“Eeee, kenapa ada gambar penyakit tangan berlubang di Facebook ni! Gelinya!“
Kenapa manusia rasa takut dengan permukaan yang berlubang-lubang ya? Adakah ia disebabkan pola atau corak berlubang yang menggelikan, atau ada sebab lain yang boleh dijelaskan secara saintifik?
Jika anda rasa geli atau takut terhadap corak ini, jangan risau. Ramai yang alami masalah yang sama! Jom ketahui lebih lanjut mengenai penyakit yang juga dikenali sebagai trypophobia ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.
Kenapa ada orang takut dengan tangan berlubang?
Pernahkah anda dengar mengenai trypophobia? Ia merupakan satu fobia yang membuatkan seseorang itu rasa takut atau geli apabila melihat lubang-lubang yang rapat.
Nama ini berasal daripada perkataan Greek ‘trypa’ yang bermaksud lubang dan ‘phobia’ yang bermaksud ketakutan.
Individu yang mempunyai trypophobia selalunya akan rasa takut, mual, tidak selesa dan stres ketika melihat gambar atau permukaan yang mempunyai lubang-lubang kecil.
Walau bagaimanapun, fobia ini bukanlah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya.
Sebagai contoh, mungkin ada antara kita yang rasa geli apabila melihat lubang pada bunga matahari, sarang lebah atau bunga teratai.
Kadangkala, ada juga yang ‘meremang bulu roma’ apabila melihat lubang pada permukaan roti atau keju!
Kajian menunjukkan, hampir 17% kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai ketakutan terhadap permukaan yang berlubang. Trypophobia merupakan satu kondisi yang baharu. Ia pertama kali dinamakan pada tahun 2005.
Baca juga:
- Si Kecil Takut Dengan Belon? Jangan Biarkan Nanti Sampai Ke Besar Fobia, Ini Cara Atasinya!
- Klaustrofobia: Ketakutan Berada Di Ruang Kecil Tertutup
Apakah punca trypophobia?
Sehingga hari ini, pakar masih tidak pasti apakah yang menyebabkan orang menjadi takut atau geli dengan permukaan yang berlubang.
Walau bagaimanapun, pakar berpendapat otak manusia akan mentafsir permukaan berlubang ini sebagai satu bentuk bahaya.
Sebagai contoh, permukaan labah-labah yang beracun mempunyai lubang-lubang kecil. Jadi, kita akan rasa geli dan takut untuk menyentuhnya.
Sama jugalah apabila seseorang itu mempunyai penyakit kulit yang menyebabkan tangan berlubang. Pesakit akan rasa takut dan terus berjumpa doktor untuk rawatan.
Namun, ada satu lagi teori yang menjelaskan ketakutan ini. Otak manusia perlu menggunakan lebih banyak tenaga dan oksigen untuk memproses pola atau corak yang berlubang.
Oleh sebab itu, kita akan rasa lebih penat dan stres ketika melihat gambar-gambar yang mempunyai unsur trypophobia.
Tanda anda rasa takut kepada tangan berlubang
Kaum wanita didapati lebih sensitif terhadap trypophobia berbanding lelaki.
Anda juga akan lebih mudah rasa takut sekiranya mengalami:
- Kegelisahan (anxiety).
- Depresi.
- Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
Antara simptom trypophobia ialah:
- Mengigil.
- Mulut rasa kering.
- Pernafasan menjadi laju.
- Rasa geli atau takut.
- Muka menjadi pucat.
- Badan berpeluh-peluh.
- Loya.
- Tangan menggeletar.
Semua simptom yang disenaraikan di atas merupakan tindak balas sebenar oleh individu yang menghidap trypophobia.
Oleh sebab itu, jangan sesekali post gambar tangan berlubang atau apa-apa gambar lain yang boleh mencetuskan fobia ini sewenang-wenangnya di laman sosial anda!
Bolehkah kondisi ini dirawat?
Buat masa sekarang, masih belum ada rawatan untuk merawat trypophobia. Kebanyakan orang akan rasa geli apabila melihat pola atau corak yang berlubang-lubang. Namun, sebahagian besar tidak memerlukan sebarang rawatan.
Walau bagaimanapun, jika ketakutan ini menghalang anda daripada menjalani aktiviti harian, anda mungkin perlu menjalani terapi.
Jika anda rasa takut dengan gambar ‘berlubang’ ini, ada terapi yang juga dikenali sebagai psychotherapy yang dapat membuatkan anda mengatasi ketakutan ini.
Sewaktu terapi dijalankan, pesakit akan didedahkan dengan:
- Cara pernafasan yang betul sebelum dan semasa mengalami serangan trypophobia.
- Pakar akan menunjukkan beberapa gambar atau video yang boleh mencetuskan trypophobia anda untuk membantu pesakit mengawal keadaan.
- Lama-kelamaan, doktor akan meningkatkan pendedahan sehingga pesakit mampu memegang objek yang berlubang, contohnya span.
Doktor juga mungkin akan melakukan terapi tingkah laku kognitif (CBT) untuk membantu anda mengatasi ketakutan ini.