backup og meta

Bunuh Diri, Mengapa Ramai Pilih Mercu Tanda Ikonik Seperti Jambatan Pulau Pinang?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    Bunuh Diri, Mengapa Ramai Pilih Mercu Tanda Ikonik Seperti Jambatan Pulau Pinang?

    Terjun bangunan untuk membunuh diri bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, kebelakangan ini, kita dapat lihat peningkatan kes bunuh diri terutamanya dengan cara terjun Jambatan Pulau Pinang.

    Perbuatan terjun bangunan atau melompat dari tempat yang lebih tinggi untuk membunuh diri merupakan satu perbuatan yang sangat peribadi. Individu yang terkesan pasti berada dalam tekanan perasaan yang tidak tertanggung lagi.

    Tidak ada sesiapa yang faham mengenai penderitaan yang ditanggung dan mungkin mereka juga sudah tidak sanggup lagi menjalani hari-hari yang mendatang.

    Sebab itulah, ada yang memilih untuk mengakhiri semuanya dengan cara melompat – satu cara bunuh diri yang paling cepat, nekad namun menimbulkan kesan yang sangat besar pada keluarga dan orang awam.

    Baru-baru ini, pasti ramai yang telah membaca berita di media sosial masing-masing mengenai peningkatan kes bunuh diri, terutamanya di Jambatan Pulau Pinang. Dari bulan Januari hingga Mei tahun ini, 15 kes bunuh diri dengan cara terjun Jambatan Pulau Pinang telah dicatatkan.

    Hampir 85% individu yang melompat dari tempat tinggi akan meninggal dunia. Bukan itu sahaja, tindakan ini juga mempunyai potensi untuk menyebabkan trauma kepada ahli keluarga atau orang awam yang kebetulan lalu-lalang.

    Mereka yang bunuh diri dengan cara terjun bangunan tinggi selalunya mempunyai sejarah penyakit mental yang teruk. Malah, mereka mungkin tidak mendapatkan bantuan atau rawatan yang secukupnya untuk merawat kondisi yang dialami.

    Sebagai orang biasa yang mungkin tidak faham cabaran yang pesakit alami, mari selami jiwa mereka dengan lebih mendalam.

    Ketahui mengapa ramai yang pilih cara terjun bangunan atau jambatan untuk membunuh diri.

    Mengapa pilih untuk terjun Jambatan Pulau Pinang?

    terjun bangunan

    Mengapa ramai yang pilih untuk terjun bangunan atau terjun Jambatan Pulau Pinang?

    Tahukah anda, ‘hotspot’ seperti sebarang mercu tanda atau bangunan ikonik sudah lama menjadi magnet bunuh diri. Tempat ini terbuka kepada awam dan boleh dimasuki pada bila-bila masa.

    Bukan itu sahaja, sebarang kejadian terjun bangunan yang dilaporkan pasti akan mendapat liputan media. Namun, mereka yang ingin membunuh diri selalunya memilih tempat ini kerana ketinggiannya. Dengan satu cubaan sahaja, mereka boleh mengakhiri hidup mereka.

    Jambatan Golden Bridge, Menara Eiffel dan Air Terjun Niagara merupakan antara tempat yang popular untuk membunuh diri. Sehingga kini, dicatatkan ada lebih 1,600 kes bunuh diri yang pernah berlaku di Jambatan Golden Bridge.

    Menurut Adam Kaplin, Profesor Psikiatri di Johns Hopkins Medical Institute, mereka yang ingin membunuh diri lebih takut mengalami kecacatan kekal yang akan membuatkan situasi mereka bertambah buruk.

    Jadi, mereka mencari jalan pantas yang bagi mereka tidak menyakitkan untuk membunuh diri.

    Malah, disebabkan Jambatan Golden Bridge lebih tinggi dan menjadi perhatian umum, kajian menunjukkan lebih banyak kes bunuh diri dicatatkan di situ berbanding sebuah lagi jambatan berdekatan yang kurang ikonik.

    Baca juga:

    Terjun bangunan – Rasa terdesak ingin keluar daripada belenggu emosi

    terjun bangunan

    Berdasarkan kajian, mereka yang bertindak membunuh diri dengan cara terjun bangunan selalunya mempunyai 2 sebab psikologikal.

    Salah satunya ialah mereka menganggap diri menjadi beban kepada orang lain. Selalunya, mereka yang berada dalam keadaan ini beranggapan bahawa mati adalah solusi terbaik untuk ‘membebaskan’ ahli keluarga atau orang yang mereka sayang daripada kesusahan.

    Di sini, perkataan ‘beranggapan’ digunakan kerana selalunya individu yang ingin bunuh diri mempunyai fikiran yang terganggu. Malah, mereka juga berkemungkinan menghidap depresi atau penyakit mental lain yang mengaburi fikiran mereka.

    Kondisi ini akan menjadi semakin teruk jika pesakit sunyi, dalam kesedihan yang melampau atau hidup seorang diri.

    Faktor kedua ialah kesunyian. Kebanyakan mereka yang membunuh diri selalunya rasa terasing dengan masyarakat. Sebagai manusia, kita inginkan hubungan yang bermakna dengan orang lain. Ada juga yang inginkan kawan yang ramai. Tanpanya, mereka akan rasa sunyi dan tidak diperlukan.

    Apabila seseorang itu kehilangan orang yang tersayang disebabkan kematian, penceraian, perpisahan atau konflik tertentu, stres yang dialami boleh menimbulkan perasaan ingin mati.

    Selalunya, individu yang mengalami masalah ini akan berubah sedikit demi sedikit. Pada awalnya mereka mungkin akan menyendiri, kemudiannya mereka enggan berhubung dengan ahli keluarga atau kawan-kawan.

    Cara membantu mereka yang ingin membunuh diri

    terjun bangunan

    1. Dapatkan bantuan profesional. Cuba lakukan sedaya upaya untuk bawa mereka berjumpa doktor. Galakkan mereka untuk mendapatkan khidmat pakar secepat mungkin.
    2. Kekal konsisten dengan rawatan. Jika doktor bekalkan anda, ahli keluarga atau sahabat anda dengan ubat-ubatan, pastikan mereka mengambilnya mengikut jadual. Sama jugalah jika anda perlu menjalani terapi atau kaunseling.
    3. Kekal proaktif. Mereka yang ingin membunuh diri selalunya tidak percaya diri mereka boleh dibantu. Mereka juga sering rasa hampa dan tidak nampak jalan keluar. Oleh sebab itu, yakinkan mereka dan sentiasa berada di sisi mereka.
    4. Galakkan mereka untuk menjalani gaya hidup sihat. Amalkan gaya hidup sihat, tidur dengan cukup dan lakukan senaman. Senaman sangat penting, kerana ia boleh melepaskan endorphin yang dapat melegakan stres.
    5. Buat pelan keselamatan. Bantu kawan atau ahli keluarga anda membuat pelan keselamatan sekiranya mereka terfikir untuk membunuh diri. Masukkan nombor doktor atau ahli terapi serta kawan-kawan yang dapat membantu semasa kecemasan.

    Bagi mereka yang mengalami masalah atau masalah kesihatan mental, boleh hubungi Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929). Dapatkan bantuan daripada doktor secepat mungkin terutamanya jika anda ada terlintas untuk membunuh diri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan