Meluangkan masa bersama keluarga, walaupun kurang diberi perhatian, boleh mempengaruhi tahap kesihatan pasangan dan anak-anak secara menyeluruh.
Kemajuan teknologi maklumat yang memberi kesan kepada perubahan corak kehidupan manusia turut mengubah dinamik hubungan dalam sesebuah keluarga.
Menurut 1 kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan pekerja di Kanada, kejayaan dalam sesuatu pekerjaan itu dinilai pada aspek keseimbangan di antara kerja dan waktu peribadi.
Faktor tersebut dianggap lebih penting berbanding dengan gaji, cabaran di tempat kerja atau tanggungjawab yang dipikul secara profesional.
Dapatan kajian tersebut menekankan kepentinga hargai masa bersama keluarga walaupun sibuk menguruskan kerja harian.
Sempena Hari Keluarga Antarabangsa yang disambut setiap 15 Mei ini, kami kongsikan kepada anda 7 manfaat meluangkan masa bersama famili.
Baca artikel ini untuk mengetahui selanjutnya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.
#1 Memperkukuhkan hubungan antara ahli keluarga
Apa yang anda perlu sedar adalah kuantiti tidak akan menjamin keutuhan ikatan silaturrahim antara ahli keluarga.
Fokus utama perlu diberikan kepada kualiti masa bersama mereka.
Apabila bercakap mengenai kualiti, aktiviti bersama keluarga dapat menerapkan nilai moral kepada anak-anak yang sedang membesar.
Dalam aspek tersebut, cara berkomunikasi adalah kunci kepada ikatan kuat dalam institusi kekeluargaan.
Aktiviti seperti bermain board games, berkebun, bersiar-siar di luar dan memasak bersama-sama boleh merapatkan jurang komunikasi.
Apabila hubungan tersebut teguh, ia tidak akan putus dek badai yang melanda kelak.
#2 Belajar kemahiran keibubapaan dengan lebih efektif
Apabila anda meluangkan masa bersama keluarga, ia bukan sahaja baik untuk anak, malah untuk anda dan pasangan.
Kemahiran mendidik anak-anak tidak datang dengan sendirinya. Ia perlu kerap dilatih setiap hari bagi memastikan anda ‘biasa’ dengan norma kehidupan sebagai ibu dan bapa.
Kelak, anak anda akan mencontohi gaya didikan yang sama. Mereka akan menggunakan konsep yang sama untuk mendidik anak mereka.
Dalam institusi kekeluargaan, anak-anak, ibu dan bapa, kesemuanya dalam proses pembelajaran.
Perkara ini akan menjadi lebih mudah sekiranya anda banyak menghabiskan masa bersama dengan keluarga anda.
#3 Masalah tingkah laku anak akan berkurangan jika banyak meluangkan masa bersama keluarga
Jika anda sedar, kebanyakan masalah disiplin atau tingkah laku anak kebiasaannya dikaitkan dengan hubungan patologikal di antara ahli keluarga.
Perkara tersebut berlaku berikutan halangan komunikasi menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menyimpan masalah daripada meluahkannya.
Remaja yang banyak berkomunikasi dengan ibu bapa mereka sering dikaitkan dengan masalah tingkah laku yang rendah.
Ini merupakan salah satu kesan positif meluangkan masa bersama keluarga.
Anak anda boleh mempelajari, secara langsung atau tidak langsung, bagaimana cara untuk mengadu masalah.
Ibu bapa pula boleh belajar bagaimana untuk menasihati anak tanpa menghakimi perbuatan mereka.
#4 Kurangkan kecenderungan anak untuk guna bahan terlarang (dadah dan sebagainya)
Pelbagai jenis kajian menunjukkan remaja yang meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga mempunyai kebarangkalian rendah untuk terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.
Kebanyakan mereka yang menggunakan ‘kaedah alternatif’ tersebut cuba mencari jalan kepada rasa kecewa terhadap sesuatu perkara.
Dengan kata lain, itu merupakan shortcut kepada mereka untuk melupakan masalah walaupun dalam jangka masa yang pendek.
Apabila anda banyak meluangkan masa bersama anak, mereka akan sedar ada sistem sokongan yang jauh lebih efektif daripada dadah dan sebagainya.
Tambahan pula, remaja yang mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa lebih berhati-hati untuk tidak mengecewakan mereka.
#5 Individu yang meluangkan masa bersama keluarga lebih ceria
Apabila anda mempunyai tempat untuk mengadu, bergelak ketawa dan beraktiviti, anda akan berasa gembira.
Salah satu daripada kebaikan luangkan masa bersama keluarga adalah anda akan berasa lebih disayangi dan diperlukan.
Kedua-dua aspek ini penting bagi mencapai kebahagiaan dalam hidup.
Setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan suasana dalam sesuatu keluarga itu kekal ceria.
#6 Kemahiran menyelesaikan konflik keluarga meningkat
Pendidikan bermula dari rumah. Konflik kekeluargaan sememangnya tidak boleh dielakkan.
Walau bagaimanapun, kemahiran untuk menyelesaikannya boleh dipelajari.
Penting untuk anda tahu bagaimana cara untuk meluahkan emosi, membincangkan konflik dan mencapai penyelesaian yang betul.
Setiap konflik yang berlaku boleh membentuk karakter dan membina keperibadian seseorang individu itu.
Jika anda bermasam muka dengan salah seorang ahli keluarga, suka atau tidak, anda perlu menyelesaikannya.
Kemahiran untuk menyelesaikan konflik merupakan kesan positif jika anda banyak luangkan masa bersama keluarga.
Baca juga: