Sindrom pramenstruasi (PMS) mampu menyebabkan beberapa simptom yang menyerupai tanda-tanda kehamilan.
Tanda-tanda kehamilan bakal ibu boleh dikelirukan oleh simptom atau tanda PMS seperti sakit pinggang, perubahan mood, sakit kepala dan beberapa lagi gejala lain.
Disebabkan itu, sebilangan wanita mengalami kesukaran untuk menentukan sama ada mereka bakal ‘datang bulan’ atau hamil.
Pun begitu, simptom-simptomnya mungkin kelihatan sama, namun masih terdapat perbezaan kecil terutamanya bagi yang positif mengandung.
Apa perbezaannya? Kalau anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut, baca artikel ini sampai habis ya!
Persamaan PMS & tanda-tanda kehamilan
Apa tanda nak period vs hamil?
Bagi kebanyakan wanita, tanda-tanda dan gejala awal kehamilan boleh menyerupai simptom ketika didatangi haid atau PMS.
Sebenarnya, adalah sukar untuk mengenal pasti daripada gejala awal sahaja jika seseorang wanita hamil atau mengalami simptom yang berkaitan dengan haid.
Untuk pemahaman yang lebih lanjut, ini tanda-tanda dan gejala umum yang mempunyai persamaan antara kehamilan dan PMS:
#1 Sakit kepala & belakang
Sakit kepala boleh menjadi salah satu tanda-tanda kehamilan, tetapi kebanyakan wanita juga mengalami isu sakit kepala atau migrain sebelum kedatangan haid atau PMS.
Ia mungkin agak mengelirukan kerana gejala ini boleh berlaku ketika PMS, tetapi ia juga boleh menjadi gejala kehamilan.
Ini kerana perubahan hormon boleh menyebabkan sakit kepala dan sakit belakang pada awal kehamilan dan sebelum haid.
#2 Perubahan mood
Perubahan mood adalah perkara yang sering terjadi ketika PMS serta awal kehamilan.
Selain itu, perubahan ini boleh merangkumi kemurungan, kegelisahan, mudah marah, dan mood berubah.
Tetapi, tanda PMS ini biasanya akan hilang sebaik sahaja haid bermula.
Walau bagaimanapun, jika perubahan mood berterusan bersama dengan kelewatan menstruasi, ini mungkin menjadi petunjuk kehamilan.
Di samping itu, jika seseorang wanita menunjukkan perasaan sedih yang berterusan, ia mungkin boleh disebabkan oleh kemurungan.
Kira-kira 10% wanita hamil di seluruh dunia mengalami gangguan kesihatan mental, kemurungan.
#3 Sembelit, tanda-tanda kehamilan?
Hormon progesteron boleh menyebabkan gangguan pencernaan termasuk sembelit.
Ini kerana tahap progesteron meningkat pada separuh kedua kitaran haid dan sembelit boleh terjadi pada wanita sedang PMS.
Bukan hanya berlaku ketika kedatangan awal haid, perubahan hormon saat awal kehamilan juga boleh menyebabkan sembelit.
Penyelidikan menunjukkan sembelit mempengaruhi hingga 38% wanita sepanjang kehamilan, tetapi ia juga mempengaruhi kebanyakan wanita sebelum dan semasa haid.
Bagi wanita hamil, kemungkinan besar mereka mengalami sembelit pada 2 trimester terawal, sementara wanita dengan masalah usus yang berkaitan PMS biasanya akan kembali pulih setelah haid bermula.
#4 Kesakitan payudara
Semasa PMS, pembengkakan dan kesakitan payudara boleh berlaku pada separuh kedua kitaran haid.
Kesakitannya boleh jadi berperingkat daripada ringan sehingga parah, dan para wanita pada usia subur cenderung untuk mengalami gejala yang lebih teruk.
Manakala ketika awal kehamilan, payudara anda mungkin terasa sakit dan sensitif apabila disentuh.
Bukan itu sahaja, payudara juga mungkin terasa lebih kenyal dan padat.
Kesakitan dan pembengkakan buah dada ini biasanya akan berlaku selama 1 sehingga 2 minggu setelah positif hamil.
#5 Kekejangan
Adakah period awal tanda hamil?
Bagi mereka yang mengalami PMS, senggugut, iaitu kekejangan boleh berlaku dalam tempoh 24 sehingga 48 jam sebelum haid.
Setelah itu, rasa sakit mungkin akan berkurang sepanjang tempoh haid dan akhirnya menghilang dengan sendiri pada penghujung menstruasi.
Usah risau kerana kekejangan disebabkan haid seringkali berkurangan selepas kehamilan pertama anda atau dengan peningkatan usia.
Di samping itu juga, kekejangan akan lebih kerap berlaku terhadap sebilangan wanita yang bakal memasuki usia menopaus.
Pada awal kehamilan pula, seseorang wanita mungkin mengalami kekejangan yang ringan.
Kekejangan ini mungkin terasa sama seakan kekejangan ringan yang dialami semasa haid, tetapi ia lebih tertumpu pada perut dan pinggang bahagian bawah.
Peringatan! Sekiranya anda mempunyai sejarah keguguran, jangan abaikan gejala ini.
Cuba untuk berehat dan sekiranya kekejangan tersebut tidak berkurangan atau reda, segera berbincang dengan doktor anda.
Tanda PMS & tanda-tanda kehamilan: Ini perbezaannya!
Tanda PMS? Tompokan darah yang ringan kadangkala berlaku sekitar masa implantasi embrio ke dalam rahim pada awal kehamilan.
Perkara ini dikenali sebagai pendarahan implantasi dan ia tidak sama dengan pendarahan berat yang mungkin dialami oleh beberapa wanita pada awal haid.
Gejala-gejala tersebut lebih bersifat kehamilan, dan ia tidak berlaku disebabkan oleh haid atau PMS.
- Lewat atau tidak datang haid: Ketiadaan haid adalah antara tanda-tanda kehamilan
- Pendarahan atau kekejangan implantasi: Pendarahan dan kekejangan yang sangat ringan semasa implantasi embrio di dalam rahim ketika awal kehamilan boleh berlaku. Ia juga sangat berbeza dengan aliran haid yang normal
- Keputihan: Peningkatan pengeluaran estrogen ketika kehamilan boleh menyebabkan kepada peningkatan keputihan
- Areola atau puting payudara bertambah gelap: Warna gelap atau pembesaran areola boleh berlaku seawal 1 atau 2 minggu setelah proses persenyawaan pada awal kehamilan. Ia juga boleh berkembang semasa kehamilan dan tidak menjadi gejala PMS mahupun haid
Konklusinya…
Sekiranya hamil, lebih cepat anda mengetahuinya, maka semakin cepat penjagaan yang betul dapat dilakukan.
[embed-health-tool-ovulation]