backup og meta

Bahaya PTSD Sehingga Boleh Bunuh Diri! Ini Cara Kesan Risikonya Lebih Awal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/06/2021

    Bahaya PTSD Sehingga Boleh Bunuh Diri! Ini Cara Kesan Risikonya Lebih Awal

    Gangguan stres pasca trauma (PTSD) adalah penyakit mental yang boleh didiagnosis dalam kalangan individu selepas mengalami peristiwa trauma.

    Maksud trauma di sini adalah sebarang kejadian yang mengancam nyawa atau hampir meragut nyawa.

    Antaranya adalah:

  • Bencana alam seperti banjir, gempa bumi atau ribut taufan.
  • Kemalangan jalan raya.
  • Penderaan fizikal atau seksual.
  • Pertempuran ketenteraan.
  • PTSD lazim didiagnosis pada veteran tentera yang pulang daripada peperangan. 

    Sebagai contoh, ketika berlakunya peperangan di antara Vietnam dan Amerika Syarikat, pakar menganggar kira-kira 15% tentera mengalami PTSD.

    Jumlah tersebut mungkin lebih tinggi memandangkan penyakit mental dianggap tabu pada ketika itu dan penghidap tidak cenderung untuk mendapatkan pertolongan profesional.

    Apa yang anda perlu tahu berkaitan dengan masalah PTSD, tidak kiralah sama ada ia bersangkut-paut dengan peperangan atau penderaan, penghidap berisiko untuk membunuh diri!

    Dalam artikel ini, penulis akan membincangkan kaitan di antara PTSD dan bunuh diri. Teruskan membaca.

    PTSD dan kesannya terhadap kualiti hidup individu

    ptsd

    Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang pernah mengalami trauma selepas melalui peristiwa buruk di masa lampau.

    Namun, apa yang anda perlu tahu adalah intensiti dan tahap keterukan trauma yang dialami boleh jadi berbeza bagi setiap individu.

    Oleh sebab itulah kita tidak boleh menganggap tahap trauma yang dialami oleh setiap penghidap adalah sama.

    Lebih teruk lagi, ada yang sampai terfikir, ingin mencuba atau berjaya meragut nyawa mereka sendiri.

    Dalam tinjauan yang melibatkan 5,877 individu di Amerika Syarikat, subjek yang mengalami penderaan seksual atau fizikal mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membunuh diri.

    Sebagai contoh, terdapat kajian yang menunjukkan, dalam kalangan remaja perempuan yang telah didera seksual, 46% daripada mereka mempunyai idea untuk membunuh diri dalam tempoh 3 bulan.

    Begitu juga dengan mangsa rogol, kira-kira 22% individu tersebut cuba untuk meragut nyawa mereka.

    Situasi ini menunjukkan perhatian seharusnya diberikan kepada mereka yang menjadi mangsa kepada sesuatu peristiwa tragik.

    Pertolongan psikologi perlu dihulurkan bagi memastikan mereka memahami apa yang berlaku dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

    Simptom dan diagnosis bagi masalah PTSD

    ptsd

    Bukan mudah untuk mengesan masalah PTSD dalam kalangan penghidap. 

    Jika anda menyedari akan perubahan karakter pada mereka yang baru sahaja mengalami peristiwa tragik, galakkan mereka untuk berjumpa dengan doktor untuk tindakan selanjutnya.

    Secara amnya, simptom PTSD terbahagi kepada 4 kumpulan.

    Memori buruk menceroboh masuk (Intrusi)

    • Teringat kembali akan peristiwa yang membuatkan anda berasa trauma. Ia akan berulang berkali-kali
    • Memori samar-samar berkaitan dengan trauma yang baru dialami
    • Mimpi buruk berkenaan dengan trauma tersebut
    • Tekanan emosi/fizikal apabila anda teringat akan peristiwa tersebut

    Penghindaran

  • Anda menghindari individu, tempat atau keadaan yang menyerupai peristiwa trauma yang telah dilalui
  • Reaktif dan terlalu responsif

    • Sukar untuk menumpukan perhatian
    • Senang terperanjat dan mempunyai tindak balas yang melampau apabila terkejut
    • Rasa seakan-akan telur di hujung tanduk
    • Iritabel/mudah marah
    • Mengamuk

    Mood dan fungsi kognitif

    • Tanggapan negatif terhadap diri sendiri
    • Sering berasa bersalah, bimbang atau mudah menyalahkan orang lain
    • Sukar untuk mengingati saat penting dalam peristiwa trauma tersebut
    • Tidak berminat dengan aktiviti yang kebiasaannya diminati oleh penghidap

    Walaupun simptom mereka yang mengalami PTSD boleh ditunjukkan seperti apa yang diterangkan di atas, namun terdapat kes di mana mereka mengalami gejala masalah mental lain.

    Sebagai contoh, pesakit PTSD boleh mengalami gejala murung atau serangan panik apabila mereka berada dalam situasi trauma.

    Beza simptom PTSD antara lelaki dan wanita

    penyakit mental

    Menurut Persatuan Psikiatri Amerika (APA), wanita mempunyai risiko dua kali ganda untuk didiagnosis dengan masalah PTSD selepas melalui peristiwa tragik.

    Lelaki dan wanita menunjukkan simptom yang berbeza apabila ia berkaitan dengan masalah PTSD.

    Wanita lebih menunjukkan gejala seperti:

    1. Resah dan murung.
    2. Rasa seperti tiada perasaan.
    3. Mudah tersentak jika terkejut.
    4. Sensitif kepada perkara yang boleh mengingatkannya semula kepada peristiwa trauma.

    Apa yang lebih teruk lagi adalah wanita kebiasaannya mengalami trauma pada durasi yang lebih lama (purata 4 tahun) berbanding lelaki (purata 1 tahun).

    Jika dilihat pada simptom yang boleh dialami oleh lelaki, presentasi mereka lebih klasikal.

    Ini bermakna, mereka kebiasaannya menunjukkan hampir kesemua simptom yang tersenarai di atas.

    Namun, setiap individu boleh mengalami gejala yang berbeza bergantung kepada jenis trauma yang dilaluinya.

    Konklusi

    Jika penyakit mental trauma PTSD tidak dirawat, implikasinya kepada kualiti hidup seseorang boleh mengancam nyawa.

    Kajian menunjukkan, mereka yang menghidap masalah kesihatan ini berisiko untuk mempunyai idea, mencuba atau berjaya meragut nyawa mereka sendiri.

    Oleh itu, jika anda mengenali sesiapa yang sukar untuk beradaptasi selepas melalui trauma tragik atau mereka menunjukkan sebarang simptom seperti yang tersenarai di atas, galakkan mereka untuk mendapatkan bantuan profesional.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan