
Tidak mudah untuk mencari pengasuh yang boleh menjaga bayi anda dengan baik. Tiada ibu bapa yang mahu menyerahkan anaknya kepada sebarangan pengasuh. Justeru, usaha mencari pengasuh yang berkelayakan memerlukan sedikit masa dan usaha anda supaya anda dapat memastikan si manja anda berada pada tangan orang yang betul. Antara kriteria yang perlu dalam memilih pengasuh bayi sudah tentulah mereka yang berpengalaman dalam menjaga bayi.
Biarpun anda sudah memilih pengasuh yang layak menjaga bayi anda, namun anda tidak boleh lepas tangan. Sebanyak mana pun kepercayaan anda kepada pengasuh atau nurseri tersebut, anda masih perlu memantau keselamatan anak dengan cara memeriksa tubuh dan bertanyakan anak anda tentang aktivitinya pada hari tersebut. Jika anak anda masih bayi dan belum boleh bercakap, periksalah tubuhnya setiap hari pada setiap kali anda mengambilnya dari rumah pengasuh atau nurseri. Jangan teragak-agak untuk bertindak jika pengasuh anak anda berkelakuan seperti di bawah:
- Memberikan penjelasan yang tidak meyakinkan tentang kesan lebam atau kecederaan yang bayi anda alami.
- Tiada penjelasan pada lebam atau kecederaan pada tubuh bayi anda.
- Mengadu anak anda berkelakuan negatif, tidak sama dengan kelakuan yang bayi anda tunjukkan jika bersama anda.
- Kerap meremehkan anak anda.
- Kelihatan tidak acuh pada bayi anda.
- Bersikap tidak peduli atau tertekan.
- Ada mengambil dadah atau alkohol.
- Mula berkelakuan tidak rasional.
- Bersikap berahsia ataupun memencilkan diri daripada jiran-jiran.
- Kelihatan berlebihan dalam mendisiplinkan kanak-kanak. (Penderaan selalunya disebabkan oleh sikap berlebihan dalam mendisiplinkan kanak-kanak.)
Apa ibu bapa perlu buat jika anak disyaki didera oleh pengasuh?
Jika pengasuh anda menunjukkan tingkah laku seperti yang dinyatakan di atas, lakukan cara-cara ini:
- Lakukan pemeriksaan seperti kedatangan mengejut di rumah pengasuh anda untuk melihat cara dia melayan bayi anda.
- Jauhkan bayi anda daripada suspek.
- Selain itu, anda boleh juga bertanyakan kepada jiran-jirannya bagi mengetahui jika mereka ada mengesyaki sesuatu perkara berlaku pada bayi anda.
- Jika tanggapan anda benar, jangan berlengah untuk mengambil tindakan. Bawa bayi anda ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor yang memeriksa bayi anda akan menulis laporan jika terdapat unsur penderaan pada bayi.
- Segera laporkan pada pihak yang bertanggungjawab.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.