backup og meta

Awas, Penggemar Sukan Angkat Berat! Anda Berisiko Alami Penyakit Mata Ini, Boleh Buta Tau!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    Awas, Penggemar Sukan Angkat Berat! Anda Berisiko Alami Penyakit Mata Ini, Boleh Buta Tau!

    Kesedaran untuk kekal aktif semakin berkembang dan gim-gim juga semakin diminati ramai. Akan tetapi, benarkah aktiviti angkat berat mampu sebabkan penyakit mata glaukoma?

    Dengan trend hidup sihat sekarang, aktiviti angkat berat juga sering diketengahkan baik bagi lelaki mahupun wanita.

    Tetapi, benarkah ura-ura mengatakan aktiviti ini mampu mencetuskan penyakit glaukoma? Teruskan membaca ya!

    Apa itu penyakit mata glaukoma?

    Glaukoma merupakan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Saraf optik merupakan laluan yang membawa imej yang dilihat ke otak.

    Sekiranya tidak dirawat, ia boleh merosakkan saraf optik secara perlahan-lahan sehingga mengakibatkan kebutaan yang kekal.

    Mata yang sihat mengedarkan cairan ini di antara mata dan aliran darah, tetapi seseorang yang menderita glaukoma berisiko mengalami tekanan pada saraf optik kerana cairan ini tidak dapat mengalir dengan baik.

    Hasilnya, jika ia tidak dikenal pasti, dapat menyebabkan kehilangan penglihatan, bahkan kebutaan kerana kerosakan di serat saraf.

    Selain itu, hubungan genetik turut memainkan peranan dengan penyakit ini, yang bermaksud lebih berkemungkinan orang yang mempunyai sejarah glaukoma dalam keluarga mereka akan mewarisi kondisi ini sendiri.

    glaukoma

    Tambahan itu, penderita diabetes dan darah tinggi juga cenderung untuk menghidap penyakit mata glaukoma.

    Penyakit ini bukan satu kondisi yang mudah dikenal pasti tanpa pemeriksaan yang betul kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala.

    Ini yang menjadi punca ramai yang tidak sedar mereka memilikinya.

    Apabila penyakit ini semakin berkembang, gejala mungkin muncul seperti penglihatan yang menyempit disebabkan oleh saraf optik telah rosak teruk.

    Glaukoma adalah penyakit mata yang secara beransur-ansur menghilangkan penglihatan seseorang tanpa amaran yang jelas.

    Lebih teruk, tidak ada penawar untuk penyakit mata ini.

    Pengambilan ubat mungkin dapat melambatkan, bahkan mencegah kehilangan penglihatan namun belum tentu dalam menghilangkannya secara total.

    Justeru, pengesanan awal adalah sangat penting untuk mengekalkan penglihatan seseorang penderita glaukoma. Tekanan tinggi di dalam mata adalah penyebab utama ia terjadi.

    Benarkah angkat berat mampu sebabkan glaukoma?

    Sekiranya anda seorang yang sering bermain angkat berat, dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati kerana ia dikatakan boleh meningkatkan peluang mendapat penyakit mata glaukoma.

    Para saintis mendapati bahawa angkat berat dikaitkan dengan peningkatan tekanan intraokular sementara (tekanan di dalam mata).

    Tekanan introkular meningkat lebih jauh jika seseorang menahan nafasnya semasa repetisi. Peningkatan tekanan di dalam mata inilah yang menimbulkan risiko mendapat penyakit glaukoma.

    Apabila udara dipaksa melawan aliran angin tertutup (manuver valsalva), tekanan di dalam bola mata cenderung untuk naik.

    Manuver valsalva biasanya berlaku ketika seseorang batuk, muntah, meniup alatan muzik dan melakukan angkat berat.

    Manakala, latihan aerobik, seperti joging, berbasikal dan berenang biasanya menurunkan tekanan intraokular.

    Para saintis melakukan penyelidikan terhadap 30 lelaki yang menjalani latihan berat badan.

    Tiada seorang pun individu di awal kajian yang mempunyai tanda-tanda glaukoma. Kesemuanya turut mempunyai tekanan intraokular yang normal.

    Kemudian, mereka diarahkan untuk:

    • Menahan nafas selama 4 repetisi
    • Bernafas secara normal selama 4 repetisi

    Ketika mereka menahan nafas, tekanan di mata kanan diukur. Ketika mereka bernafas secara normal, tekanan di mata kiri pula diukur.

    Dalam kedua-dua kes tersebut tekanan mata diukur semasa repetisi yang terakhir. Hasilnya:

    • Semasa mereka menahan nafas

    Tekanan mata meningkat 4.3 mm merkuri pada 90% pengangkat berat.

    • Semasa mereka bernafas secara normal

    Tekanan mata meningkat 2.2 mm merkuri pada 62% pengangkat berat.

    Para penyelidik menyimpulkan aktiviti angkat berat yang berpanjangan mungkin merupakan faktor risiko yang berpotensi untuk perkembangan penyakit mata glaukoma.

    Bagaimana cara untuk mengurangkan risiko?

    mata berair

    Sebarang turun naik tekanan boleh menyebabkan masalah pada mata tetapi untuk menghilangkan tekanan pada saraf, doktor mengesyorkan agar anda menarik nafas ketika angkat berat untuk mengurangkan tekanan.

    Hal yang sama dapat dikatakan pada mereka yang memainkan alatan muzik meniup kerana ia memberikan beban tambahan pada mata.

    Ini kerana kawalan pernafasan diperlukan untuk memainkan alat tersebut dengan betul.

    Tekanan ini menyebabkan saluran darah di leher, kepala dan dada menyempit yang meningkatkan ketegangan pada mata.

    Doktor telah menyatakan bahawa saraf optik dapat bertoleransi dengan tekanan stabil jauh lebih baik daripada tekanan turun naik, justeru aktiviti yang menyebabkannya harus dikurangkan untuk menjaga kesihatan mata.

    Bagi mereka yang mempunyai mata yang sihat, lonjakan tekanan ini tidak memberikan banyak masalah.

    Tetapi bagi mereka yang cenderung kepada penyakit glaukoma atau yang sudah memilikinya dan mungkin tidak sedar, ia boleh menimbulkan risiko serius terhadap penglihatan dalam jangka masa panjang.

    Ada kemungkinan mereka yang menderita penyakit mata galukoma ini sudah kehilangan sebanyak 70% penglihatan periferal mereka pada sebelah mata sebelum ia dapat dikenal pasti.

    Justeru, mereka yang gemarkan sukan angkat berat perlu berhati-hati dengan memastikan pernafasan betul supaya tekanan pada mata dan saraf optik dapat dielakkan.

    Menjalani rutin pemeriksaan mata setiap 2 tahun bagi mereka yang berusia lebih 40 tahun atau yang mempunyai sejarah glaukoma dalam keluarga adalah kaedah terbaik untuk memastikan mata sihat dan bebas daripada penyakit.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan