backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Anda BERISIKO Alami Ulser Lidah Jika Berdepan Masalah Penghadaman Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    Anda BERISIKO Alami Ulser Lidah Jika Berdepan Masalah Penghadaman Ini

    Benarkah individu dengan masalah penghadaman seperti penyakit GERD berisiko alami ulser? Jika ya, adakah cara menghilangkan ulser yang boleh dicuba?

    Lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman di sini.

    Penyakit GERD & ulser mulut

    Penyakit berkaitan sistem penghadaman ini ada banyak jenis, seperti penyakit radang usus (IBD) mahupun penyakit GERD atau turut dikenali sebagai asid refluks.

    Sesetengah keadaan yang melibatkan masalah penghadaman ini meningkatkan risiko untuk mengalami ulser pada bahagian mulut seperti di lidah. 

    Sebagai contoh, individu dengan penyakit radang usus, mungkin mengalami pelbagai gejala berkaitan usus luar bersama simptom pada saluran gastrousus (GI) – saluran pencernaan.

    Ia boleh merangkumi pelbagai gejala seperti kerengsaan kulit, masalah mata dan sakit sendi

    Salah satu simptom berkaitan usus luar adalah stomatitis aphthous atau ulser di dalam mulut.

    cara menghilangkan ulser

    Bagi sesetengah pesakit IBD, ulser mulut itu mungkin merupakan petunjuk pertama bahawa radang usus akan terjadi lagi.

    Individu dengan penyakit GERD juga boleh mengembangkan masalah ulser mulut.

    Jika asid refluks mengakibatkan ulser, kemungkinan besar ia berlaku pada bahagian belakang mulut, belakang lidah dan belakang tekak – merupakan laluan asid keluar daripada perut.

    Canker sore atau turut dikenali sebagai aphthous ulcer adalah keadaan apabila terdapat luka kecil yang sakit dan timbul pada bahagian dalam bibir, bawah lidah dan gusi.

    Ia adalah luka yang disebabkan oleh stomatitis aphthous.

    Stomatitis aphthous dipercayai tidak berjangkit mahupun merebak kepada individu lain.

    Jadi adakah terdapat cara menghilangkan ulser seperti ulser lidah?

    Simptom ulser mulut bagi penyakit IBD & GERD

    Sebelum kami kongsikan cara menghilangkan ulser yang boleh dicuba, jom kenal pasti terlebih dahulu gejalanya, okay?

    Antara gejala ulser mulut biasanya adalah:

    • Satu atau lebih luka yang menyakitkan pada bahagian kulit yang melapisi mulut
    • Kulit bengkak di sekitar luka
    • Kesukaran untuk mengunyah atau memberus gigi kerana peningkatan tahap sensitiviti
    • Berlaku kerengsaan yang disebabkan oleh makanan manis, pedas atau masam
    • Kehilangan selera makan

    Ulser aphthous biasanya berlaku pada lapisan mulut lebih lembut pada bibir, pipi, sisi lidah, lantai mulut, belakang lelangit mulut dan sekitar kawasan tonsil.

    cara menghilangkan ulser

    Ulser ini biasanya bersaiz tidak lebih daripada 5 milimeter (mm). Anda mungkin akan mengalaminya lebih daripada 1 dalam satu-satu masa. 

    Adakalanya ulser ini boleh bergabung bersama dengan ulser sedia ada.

    Keadaan ulser seperti ulser lidah ini mungkin berlanjutan untuk tempoh 1 hingga 2 minggu kepada berbulan. 

    Ulser mungkin muncul sebagai lepuh keputihan atau kuning dengan dasarnya yang berwarna merah.

    Ia akan bertukar kepada lapisan berwarna kelabu apabila mulai sembuh.

    Cara menghilangkan ulser

    Sudah bersedia untuk mengetahui cara menghilangkan ulser? 

    Umumnya, terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan untuk meredakan kesakitan berpunca daripada ulser dialami seperti ulser lidah.

    Untuk penghidap radang usus, keupayaan untuk mengawal keradangan yang berpunca daripada IBD biasanya dapat membantu dalam mengawal ulser.

    Keadaan tersebut sekali gus boleh mempercepatkan proses pemulihannya.

    Begitu juga sekiranya anda mengalami masalah berkaitan sistem penghadaman lain seperti penyakit GERD.

    cara menghilangkan ulser

    Bagi kes stomatitis aphthous ringan, mungkin tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan. Ini kerana lepuh yang dialami akibat ulser itu akan sembuh dengan sendirinya. 

    Sekiranya memerlukan ubatan, anestetik topikal seperti lidocaine sering diberikan sebagai preskripsi untuk menghilangkan rasa sakit, sekali gus dianggap sebagai cara hilangkan ulser mulut dengan cepat

    Manakala untuk ulser yang teruk, ia boleh dirawat dengan menggunakan kortikosteroid topikal dalam bentuk krim, semburan atau kumur.

    Untuk rawatan khusus bagi stomatitis aphthous, anda mungkin akan diberikan preskripsi amlexanox sebagai ubat topikal.

    Penggunaan ubat kumur yang boleh mengurangkan jumlah bakteria dalam mulut juga boleh digunakan. 

    Seandainya, masalah ulser yang dialami menjadi lebih sakit atau kerengsaan disebabkan oleh pengambilan makanan tertentu, anda mungkin perlu melakukan perubahan dalam diet pemakanan harian

    Makanan lembut, yang dikisar, tidak berasid – tanpa tambahan rempah atau garam – boleh membantu mengurangkan kerengsaan.

    Menghisap kiub ais juga dipercayai dapat memberikan kelegaan akibat kesakitan yang dialami. 

    rawatan

    Bagi pilihan rawatan lain sebagai cara menghilangkan ulser, anda mungkin boleh menggunakan susu magnesia pada luka lepuh atau membilasnya dengan air garam.

    Penggunaan hidrogen peroksida yang dicairkan (diluted) atau diphenhydramine mungkin boleh memberikan kelegaan dan kesembuhan untuk beberapa kes melibatkan ulser pada mulut.

    Adakalanya pengambilan ubat tahan sakit juga boleh membantu melegakan rasa sakit yang dialami. 

    Cuma ubat penahan kesakitan NSAID – ubat antiradang bukan steroid – mungkin boleh mencetuskan kerengsaan pada individu dengan IBD dan penyakit GERD. 

    Pemeriksaan doktor

    Seringkali bagi kes stomatitis aphthous yang disebabkan oleh masalah sistem penghadaman, ulser biasanya akan sembuh dan hilang apabila kerengsaan IBD atau asid refluks dapat dikawal. 

    Jika anda mempunyai sebarang keraguan dan kebimbangan mengenai keadaan diri, sebaiknya lakukan pemeriksaan doktor.

    Anda juga dinasihatkan mendapatkan rundingan doktor sebelum mengambil sebarang ubat sebagai cara menghilangkan ulser jika mempunyai masalah berkaitan penghadaman seperti radang usus atau penyakit GERD.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan