Anda mungkin menganggap anak tidur berdengkur itu satu isu biasa. Tetapi sebenarnya, ia tidak boleh dibiarkan kerana akan menjejaskan proses perkembangan. Kenapa?
Ini kerana tidur bagi seorang kanak-kanak yang berdengkur boleh terganggu, sekali gus memberi kesan negatif terhadap perkembangan mental dan fizikal.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengakibatkan mereka berasa kurang bertenaga. Kesan, ia boleh menjejaskan prestasi mereka di sekolah keesokan harinya.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, anda boleh klik di sini.
Bahaya berdengkur & gangguan proses perkembangan
Bagi sesetengah anak tidur berdengkur mungkin satu perkara biasa dan tidak menimbulkan sebarang kebimbangan.
Pun begitu, ada baiknya anda membawa mereka untuk mendapatkan pemeriksaan dengan pakar pediatrik dan doktor gigi.
Uiks, tidur berdengkur pun kena jumpa doktor gigi ke?
Mesti anda berasa pelik, bukan? Apa kaitannya berdengkur sampai perlu berjumpa doktor gigi. Berdasarkan statistik Sleep Education, 10-12% kanak-kanak berdengkur.
Keadaan tersebut dikaitkan dengan perkembangan lengkungan gigi yang rapat atau tidak normal, masalah apnea tidur, keletihan di siang hari dan kesukaran belajar serta isu gangguan defisit perhatian.
Risiko yang berkaitan dengan masalah ini
Risiko terbesar dengan masalah anak tidur berdengkur ini adalah otak si comel anda mungkin kekurangan oksigen yang optimum semasa tidur.
Mengetap gigi (teeth grinding) dan pernafasan melalui mulut, terutamanya jika dilakukan bersama berdengkur, adalah gejala yang menunjukkan kemungkinan wujud masalah dalam perkembangan oral (mulut) anak.
Proses perkembangan mulut ini melibatkan gigi, lidah, gusi, tisu lembut dan tulang muka yang menyokong saluran udara di atas hidung dan tekak.
Jika anak mempunyai gigi jongang atau rapat, mereka mungkin mempunyai tulang rahang yang lebih kecil ditambah pula dengan ukuran saluran udara mengecil dan sinus.
Adakalanya tabiat mengetap gigi itu adalah cara luar kawalan tubuh berusaha membuka saluran udara yang terhad untuk bernafas lebih baik semasa tidur.
Mengetap gigi selalunya melibatkan postur rahang bawah yang mengerakkan gigi lidah dan lantai otot mulut ke depan untuk meningkatkan dimensi saluran udara.
Sekiranya si manja anda tidur berdengkur, bergigi jongang atau sering mengetap gigi pada waktu malam, ia mungkin petanda bahawa wujudnya masalah apnea tidur.
Selain daripada menjejaskan proses perkembangan anak secara keseluruhan, masalah berdengkur dan mulut kering juga sering dikaitkan dengan tidur ternganga.
Ia juga boleh mengakibatkan masalah mulut seperti kerosakan gigi, halitosis (bau mulut), sindrom mulut terbakar dan penyakit gusi.
Impak anak tidur berdengkur
Berdengkur selalunya dianggap keadaan yang tidak berbahaya. Namun, jika dibiarkan tanpa rawatan, ia meletakkan anak pada potensi risiko kesan sampingan sepanjang hayat seperti berikut:
- Pertumbuhan terbantut
- Enuresis
- Penyakit kardiovaskular
- Obesiti
- Kekurangan aspek sosial
- Kelakuan yang negatif
- Gangguan hiperaktif kekurangan tumpuan (ADHD)
Cara merawat anak tidur berdengkur?
Seandainya anda melihat semua simptom di atas bersama masalah si kecil anda tidur berdengkur, bawalah mereka berjumpa dengan pakar pediatrik.
Ujian tidur oleh pakar pediatrik boleh menguji pernafasan yang mengganggu tidur.
Doktor mungkin akan menilai keadaan tonsil dan adenoid anak serta memberikan cadangan yang dirasakan perlu seperti menjalani penilaian dengan pakar ENT (telinga, hidung dan tekak).
Doktor gigi juga merupakan sumber terbaik untuk merujuk kepada pakar ortodontik.
Ini bagi membantu meningkatkan pernafasan hidung, membetulkan masalah jongang teruk dan rahang sempit yang dialami anak.
Penjagaan ortodontik pada waktu yang tepat dalam proses perkembangan anak sangat penting kerana pertumbuhan berkaitan tumbesaran kerangka dan pergigian dapat diubah secara meluas.
Ini kerana pada waktu ini anak sedang melalui fasa lonjakan pertumbuhan secara aktif.
[embed-health-tool-bmi]