“Kenapa lelangit bengkak ya? Susah betul nak minum dan makan sekiranya lelangit rasa pedih dan sakit. Nak bercakap pun susah! Sebenarnya, apa punca lelangit bengkak yang saya alami sekarang?”
Bagi mereka yang sedang alami masalah ini, ketahuilah bahawa ia merupakan satu perkara yang sangat lazim.
Ada banyak punca yang boleh menyebabkan lelangit menjadi bengkak dan sakit. Antaranya, anda mungkin makan makanan yang kasar sehingga melukakan lelangit, minum air panas ataupun mengalami alahan!
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai punca lelangit keras dan sakit serta bila anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, anda boleh klik di sini.
Mengapa lelangit bengkak?
Lelangit bukanlah satu kawasan yang kita boleh lihat dengan mata sendiri. Jadi, sukar untuk kita nampak jika ada sebarang ruam atau luka pada kawasan tersebut.
Namun, antara simptom yang boleh diperhatikan ialah:
- Ada kawasan yang lebih lembut pada lelangit yang rasa pedih apabila ditekan.
- Ada bintik atau ruam dalam mulut.
- Lelangit dan tekak nampak merah.
1. Lelangit bengkak sebab melecur
Lelangit kita merupakan satu kawasan yang lembut dan sangat sensitif. Ia mudah melecur jika anda termakan atau terminum sesuatu yang panas.
Luka melecur selalunya akan pulih dengan sendirinya dalam masa 3-7 hari tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jumpa doktor secepat mungkin jika luka yang dialami serius dan mendatangkan kesakitan yang amat sangat.
Selain itu, makanan seperti gula-gula, roti yang keras atau bijirin sarapan pagi boleh melukakan lelangit anda.
Gula-gula yang pecah mempunyai permukaan tajam yang boleh mencalarkan lelangit. Calar ini boleh menyebabkan lelangit anda rasa sakit dan mula membengkak.
2. Ulser kanker pada mulut
Ulser kanker merupakan luka kecil yang boleh terbentuk pada mana-mana tisu dalam kawasan mulut. Selalunya, ia berwarna putih atau kuning dengan keliling yang berwarna merah.
Ulser ini boleh membuatkan anda rasa sakit dan pedih ketika makan.
Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan ulser kanker. Antaranya ialah kekurangan vitamin B-12, stres, perubahan hormon, jangkitan atau luka kecil pada mulut.
Jarang sekali ulser boleh menyebabkan penyakit yang serius. Anda boleh dapatkan ubat ulser di farmasi atau klinik berdekatan.
3. Jangkitan virus pada tekak, penyebab lelangit ada benjolan keras
Kadangkala, sakit tekak pun boleh menyebabkan lelangit keras dan sakit.
Golongan yang paling terkesan dengan sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan virus ialah kanak-kanak, perokok, mereka yang bekerja dalam bangunan tertutup dan juga individu dengan sistem imun yang lemah.
Antara simptom jangkitan virus ialah sakit tekak ketika menelan atau bercakap, tonsil yang berwarna merah, demam, sakit badan dan batuk-batuk.
Sekiranya simptom tidak pulih dalam masa 24 jam, jumpa doktor secepat mungkin. Sakit tekak yang berpanjangan boleh menjadi tanda penyakit yang serius seperti cacar air atau campak.
4. Lepuh atau ulser biasa sebab lelangit keras
Sekiranya lelangit ada benjolan keras, ia mungkin berlaku disebabkan ulser biasa. Mungkin, anda kurang minum air atau demam sehingga ia menyebabkan ulser pada mulut.
Namun, jangkitan virus herpes juga boleh menyebabkan lepuh pada mulut. Virus ini boleh tinggal dalam mulut bertahun-tahun lamanya sebelum menunjukkan sebarang simptom.
Virus ini juga boleh muncul semula ketika anda rasa tertekan, sakit atau mempunyai sistem imun badan yang terjejas.
5. Kanser mulut punca lelangit bengkak
Jarang sekali lelangit bengkak menjadi punca atau tanda kanser mulut.
Kanser mulut merupakan sejenis penyakit serius yang menyebabkan sel-sel kanser merebak dan menjangkiti tisu mulut yang lain.
Ia boleh bermula pada kawasan lidah, gusi, lelangit dan mana-mana sahaja kawasan mulut yang lain.
Fakta
Oleh sebab itu, sekiranya lelangit anda masih lagi sakit selepas 10 hari atau 2 minggu, jumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Petua menghilangkan lelangit luka
Jika lelangit keras dan sakit sehingga mengganggu aktiviti harian anda, cuba lakukan perkara yang berikut:
- Berkumur dengan larutan garam dan air suam.
- Makan aiskrim.
- Ambil ubat tahan sakit di farmasi.
- Letakkan ubat sapu pada kawasan yang terjejas.
- Elakkan makanan panas dan pedas.
- Ambil makanan yang lembut seperti aiskrim, bubur atau kentang lenyek.
[embed-health-tool-bmi]