backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

6 Jenis Penyakit Kulit Ini Antara Yang Paling Mudah Berjangkit, Jaga-jaga!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/06/2023

6 Jenis Penyakit Kulit Ini Antara Yang Paling Mudah Berjangkit, Jaga-jaga!

Pernahkah anda mengalami jenis gatal kulit yang berpanjangan tanpa anda ketahui apakah puncanya? Ini kami senaraikan beberapa jenis gatal pada kulit yang mungkin anda sedang alami. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

Penyakit kulit gatal

Penyakit kulit gatal merupakan jenis penyakit yang menyerang sel kulit dan menyebabkan gejala-gejala seperti kemerahan, gatal-gatal dan juga bengkak.

Penyakit kulit gatal tidak hanya berlaku pada permukaan kulit badan, tetapi juga pada bahagian celah anggota badan dan juga kulit kepala.

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis gatal kulit yang boleh berlaku iaitu jenis yang berjangkit dan yang tidak berjangkit.

Kami akan fokuskan kepada jenis penyakit kulit berjangkit dalam artikel ini. 

Jenis gatal kulit yang berjangkit

Penyakit kulit yang berjangkit merupakan penyakit yang mudah berpindah daripada satu individu kepada individu yang lain.

Ia biasanya berpunca daripada jangkitan bakteria, virus atau kulat. Antara jenis gatal pada kulit yang berjangkit ialah:

#1. Bisul 

jenis gatal kulit

Bisul merupakan sejenis jangkitan kulit yang terjadi apabila folikel rambut atau kelenjar minyak dijangkiti.

Ia biasanya dijangkiti oleh bakteria Staphylococcus aureus yang biasa menjadi punca bisul.

Antara tanda dan gejala anda mendapat bisul ialah kewujudan benjolan merah yang agak keras dan juga sakit.

Selain itu, benjolan tersebut juga mungkin akan menjadi lebih sakit dan lembut dari semasa ke semasa.

Benjolan juga akan mengeluarkan nanah apabila telah bertukar warna kepada kuning atau putih. 

#2. Kurap

Jenis gatal kulit ini terjadi disebabkan jangkitan kulat trichophyton, microsporum, dan epidermophyton yang menyerang permukaan kulit anda.

Antara tanda utama anda dijangkiti kurap ialah kemunculan ruam merah yang gatal dan berbentuk seperti gegelang atau cincin.

jenis gatal kulit

Ia mungkin akan tumbuh dengan jumlah yang sedikit pada permulaannya, namun akan bertambah besar dan lebih banyak pada kawasan tubuh yang lain.

Kurap terbahagi kepada beberapa jenis seperti kurap kaki, tangan, leher, kulit kepala, lengan, alat kelamin, kuku dan juga muka. 

Jenis gatal kulit #3. Cacar air atau cengkering

Cacar air atau cengkering pula merupakan jenis gatal kulit yang disebabkan oleh virus Varicella zoster.

Jenis penyakit kulit ini sangat mudah untuk berjangkit terutamanya bagi mereka yang belum pernah dijangkiti oleh cacar air sebelum ini.

Mereka yang tidak pernah mendapat vaksin cacar air juga amat mudah untuk dijangkiti penyakit kulit ini.

Walaupun lebih mudah berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun orang dewasa juga boleh mengalaminya.

Antara simptom awal sebelum anda mengalami cacar air ialah demam, sakit kepala, dan juga ruam yang berasa gatal.

Setelah ruam kulit muncul, anda akan mendapati kemunculan benjolan merah kecil yang mudah pecah.

Selain itu, terdapat juga kelepuhan kulit berisi cecair yang juga mudah pecah.

Setelah satu tempoh masa, benjolan dan kelepuhan ini akan menyebabkan keruping yang berwarna hitam pada kulit anda. 

#4. Impetigo 

Impetigo merupakan sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Staphylococcus aureus atau Streptococcus pyogenes pada lapisan luar kulit (epidermis).

Penyakit ini lebih mudah berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 2 hingga 5 tahun.

Antara tanda utama bagi penyakit impetigo ialah bintik-bintik kemerahan yang berlaku di sekitar hidung dan juga bibir.

Selain itu, terdapat juga luka lepuh yang berisi air dan mudah pecah. Luka yang yang dialami juga akan terasa gatal dan sakit.

Seseorang yang dijangkiti impetigo akan turut mengalami demam dan pembengkakan kelenjar tonsil pada leher. 

Jenis gatal kulit #5. Kudis buta

jenis gatal kulit

Jenis gatal pada kulit ini pula ada kalanya disebut sebagai scabies. Ia berpunca daripada gigitan tungau yang dikenali sebagai sarcoptes scabiei.

Bagi individu yang pernah mengalami kudis buta, jangkitan hanya akan berlaku dalam tempoh 1 hingga 4 hari sahaja.

Namun, bagi mereka yang belum pernah dijangkiti, gejala akan mula muncul dalam tempoh 2 hingga 6 minggu setelah dijangkiti.

Antara tanda atau simptom jangkitan kudis buta ialah kewujudan ruam merah terutama pada kawasan kulit yang berlipat seperti pada celah lengan dan kaki.

Selain itu, anda juga akan mengalami kegatalan yang akan menjadi semakin teruk pada waktu malam.

Keruping kudis juga akan menjadi lebih tebal jika tungau menjadi lebih banyak. 

#6. Kutil atau ketuat

Kutil yang juga dikenali sebagai ketuat, merupakan penyakit kulit yang berpunca daripada sejenis virus iaitu virus Human papillomavirus (HPV).

Virus ini menjangkiti lapisan luar kulit dan membuatkan kulit menjadi sedikit benjol.

Antara tanda yang berlaku sekiranya anda dijangkiti ketuat ialah kemunculan kutil di sekitar kuku, tapak tangan dan juga jari tangan.

Kutil yang dialami juga mempunyai bintik-bintik berwarna hitam.

Benjolan ketuat juga terasa lebih kasar berbanding permukaan kulit lain apabila disentuh. 

Kesimpulan

Enam jenis penyakit kulit ini merupakan antara jenis penyakit kulit berjangkit yang paling biasa berlaku.

Sekiranya anda mendapati sebarang simptom jangkitan seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Anda boleh merawat penyakit kulit yang dialami lebih awal dan mengurangkan ketidakselesaan yang dialami. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/06/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan