Kajian ini telah melihat kepada akses perkhidmatan kesihatan primari (pesakit luar) dan juga perkhidmatan kesihatan sekunder (pakar).
Bagi perkhidmatan kesihatan pesakit luar, kedua-dua kelompok yang tinggal sama ada di bandar atau kawasan pedalaman mendapat akses yang sama.
Namun, akses terhadap perkhidmatan pakar perubatan adalah rendah bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Antara perkara yang menyebabkan perbezaan ini adalah kerana faktor sosio-ekonomi.
Selain itu, pada kebiasaannya, mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mungkin agak sukar untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang sewajarnya.
Mungkin ada sesetengah kawasan yang langsung tidak mempunyai klinik kesihatan sehingga para doktor terpaksa pergi ke kawasan tersebut bagi memberikan servis kesihatan secara berkala.
Ada juga keadaan di mana faktor geografi yang menyukarkan mereka untuk pergi ke klinik kesihatan yang berdekatan sehingga terpaksa menempuh perjalanan selama berjam-jam lamanya.
Ini belum lagi melibatkan kes-kes kronik yang memerlukan rawatan segera seperti kemalangan, kelahiran bayi, kanser dan pelbagai keadaan kesihatan serius yang lain.
Kadar kematian lebih rendah bagi mereka yang tinggal di pedalaman

Berdasarkan satu laporan kajian khusus di Australia yang bertajuk Rural, remote and regional differences in women’s health: Findings from the Australian Longitudinal Study on Women’s Health, didapati wanita yang tinggal di pedalaman mencatatkan peratusan kematian yang agak rendah berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Sebagai contoh, peratusan wanita pedalaman yang mati akibat kanser payudara adalah sebanyak 1% berbanding 4% bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Begitu juga dengan penyakit strok, sebanyak 10% kematian direkodkan oleh wanita yang tinggal di kawasan pedalaman berbanding 12% bagi wanita di kawasan bandar.
Namun, ada juga beberapa keadaan kesihatan lain yang menunjukkan kadar kematian di kawasan pedalaman lebih tinggi berbanding wanita di kawasan bandar.
Ini termasuklah kanser sistem pencernaan, dan kematian oleh lain-lain sebab.
Ada perbezaan antara wanita pedalaman dan wanita bandar
Jelas sekali terdapat perbezaan yang ketara antara wanita yang tinggal di kawasan pedalaman dengan mereka yang tinggal di bandar.
Secara umumnya, wanita di bandar mendapat akses terhadap kemudahan pakar dan fasiliti kesihatan yang lebih mudah dan lebih baik berbanding wanita di pedalaman.
Namun, faktor risiko yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan juga adalah lebih tinggi di bandar berbanding di kawasan pedalaman.