim jatuh

Berdasarkan simptom-simptom yang dinyatakan seperti di atas, masalah peranakan jatuh yang berlaku ini juga boleh disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya ialah faktor:

  • Obesiti
  • Melahirkan bayi besar
  • Kehamilan
  • Melahirkan bayi secara normal, melalui faraj
  • Faktor usia, terutamanya setelah menopaus kerana tahap estrogen yang menurun
  • Sering melakukan kerja-kerja berat
  • Meneran dengan kuat sewaktu membuang air
  • Masalah batuk kronik
  • Pernah melakukan pembedahan pelvis sebelumnya
  • Faktor genetik yang mendorong kepada berlakunya kelemahan pada tisu penghubung
  • Masalah sembelit kronik

Senaman lompat tali penyebab peranakan jatuh, benarkah?

Aktiviti senaman tidak akan melemahkan otot pelvis, justeru bersenam bukanlah penyebab langsung berlakunya masalah ini.

Namun, jika kawasan ini sudahpun lemah, maka aktiviti berat berisiko menyebabkan rahim anda jatuh daripada rongga pelvis.

Hal ini sama seperti mereka yang mempunyai masalah batuk kronik, tekanan yang berlebihan mampu menyumbang kepada kondisi ini.

Berbalik kepada persoalan utama artikel ini, benarkah senaman lompat tali boleh menjadi punca rahim jatuh?

Jawapannya, tidak sama sekali! Melompat tidak akan menyebabkan peranakan anda jatuh.

Malahan, sama seperti berlari, adakah ia menyebabkan mata anda tercabut? Kedengaran merepek bukan?

Apa yang penulis mahu tekankan, senaman yang cukup bermanfaat ini tidak akan menyebabkan masalah tersebut, kecuali anda sudah memiliki otot pelvis yang lemah atau pernah mengalami masalah rahim jatuh sebelum ini.

Aktiviti lompat tali adalah kaedah yang mudah, menjimatkan dan bagus untuk menjaga kesihatan, menurunkan berat badan malah mengurangkan tekanan!

Sekarang, anda tidak lagi perlu risau untuk melakukan skipping ya!

Apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengelaknya?

Terdapat beberapa tip yang boleh anda amalkan untuk mengelak daripada berlakunya masalah rahim jatuh.

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:

peranakan jatuh

  • Jaga berat badan: Lakukan konsultasi dengan doktor anda untuk menentukan berat badan ideal dan dapatkan nasihat mengenai strategi penurunan berat badan, jika anda memerlukannya
  • Rawat dan mencegah sembelit: Minum banyak air dan makanlah makanan berserat tinggi, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang dan bijirin gandum
  • Amalkan senaman Kegel: Latihan ini dapat menguatkan otot lantai pelvis anda, terutamanya setelah melahirkan bayi
  • Elakkan mengangkat berat dan angkat dengan cara yang betul: Tip mengangkat yang betul, gunakan kaki anda bukan pinggang atau punggung
  • Rawat masalah batuk: Dapatkan rawatan untuk batuk kronik atau bronkitis, dan elakkan merokok

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Uterine prolapse. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/uterine-prolapse/symptoms-causes/syc-20353458. Accessed 27 May 2022.
  2. Uterine Prolapse. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/16030-uterine-prolapse. Accessed 27 May 2022.
  3. Exercise cause my prolapsed bladder. https://www.health.harvard.edu/womens-health/did-exercise-cause-my-prolapsed-bladder. Accessed 27 May 2022.
  4. Benefits of jumping rope. https://www.acefitness.org/education-and-resources/lifestyle/blog/6395/7-benefits-of-jumping-rope/Accessed 27 May 2022.
  5. Uterine prolapse. https://www.uofmhealth.org/health-library/tv1000. Accessed 27 May 2022.

Versi Terbaru

27/05/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Sakit Ketika Senggama Akibat Endometriosis? Ini 4 Cara Elak Pedih & Perit Semasa Berjimak

Rahim Jatuh Jika Angkat Barang Berat? Ada Banyak Lagi Punca Peranakan Jatuh!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 27/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan