backup og meta

Sentuhan Kulit Ke Kulit Ibu & Bayi, Buat Dalam 10 Minit Sejurus Bersalin, Ini 7 Manfaatnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    Sentuhan Kulit Ke Kulit Ibu & Bayi, Buat Dalam 10 Minit Sejurus Bersalin, Ini 7 Manfaatnya!

    Dewasa kini, terdapat banyak kajian yang mendedahkan manfaat penjagaan kangaroo selepas kelahiran mampu membantu ibu bapa dan bayi dalam pelbagai cara.

    Penjagaan ini sangat dititikberatkan dalam penjagaan bayi dan telah diadaptasi oleh banyak hospital di negara kita.

    Manfaat penjagaan kangaroo selepas kelahiran terhadap ibu dan anak telah banyak disokong oleh kajian kini. Marilah kita kupas mengenainya dalam artikel ini.

    Berbezakah sentuhan kulit ke kulit (SSC) daripada penjagaan kangaroo?

    Sentuhan kulit ke kulit (SSC) juga dikenali penjagaan kangaroo bermaksud bayi yang baru dilahirkan haruslah diletakkan dalam keadaan telanjang di dada ibu tidak lama selepas lahir.

    Terdapat 2 jenis sentuhan kulit ke kulit iaitu segera dan awal. SSC segera merujuk dalam lingkungan 10 minit selepas kelahiran, dan SSC awal ialah antara 10 minit hingga 24 jam selepas kelahiran.

    Kebaikan penjagaan kangaroo dari sudut saintifik

    penjagaan kangaroo

    Membantu penyusuan badan

    Kajian telah menyokong penjagaan kangaroo kerana ia mampu mendorong penyusuan badan.

    Ia mendedahkan bahawa bayi yang mendapat SSC selepas kelahiran menyusu 60 hari lebih lama berbanding tanpa penjagaan tersebut.

    Selain itu, terbukti juga bayi yang mendapat penjagaan ini senang untuk disusukan pada kali pertama penyusuan.

    Membantu penghasilan susu ibu

    Tidak dinafikan lagi, salah satu manfaat penjagaan kangaroo antara ibu dan bayi ialah ia mampu membantu ibu untuk menghasikan lebih banyak susu badan.

    Dr Malika D. Shah, seorang pembantu profesor Jabatan Pediatrik dan Neonatologi Northwestern University Feinberg School of Medicine menjelaskan, penemuan ini disebabkan oleh keseimbangan horman laktasi semasa interaksi antara ibu dan bayi.

    Pengadaptasian suhu badan bayi yang lebih baik

    Semasa dalam kandungan, suhu badan bayi dikawal oleh ibu sepenuhnya. Oleh itu, selepas lahir, bayi mengambil masa untuk mengadaptasi dengan suhu sekeliling.

    Kajian daripada Cedarville University membuktikan bahawa kebaikan SSC antara ibu atau bapa dan bayi ialah bayi mampu menyesuaikan diri dengan suhu sekeliling lebih cepat berbanding bayi di bawah inkubator.

    Ia boleh dipraktikkan dengan mendukung atau mendakap bayi anda untuk memastikan suhu badannya terjaga.

    Peningkatan fungsi jantung dan paru-paru bayi

    penjagaan kangaroo

    Semasa kelahiran, bayi melalui peralihan yang dramatik kerana buat pertama kalinya mereka akan bernafas dengan sendiri (baby’s first breath).

    Bayi yang mendapat sentuhan kulit ke kulit cenderung untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dengan lebih cepat berbanding dengan bayi yang tidak mendapat penjagaan tersebut.

    Kajian mendedahkan salah satu manfaat penjagaan SSC ialah bayi mempunyai kadar jantung dan pernafasan yang lebih normal dan stabil berbanding bayi di bawah inkubator.

    Penjagaan kangaroo membantu bayi tidur lena

    Salah satu manfaat SSC ialah ia mampu membantu bayi mendapat tidur yang lebih nyenyak.

    Hal ini kerana bayi anda tidak akan mudah untuk menangis atau rasa tertekan ketika berada dekat dengan anda.

    Semasa dalam tempoh kelahiran, kebanyakan bayi berhenti menangis setelah ditemukan dengan ibu mereka.

    Kebanyakan hospital kini membenarkan bayi untuk berada dalam bilik yang sama dengan ibu untuk menggalakkan penjagaan kangaroo yang lebih kerap.

    Membantu para ibu mengelakkan kemurungan selepas kelahiran

    Memetik kajian daripada The American Journal of Maternal/Child Nursing (MCN), penjagaan kangaroo antara ibu dan bayi mampu membebaskan hormon oksitosin dalam kadar yang tinggi.

    Hormon ini bertanggungjawab untuk mengurangkan kegelisahan ibu selepas melahirkan anak dan merapatkan hubungan antara ibu dan dan anak.

    Hal ini selanjutnya akan mengurangkan kadar kemurungan bagi ibu tersebut.

    Meningkatkan perkembangan mental bayi

    Sebuah pusat kajian di Kanada mendedahkan bahawa bayi yang menerima sentuhan kulit ke kulit ternyata mempunyai fungsi otak yang lebih berkembang berbanding bayi yang tidak menerima penjagaan yang sama.

    Manfaat ini akan terus bersama dengan pertumbuhan bayi tersebut sehingga remaja.

    Mulakanlah penjagaan kangaroo untuk si comel dan anda

    Tips penjagaan mudah bagi anda:

    1. Pastikan ibu atau bapa duduk di ruangan privasi yang selesa.
    2. Letakkan bayi yang berlampin sahaja di dada anda sekurang-kurangnya 20 minit.

    Jikalau bayi menyusu badan, maka serahkanlah bayi kepada bapa selepas susuan.

    Penjagaan SSC bukan sahaja bermanfaat untuk bayi malah ibu bapa juga. Sebaik-baiknya, SSC dilatih dari awal kelahiran lagi sehingga bayi sedia untuk meneroka persekitaran baru dengan sendirinya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan