backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Semua Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penjagaan Mulut

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/09/2021

Semua Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penjagaan Mulut

Kebersihan oral merupakan satu perkara yang amat penting untuk kesihatan diri kita. Penjagaan mulut yang tidak rapi boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit yang merosakkan gigi dan gusi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit oral mempengaruhi hampir 3.5 juta orang di seluruh dunia.

Malah, kebanyakan penyakit oral juga berkongsi faktor risiko dengan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan juga diabetes.

Faktor risiko ini termasuklah amalan merokok, pengambilan minuman beralkohol dan juga diet tinggi gula.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika individu yang menghidap penyakit seperti kencing manis akan mendapat periodontitis (penyakit gusi) dalam masa yang sama.

Penjagaan mulut yang betul merupakan rahsia kepada senyuman yang menawan. Malah, kesihatan oral mungkin tidak akan mencapai tahap yang optimum tanpa teknik yang betul.

Berus gigi

Penggunaan berus gigi untuk kebersihan mulut

kebersihan oral

Ketika memilih berus gigi, ada beberapa ciri yang perlu anda perhatikan seperti saiz, tekstur berus dan juga jenis berus gigi, sama ada anda suka menggunakan berus gigi pakai buang ataupun jenis elektrik.

Disebabkan kita mempunyai pelbagai pilihan berus gigi di pasaran, sukar untuk kita memilih berus gigi yang terbaik. Malah, ada juga berus gigi premium yang dijual dengan harga yang mahal dan tidak masuk akal.

Sebagai panduan, anda boleh memilih berus gigi berdasarkan:

  1. Saiz. Berus gigi yang terbaik sepatutnya mempunyai saiz yang selesa untuk digunakan. Kadangkala, berus gigi yang mempunyai saiz yang terlalu besar tidak efektif kerana ia tidak dapat memberus seluruh permukaan gigi dengan baik.
  2. Jenis berus. Ramai orang yang suka menggunakan berus gigi yang mempunyai berus yang lembut kerana ia lebih selesa dan selamat. Walau bagaimanapun, elakkan berus gigi dengan berus yang kasar kerana ia boleh merosakkan enamel pada permukaan gigi.
  3. Jenis berus gigi. Jenis berus gigi pula bergantung kepada keselesaan dan bajet pengguna. Berus gigi elektrik boleh mencuci gigi dengan lebih efektif, namun ia lebih mahal dan akan meningkatkan penggunaan bil elektrik anda.

Ubat pencuci mulut

Kebersihan oral menggunakan ubat cuci mulut

kebersihan oral

Ubat cuci mulut atau mouthwash merupakan satu lagi produk penjagaan gigi yang popular dan digunakan dengan meluas. 

Walau bagaimanapun, ubat cuci mulut bukanlah pengganti kepada aktiviti memberus atau flos. Tetapi, ia amat berkesan untuk memecahkan plak dan membersihkan kawasan yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.

Namun, bilakah kita harus menggunakan ubat cuci mulut?

Menurut Mayo Clinic, anda digalakkan untuk menggunakan mouthwash selepas memberus gigi dan flos.

Walau bagaimanapun, NHS pula menasihatkan semua agar mengelakkan penggunaan ubat cuci mulut selepas memberus kerana ia mungkin akan membuatkan fluorida di dalam ubat gigi menjadi kurang berkesan.

Menurut American Dental Association (ADA) pula, penggunaan ubat cuci mulut boleh digunakan pada bila-bila masa mengikut keselesaan anda.

Sama seperti amalan memberus gigi, penggunaan ubat cuci mulut juga mempunyai caranya yang tersendiri. 

Jika anda ingin menggunakan ubat cuci mulut, pastikan anda mengikuti langkah berikut:

  1. Gunakan jumlah yang betul. Rujuk pada bahagian belakang produk untuk mengetahui jumlah penggunaan yang optimum.
  2. Berkumur dengan betul. Jangan berkumur sikit-sikit! Walaupun pedih, pastikan anda berkumur dengan kuat dan betul selama sekurang-kurangnya 30 saat.
  3. Ludahkan. Jangan sesekali telan ubat pencuci mulut. Fluorida di dalam ubat cuci mulut boleh menjadi toksik jika ia ditelan dalam jumlah yang banyak.
  4. Tunggu 30 minit sebelum makan. Elakkan makan dan minum selepas menggunakan ubat cuci mulut supaya kesan fluorida tidak hilang.

Bertemu pakar gigi

Bila saya perlu berjumpa dengan doktor gigi?

kebersihan oral

Untuk mengelakkan sebarang penyakit gigi dan mulut, pastikan anda berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Selain itu, lakukanlah janji temu bersama doktor gigi apabila anda mengalami simptom seperti:

  1. Gusi yang merah dan sakit.
  2. Gusi berdarah ketika memberus gigi atau ketika flos.
  3. Gigi kekal yang semakin longgar.
  4. Terlalu sensitif terhadap makanan yang panas atau sejuk.
  5. Bau mulut yang busuk.
  6. Sukar untuk mengunyah.

Ingatlah, penyakit gigi dan mulut lebih mudah untuk dirawat jika ia masih berada di peringkat awal. Elakkan menunda-nunda rawatan untuk memastikan kesihatan dan kebersihan oral anda sentiasa terjaga.

Kesimpulan

Penjagaan kesihatan mulut merupakan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika anda tahu caranya.

Selain menggosok gigi dan menggunakan ubat cuci mulut, ada juga beberapa langkah penjagaan lain yang mungkin berguna untuk memastikan mulut anda kekal sihat.

Sebagai contoh:

  1. Flos gigi setiap hari.
  2. Minum air dengan mencukupi.
  3. Makan makanan yang sihat.
  4. Tukar berus gigi 3 bulan sekali.
  5. Berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya 2 tahun sekali.

Penggunaan bahan semula jadi seperti soda penaik, teh hijau, vitamin D dan sebagainya mungkin dapat membantu membersihkan permukaan gigi.

Walau bagaimanapun, semua bahan ini perlu digunakan secara berhati-hati kerana boleh menyebabkan luka pada kawasan gusi.

Tetapi, tidak kiralah apa jua bahan yang anda gunakan untuk memastikan senyuman anda sentiasa menawan, ia bukanlah pengganti untuk aktiviti wajib seperti memberus gigi, flos dan juga berkumur dengan ubat cuci mulut.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/09/2021

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan