backup og meta

Anda Diserang Jangkitan Herpes? Cuba Remedi Natural Ini, Dapat Bantu Kawal Gejala!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/01/2023

    Anda Diserang Jangkitan Herpes? Cuba Remedi Natural Ini, Dapat Bantu Kawal Gejala!

    Penyakit herpes adalah jangkitan yang berasal daripada virus herpes simplex. Walaupun pada saat ini masih tiada penawarnya, namun ada beberapa rawatan, termasuk remedi di rumah yang dapat meredakan gejala.

    Simptom penyakit herpes simplex biasanya mencetuskan luka pada kulit. Jangkitan juga kerap menyerang mulut, alat kelamin, dan kawasan dubur.

    Terdapat 2 jenis virus herpes simplex; virus herpes simplex 1 (HSV-1) dan virus herpes simplex 2 (HSV-2).

    Kedua-dua HSV-1 dan HSV-2 boleh memicu herpes kemaluan, tetapi hanya HSV-1 yang berupaya menyebabkan herpes oral.

    Kupasan kali ini akan membincangkan beberapa remedi di rumah yang boleh penghidap herpes cuba, untuk menguruskan gejala dialami. Jom baca!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

    Remedi-remedi untuk penyakit herpes

    #1 Madu

    1 kajian yang dijalankan pada tahun 2019 menunjukkan, penggunaan madu kanuka mungkin berkesan untuk merawat herpes oral seperti krim antivirus.

    Dalam kajian itu, 8 hari diperlukan untuk luka sembuh dengan krim antivirus, manakala 9 hari dengan penggunaan madu.

    Pun begitu, herpes oral dapat sembuh dalam 1 ke 2 minggu tanpa rawatan, dan kajian ini tidak merangkumi kumpulan yang tidak menerima rawatan.

    Namun, masih belum jelas sama ada sifat penyembuhan ini hanya terkandung dalam madu jenis kanuka atau sama sahaja dengan jenis madu yang lain.

    #2 Vitamin

    penyakit herpes

    Pelbagai jenis vitamin dapat bantu melindungi tubuh daripada virus dan mengurangkan simptom.

    Herpes pula lebih cenderung menyerang jika seseorang mempunyai paras vitamin D yang rendah.

    Vitamin D dapat melindungi tubuh daripada jangkitan dengan meningkatkan sebahagian sistem imun.

    Sifat antioksidan di dalam vitamin E pula dapat menurunkan tekanan yang dipicu oleh herpes pada sel-sel sistem imun, sehingga menurunkan risiko berlakunya jangkitan.

    Penyelidik kini menjalankan ujian klinikal menggunakan vitamin E terhadap herpes.

    Anda boleh tingkatkan pengambilan vitamin dengan membuat perubahan diet atau mengambil suplemen.

    Selain itu, pendedahan kulit kepada cahaya matahari juga dapat meningkatkan paras vitamin D.

    Baca juga:

    #3 Tuam/kompres kurangkan simptom penyakit herpes

    Kompres panas atau sejuk dapat meredakan kesakitan dan kegatalan akibat luka herpes.

    Menuam haba ke kawasan di sekitar bibir juga dapat menghentikan pembentukan lepuh semasa jangkitan herpes oral.

    Di samping itu, anda juga boleh mengaplikasikan kompres sejuk, yang cukup mudah dilakukan di rumah! Hanya balut ais ke dalam bungkusan kain, lalu tuam ke kawasan yang terjejas.

    Namun, jangan pula kalian letakkan pek ais terus ke kulit ya! Anda juga disarankan untuk mencuci kawasan yang terjejas dengan lembut menggunakan air garam.

    #4 Bawang putih untuk penyakit herpes

    Kajian yang lebih lama pula menunjukkan bawang putih mungkin mempunyai sifat yang dapat menurunkan aktiviti beberapa virus, termasuklah kedua-dua jenis HSV.

    Beberapa kajian menunjukkan, allicin, sebatian yang terkandung di dalam bawang putih, mungkin berkesan terhadap HSV.

    Namun, masih tidak ada bukti yang jelas untuk menunjukkan sama ada penggunaan bawang putih dapat mencegah, menyembuhkan, atau bahkan merawat penyakit herpes.

    Cara penggunaannya pula cukup versatil, anda boleh memakannya secara mentah atau mengambil kapsul bawang putih.

    #5 Gel

    Untuk herpes kemaluan pula, penggunaan jeli petroleum ke kawasan yang terjejas dikatakan dapat mengurangkan ketidakselesaan yang berkaitan dengan kencing.

    Jadi, penting untuk anda mencuci tangan sebelum dan selepas menggunakan jeli tersebut.

    #6 Makanan tambahan/suplemen

    penyakit herpes

    Kajian yang lebih lama menunjukkan suplemen-suplemen berikut mungkin berkesan untuk mengawal simptom herpes, seperti:

    • Zink
    • Lysine
    • Vitamin C
    • Lemon balm
    • Vitamin E
    • Adenosine monophosphate

    Menurut International Council on Amino Acid Science, pengambilan suplemen lysine bantu mencegah pembentukan cold sores. Namun, bukti ini berasal daripada sumber yang lama.

    Dalam tinjauan tahun 2017, para pakar mendapati dengan mengambil minimum 1 gram lysine setiap hari, berserta kombinasi diet rendah arginin, akan dapat bantu pesakit mengatasi gejala mereka.

    Perlu anda beringat untuk sentiasa berjumpa doktor sebelum mengambil sebarang suplemen. Ini kerana ia berisiko untuk berinteraksi dengan ubat lain atau memberikan kesan negatif.

    #7 Minyak pati untuk mengurangkan penyebaran penyakit herpes

    Penggunaan minyak pati yang tertentu dapat mengurangkan penyebaran virus di antara sel HSV-1.

    Antara jenis minyak pati yang boleh membantu merangkumi:

    penyakit herpes

    • Rosemary
    • Wormwood
    • Hinoki cypress
    • Garden thyme
    • Eucalyptus caesia
    • Tumbuhan berbunga yang digelar Zataria multiflora
    • Tumbuhan perubatan Tripterygium hypoglaucum
    • Sebatian dalam minyak cengkih dan minyak pati kayu manis dan selasih

    Selain penggunaan oral, anda juga boleh menggunakan minyak ke dalam diffuser, dalam air mandian, atau mencampurkannya dengan minyak pencair dan sapukan ke kawasan yang terjejas.

    Untuk makluman, penggunaan minyak pencair adalah mustahak kerana minyak tersebut boleh memicu kesan buruk jika anda menggunakannya secara langsung ke kulit.

    Minyak pencair, atau minyak pembawa, merangkumi minyak badam dan zaitun.

    Penyelidik juga telah menjalankan ujian klinikal untuk menguji remedi di rumah lain yang berpotensi, termasuk minyak bijan, kelapa organik, dan jojoba.

    Pun begitu, belum ada bukti yang mencukupi untuk membuktikan bahawa minyak tertentu dapat bantu seseorang menguruskan simptom penyakit herpes.

    Akhir kata

    Seperti yang telah dikupaskan, virus HSV-1 dan HSV-2 mengakibatkan herpes kemaluan dan mulut.

    Malangnya, pada masa ini masih tiada penawar untuk herpes, dan jangkitannya akan kekal dalam sistem badan pesakit.

    Namun usah khuatir kerana masih ada ubat yang dapat menurunkan frekuensi dan keparahan gejala.

    Terdapat juga beberapa remedi rumah yang mungkin dapat meredakan simptom seperti kompres, vitamin, dan minyak tertentu. Tambahan lagi, melakukan perubahan diet juga dapat membantu!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan