Tiada perkara lain yang lebih indah bagi pasangan suami isteri melainkan hubungan seks yang sihat dan sejahtera. Namun, bagaimana pula jika suami suka melancap dan tidak mengendahkan anda? Sudah pasti ia akan memberi kesan kepada kehidupan seksual anda berdua!
Adakah suami suka melancap itu normal?
Kebanyakan kita tentu sudah tahu bahawa perbuatan beronani itu adalah normal dilakukan bagi individu bujang. Namun, lain pula ceritanya jika sudah berkahwin!
Tidak dinafikan, ramai orang di muka bumi ini yang gemar melancap untuk memuaskan nafsu syahwat masing-masing. Pun begitu, adalah agak pelik dan janggal sekiranya ia dilakukan apabila sudah mempunyai pasangan yang sah.
Tanpa mengira lelaki atau wanita, beronani adalah satu perbuatan yang normal namun tidak bermoral dan berakhlak. Ya, ia mungkin datang dengan beberapa manfaat. Namun, ketahuilah bahawa terdapat banyak lagi kemudaratan jika melakukannya.
Dalam agama Islam, perbuatan ini adalah harus dilakukan bagi mereka yang belum berkahwin dan ingin mengelak zina. Namun, ia akan jadi haram jika dilakukan dengan menggunakan gambar lucah atau membayangkan seks bersama individu lain.
Jadi, untuk apa anda beronani jika sudah ada pasangan yang sah untuk menyalurkan keinginan seksual? Fikirkan semula kenyataan ini setiap kali anda terasa ingin melancap!
Apakah punca sebenar suami suka melancap?
Sebenarnya, perbuatan ini bukan hanya didalangi oleh keperluan fisiologi semata-mata malah turut berkait rapat dengan keinginan psikologi.
Maksudnya di sini adalah suami bukan sahaja akan beronani untuk memuaskan nafsu syahwatnya ketika isterinya tiada di sisi. Namun, mereka mungkin masih akan melakukannya apabila berada dekat dengan isterinya.
Ini kerana mereka mungkin sudah terbiasa melakukannya semasa zaman bujang dahulu. Menurut Dr. Fran Walfish yang merupakan seorang ahli psikoterapi, lelaki akan memilih untuk melancap kerana ia adalah jalan mudah untuk memuaskan keinginan seksual mereka.
Anda mungkin berminat:
- Adakah Kerap Melancap Punca Zakar Mengecil? Jaga-Jaga Dengan 4 Sebab Ini!
- Jika Anda Alami Ketagihan Melancap, Sila Baca 6 Tip Ini SEBELUM Terlambat!
Disebabkan itu, lelaki yang sudah berkahwin mungkin masih akan melakukannya sebagai alternatif sekiranya isterinya tidak mampu untuk merealisasikan fantasi seks yang sering diimpikannya. Namun, jelas sekali ia adalah tindakan yang salah.
Ini kerana suami suka melancap sambil membayangkan wanita yang lain selain isterinya. Hal ini sudah pasti akan membuat isteri berkecil hati dan berasa rendah diri ekoran beranggapan diri sudah tidak mengancam lagi di mata suami.
Jadi, berbincanglah dengan pasangan sekiranya anda mempunyai ketagihan beronani dan cuba cari jalan penyelesaiannya untuk menyelamatkan kehidupan seks anda berdua!
Ini mudarat yang akan berlaku jika suami suka melancap
Menurut Psychology Today, perbuatan beronani sudah pasti akan mendatangkan banyak mudarat terhadap kebahagiaan rumah tangga.
Ini kerana ia akan menjejaskan kehidupan seksual pasangan yang seterusnya mungkin boleh mengakibatkan masalah yang lebih besar seperti pergaduhan atau penceraian.
Anda dan pasangan sudah pasti tidak mahu itu berlaku bukan? Jadi, sila baca kesan negatif jika suami suka melancap yang berikut:
#1. Pasangan akan menyalahkan diri sendiri
Sebagai isteri, sudah pasti kita mahu setiap kemahuan dan keinginan suami dipenuhi dengan baik terutamanya dari aspek seksual.
Jadi, jika suami masih melakukan tabiat buruk ini walaupun anda berada di depan mata, ini akan menyebabkan anda sebagai isteri berasa serba salah. Mungkin akan timbul soalan di fikiran seperti “adakah aku sudah tidak menarik?“.
Kesannya, pasangan akan menyalahkan diri sendiri. Jadi, kepada suami yang gemar beronani, fikirkan perkara ini sebelum membuka seluar dan menyentuh alat sulit anda!
#2. Pasangan akan berasa tersisih dan seperti digantikan
Dalam pada itu, perbuatan buruk ini sudah pasti akan membuat pasangan anda berasa tersisih dan seperti digantikan.
Cuba anda bayangkan, isteri anda sudah bersiap dan berhias bagi menyemarakkan aktiviti anda pada malam Jumaat dan anda memilih untuk melancap dari menyentuh mereka? Sudah terang lagi bersuluh, ia adalah perbuatan yang salah!
Oleh itu, hargai pasangan anda. Jika anda masih mengalami ketagihan melancap, sila rujuk pakar psikologi atau kaunseling untuk membantu menyelesaikannya.
#3. Pasangan hilang kepercayaan
Jika ditanya pada mana-mana lelaki yang masih suka melancap walaupun sudah beristeri, sudah pasti mereka akan memilih untuk merahsiakannya. Jadi, mereka sudah pasti akan sentiasa menyorokkan ‘kecurangan’ mereka ini di belakang isteri.
Namun, cuba anda bayangkan jika suami anda tertangkap beronani di luar pengetahuan anda? Sudah pasti ini akan membuat pasangan hilang kepercayaan. Mereka akan berasa bahawa anda sudah tidak lagi mempercayai dirinya untuk berkongsi segala masalah yang dihadapi.
Jadi, jangan sesekali berahsia dengan pasangan jika anda masih gemar beronani walaupun sudah berkahwin. Berterus-teranglah kepada mereka agar kepercayaan itu masih wujud!
Namun, ia mungkin juga akan mendatangkan manfaat
Ya, ia adalah satu kenyataan yang sangat mengejutkan. Menurut Prevention Magazine, perbuatan suka melancap selepas berkahwin ini mampu mengurangkan stres dan memuaskan kehendak individu sekali gus mengharmonikan rumah tangga.
Selain itu, ia juga dikatakan sebagai salah satu teknik untuk membuat lelaki lambat pancut semasa melakukan seks! Jika difikirkan ia memang masuk akal.
Disebabkan itu, ramai isteri di luar sana yang tidak marah akan perbuatan suami mereka ini kerana beranggapan ia adalah untuk kebaikan mereka berdua juga.
Pun begitu, jangan sesekali anda sebagai suami menggunakan alasan suka melancap semata-mata kerana manfaat yang dinyatakan ini kepada isteri anda ya!
Konklusi
Kesimpulannya, ramai pasangan yang mengalami situasi di mana suami suka melancap walaupun selepas berkahwin. Ya, ia mungkin adalah perbuatan yang pelik tapi normal.
Namun, ketahuilah bahawa isteri anda juga punya hati dan perasaan yang mungkin akan terluka jika anda memilih untuk melancap berbanding menyentuh dirinya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.